Eloklah TSMY tak tubuh Gerakan Lebih Baharu

NIK MOHAMAD ABDUH | .

RAMAI marah-marah apabila saya kata ada kemungkinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bertindak balas terhadap pemecatannya semalam dengan menggerakkan jentera dan kekuatannya mencabar Datuk Sri Najib Tun Razak dalam Umno.

Ramai marah-marah kerana saya sebutnya sebagai satu 'Gerakan Harapan Terbaharu'. Sarkastik melampau, kata mereka. Hmm..

Tapi yang marah ramai-ramai pada saya itu saya yakin mereka pun mahukan Tan Sri Muhyiddin bertindak balas dengan satu gerakan baru dalam umno.

Ertinya dek istilah 'Gerakan Harapan Terbaharu' yang saya guna, mereka yang marah pada saya terus 'sentap', hilang terus butiran utama yang saya dan mereka sama-sama setujui. Patutnya saya dipujilah. Tapi susah juga nak puji bila dah benci ya..

Nampaknya saya boleh memahami mengapa parti GERAKAN marah pada 'Gerakan Harapan Baru' bila guna nama 'gerakan'. Itu hak mereka, kata mereka. Tapi mana orang hirau pada gertakan parti GERAKAN?

Oleh itu, apabila ada yang cuba kaitkan Gerakan Harapan Baru dengan nama 'New Hope' yang banyak diguna pakai oleh gereja Kristian, orang anggap ia satu provokasi. Tak payah layan.

Apa pun, gerakan baru (sememangnya terbaharu atau lebih baharu daripada GHB) oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah harapan baharu rakyat yang mahukan perubahan politik di Malaysia. Ertinya, jika Tan Sri Muhyiddin reda dan akur dengan tindakan ke atasnya itu, maka tidak banyaklah impak yang akan diperoleh oleh gerakan anti-BN yang mengharapkan orang Melayu berubah meninggalkan Umno.

Tan Sri Muhyiddin pastinya memiliki kekuatan yang tersendiri untuk meraih simpati rakyat atau orang-orang Umno khususnya. Beliau dipecat kerana isu 1MDB yang dikritiknya sebagai isu yang perlukan siasatan lebih telus oleh pentadbiran ketuanya Datuk Sri Najib. Kehendaknya adalah kehendak rakyat dan kehendak orang Umno juga yang mahukan Umno dilihat bersih daripada korup dan buruk.

Rakyat tak puas hati dengan siasatan yang berjalan. Apabila Tan Sri menyuarakan kehendak rakyat, rakyat anggap beliau wira yang perlu disokong.

Wira mana boleh senyap apabila diperlakukan. Tapi Tan Sri Muhyiddin semestinya akan berfikir berlapis-lapis sebelum membuat keputusan. Seorang wira fikirnya tak semestinya selari dengan anak buah. Nama lagi wira.

Justeru saya sebutkan semalam, gerakan harapan rakyat yang lebih baru oleh Tan Sri Muhyiddin adalah satu kemungkinan. Jika Datuk Sri Zahid Hamidi anggap perlantikannya sebagai TPM yang baru sebagai 'the calling of GOD', begitulah juga Tan Sri Muhyiddin yang dipecat daripada jawatannya itu. Semua Allah-lah yang akan menentukannya nanti.

Cuma saya tak fikir Tan Sri Muhyiddin akan bergabung dalam Gerakan Harapan Baru (GHB) pimpinan abang Mohd Sabu yang antara kesannya adalah tiadalah lagi gerakan harapan lebih baharu daripada gerakan yang baharu oleh abang Mohd Sabu itu.

Saya tak nampak itu akan berlaku. Bukan kerana jawatan Tan Sri Muhyidin dalam Umno lebih besar daripada jawatan abang Mohd Sabu dalam PAS. Kedua-duanya adalah orang nombor dua dalam parti masing-masing. Dari sudut ini tak ada beza walaupun ada beza dari sudut yang lain.

Tetapi bagi saya, perjuangan di antara kedua-duanya (yang baharu dan yang terbaharu) agak jauh berbeza. Banyak bezanya. Antaranya ialah perbezaan di dalam menanggapi DAP.

GHB begitu budiman dengan DAP. Umno pula begitu 'no man' dengan DAP. GHB begitu senok PAS batalkan hubungan dengan DAP. Umno pula begitu seronok PAS batalkan hubungan dengan DAP. Hubungan GHB dan DAP adalah begitu strategik, sedangkan hubungan Umno dan DAP pula begitu alergik.

Perbezaan di atas menjauhkan kemungkinan wujudnya penggabungan atau persefahaman antara Gerakan Harapan Baru dan gerakan harapan terbaharu itu. Itu pada saya.

Tetapi dalam politik, yang tak terfikir itu boleh berlaku juga. Yang tak terfikir berlaku, tiba-tiba berlaku juga itulah memanaskan pentas politik manusia. Dulu mati-mati pertahan baiah. Hari ini mati-mati kecam baiah. Misalnya..

Jangan terkejut lompat parti boleh berlaku bila-bila masa oleh orang-orang politik yang asalnya dilihat keras dan waja, tiba-tiba jadi lembik dan mencair. Politik negara kita masih kurang matang. Yang lebih makar kadang-kadang lebih disanjung berbanding yang lebih cekal. Persepsi mendahului isi.

Harapan rakyat BN mesti diturunkan. Soalnya pengganti BN tidak cukup kuat. Pembangkang kembali berpecah selepas bersatu. Sehinggalah penyatuan di atas tapak yang lebih kukuh berlaku, rakyat terutama orang Melayu masih melihat-lihat siapakah teras yang akan menggantikan Umno.

PAS secara konsisten menyatakan Islam adalah teras kepada perubahan geopolitik dalam negara. Orang Islam dan orang bukan Islam tempat bertemu mereka adalah pada keadilan dan keharmonian. Islam adalah agama untuk keadilan dan keharmonian. Tiada yang lebih baik.

Elok juga Tan Sri Muhyiddin ambil sedikit masa untuk berehat dan berfikir. Beliau kini adalah seorang Timbalan Presiden Umno yang tidak boleh lagi berperanan dengan berkesan dalam partinya itu, bahkan sedang bergerak bermula semalam menuju ke tepian.

Orang muda suka berehat di tepian pantai. Orang tua biasanya memilih masjid. Sebaik-baik masjid adalah Masjidil Haram di Kota Mekah. Di sana ramai dipilih Allah untuk kehidupan yang lebih bertaufik dan berhidayah.

Ramai orang yang mula insaf akhirat akan memilih PAS untuk dunia dan akhiratnya. PAS mengalu-alukan. Eloklah tak tubuh gerakan lebih baharu. – HARAKAHDAILY 29/7/2015

Share on Myspace