Bersatu bina Malaysia Baru

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

1. Tindakan TS Muhyiddin Yasin sebagai orang nombor dua UMNO/BN dan Kerajaan yang bersuara berkenaan isu 1MDB dan mengkritik tindakan tidak tepat DS Najib Razak dalam berhadapan dengan isu tersebut membuktikan bahawa DS Najib Razak sebenarnya kini bersendirian; tidak lagi didukung oleh kepimpinan UMNO sendiri dan juga hilang sokongan ahli.

2. Desakan agar YAB Perdana Menteri sendiri menafikan semua skandal yang dikaitkan dengan beliau dan menjelaskan isu-isu yang timbul adalah amat wajar dan sangat signifikan untuk memastikan semua skandal ini dapat dirungkai akan kebenarannya dan menjamin semua yang terlibat akan didakwa dan dihukum dengan sepatutnya.

3. Bayangan bahawa UMNO/BN akan kalah dalam PRU14 datang jika tiada apa-apa tindakan yang berkesan diambil khususnya oleh DS Najib Razak sendiri ditambah dengan keadaan MCA yang baru pulih daripada krisis dan MIC yang masih berkemelut sekaligus mengesahkan bahawa UMNO sebagai teras BN dan kerajaan sudah tidak lagi dapat diharapkan dalam keadaan sekarang.

4. Ditambah pula, negara sedang menghadapi situasi yang sangat membebankan; kejatuhan marudum nilai Ringgit, ketidaktentuan dalam prestasi ekonomi; spekulasi pasaran yang negatif, pemimpin utama dan dana awam dikaitkan dengan skandal yang tidak bermaruah dan rakyat pula sengsara menanggung kos sara hidup yang tinggi.

5. Semuanya berlaku akibat UMNO/BN tidak mahu menjadikan nilai-nilai Islam serta seluruh ajarannya sebagai teras dalam pentadbiran dan pemerintahan negara. Ciri-ciri keperibadian seorang muslim diabaikan; rasuah berlaku subur dalam pelbagai sektor; riba menjadi syarat kelulusan meminjam; penjenayah tidak dihukum dan tidak dididik selari dengan petunjuk al-Quran dan as-Sunnah; dan pengagihan kekayaan berlegar dalam kalangan orang-orang kaya sahaja.

6. Kalaulah benar demi negara dan rakyat, saya mengalu-alukan dan menyeru YAB TS Muhyiddin Yasin serta seluruh ahli dan penyokong UMNO untuk meninggalkan UMNO dan bersama PAS membina suatu wadah baharu bagi meneraju Malaysia ke arah kecemerlangan masa hadapan yang lebih terjamin.

Sekian.

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Isnin, 27 Jul 2015 | 11 Syawal 1436 H
_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau.

Share on Myspace