Mukhriz dirundung dilema, Kedah terumbang ambing

DATUK DR MOHD HAYATI OTHMAN | .

1. Negeri Kedah kini berada dalam keadaan tidak menentu ekoran Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilihat terumbang ambing mendepani situasi politik semasa khususnya pergolakan dalaman Umno-BN.

2. PAS Kedah tidak menolak kemungkinan Umno Negeri Kedah sedang turut dicengkam pertembungan dalaman yang cuba disembunyikan sebagaimana sedang berlaku dalam Umno di peringkat nasional.

3. Terkini menyaksikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan dari rombakan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

4. Umum beranggapan Mukhriz gagal menyatakan pendirian jelas berhubung asakan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang mengecam pentadbiran Najib. Dilema itu diakui beliau sebagaimana tersiar di media.

5. Tambahan pula pengalamannya sebagai Timbalan Menteri dahulunya tidak mampu memberi impak besar kepada negeri Kedah dan rekodnya selaku Menteri Besar sehingga ke hari ini menunjukkan beliau belum mempunyai wawasan realistik melainkan hanya retorik.

6. Bahkan kehendak Mukhriz untuk mengadakan pembangunan mega yang dibanggakannya tidak menjejak ke bumi nyata dan tidak menyentuh keperluan sebenar rakyat negeri ini, selain tanpa pembelaan sewajarnya terhadap isu dan hak rakyat sebagaimana cengkaman kejatuhan harga getah, kenaikan harga barangan, masalah perbekalan air, pampasan harga tanah dimanipulasi dan sebagainya.

7. Adalah malang, apabila 6 projek mega di Kedah tidak tersenarai dalam agenda pembangunan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang diumumkan baru-baru ini. Sama ada Kedah diabai dan didiskriminasikan atau lantaran permainan politik dalaman Umno-BN, yang pasti rakyat negeri Kedahlah mendapat kerugian atas semua itu.

8. Sehubungan itu, PAS Negeri Kedah berazam dengan sepenuh tekad untuk kembali ke Wisma Darul Aman menerajui Kerajaan Negeri Kedah, seterusnya menyambung semula usaha mensejahterakan rakyat negeri Jelapang Padi tercinta ini dengan pemerintahan dan perkhidmatan lebih baik.

9. PAS Negeri Kedah menyeru agar seluruh rakyat memberi penilaian secara adil dan bersama kami untuk memastikan hasrat ini direalisasikan menerusi undi pada Pilihan Raya Umum akan datang. - HARAKAHDAILY 29/7/2015

Penulis ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah.

Share on Myspace