Kisah bai'ah

DR AZMAN IBRAHIM | .

Kali pertama saya mengenali apa itu bai'ah calon pilihan raya ialah pada 20 Feb 2008.

Ketika tarikh itu, bertempat di Markas Tarbiyah PAS Kuala Terengganu, saya yang berusia 34 tahun dan hanya menjawat jawatan dalam parti sebagai Ketua Pemuda Dun Jabi selesai proses mengisi borang pencalonan PRU12 dan menyerahkan dokumen yang berkaitan pada kira-kira jam 2 petang.

Setelah selesai disemak oleh panel peguam dan didapati semua dokumen telah sempurna, semua bakal calon dipersilakan ke Dewan Seminar, Markas Tarbiyah PAS Kuala Terengganu untuk menyempurnakan proses bai'ah.

Majlis bai'ah dipengerusikan oleh YB Haji Abdul Wahid Endut yang ketika itu berjawatan Bendahari PAS Negeri Terengganu.

Saya melalui detik pengalaman pertama ini dengan penuh debaran sambil menunggu ketibaan Tuan Guru Presiden bagi menerima bai'ah daripada kami semua.

Mula-mula dipanggil ke hadapan Tok Guru Presiden ialah calon N01 Kuala Besut, Ustaz Nik Zawawi Salleh. Menyusul seterusnya bakal calon yang kedua, Haji Hassan Salleh bagi Dun N02 Jerteh. N03 Kota Putera diwakili oleh calon PKR yang tak terlibat dalam proses bai'ah.

Seterusnya Ustaz Mohd Zain Hassan tampil ke hadapan berjabat tangan dengan Tok Guru mewakili Dun N04 Hulu Besut. Debaran saya semakin kencang. Sebelum N05 Jabi dipanggil, mendahului saya ialah Ustaz Husin Awang mewakili P033 Besut.

Lantas tibalah giliran saya mewakili N05 Jabi. Saya melangkah longlai ke hadapan dengan kaki yang gementar bagaikan tak berpijak di lantai. Memegang tangan lembut Tok Guru lalu saya ucapkan...

"Bismillahirrahmaanirrahim..."

Setitik air jernih mengalir di pipi sebelum saya dapat meneruskan lafaz yang berikutnya.

"Wallaahi... wabillaahi... watallaahi... Saya Azman bin Ibrahim setelah dipilih oleh parti untuk bertanding bagi kawasan N05 Jabi dengan ini bersumpah dengan nama Allah bahawa samada saya menang atau saya kalah, saya tidak akan mengkhianati parti dan perjuangannya. Sekiranya saya mengkhianati parti dan perjuangannya, maka saya akan dilaknat oleh Allah, para malaikat dan sekalian yang melaknat."

Beratnya beban tanggungjawab dari bai'ah yang diucapkan menyebabkan tangan saya gementar saat menurunkan tandatangan ke atas dokumen bai'ah yang saya yakin masih disimpan di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Terengganu.

Sekali lagi saya bersalam dan mencium tangan Tok Guru sebelum kembali ke tempat duduk.

Bukan hanya kami yang diwajibkan berbai'ah, malah Tok Guru Presiden sendiri berbai'ah dengan memegang tangan Cikgu Pa yang berjawatan sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu ketika itu. Cikgu Pa pula berbai'ah untuk bertanding di Dun Alor Limbat dengan memegang tangan Tok Guru Presiden.

Bai'ah adalah perjanjian dan ianya tak sama dengan sumpah yang boleh dikafarahkan andainya kita melanggar sumpah. Suatu perjanjian untuk kita tidak akan mengkhianati perjuangan suci ini sehingga ke akhir hayat walau apa pun yang berlaku.

Bai'ah tak ada tempoh expired dan ianya berkuatkuasa sepanjang hayat.

Di Terengganu tak ada bai'ah dengan lafaz untuk mentalakkan isteri dengan talak 3. Saya tak pasti di negeri lain. Cuma saya mendapat maklumat ada bakal calon yang secara sukarela menambah...

"andainya saya mengkhianati parti dan perjuangannya, maka tertalaklah isteri saya dengan talak 3."

Menghadapi PRU13, sekali lagi saya dan calon-calon lain berbai'ah dengan lafaz yang sama di hadapan Tok Guru Presiden bertempat di Pejabat PAS Kawasan Marang dan pada malamnya ketika majlis pengisytiharan calon di atas pentas Dewan Tok Guru di Rusila, kami semua para bakal calon mengulangi melafazkan bai'ah secara beramai-ramai di atas pentas di hadapan umum supaya semua yang hadir dapat menjadi saksi. - HARAKAHDAILY 26/7/2015

Share on Myspace