Muhyiddin, perjuangan tuan baru saja bermula

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

1. Penamatan perkhidmatan TS Gani Patail sebagai Peguam Negara dengan alasan masalah kesihatan sekalipun dikatakan sah pada sudut undang-undang, ia tetap ‘politically unethical’ dalam keadaan beliau masih menganggotai jawatankuasa khas dan sedang menyiasat skandal 1MDB yang dikaitkan dengan YAB Perdana Menteri.

2. Tindakan menggugurkan TS Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri pula menandakan DS Najib Razak sudah tidak selesa sangat dengan tekanan yang diinisiatifkan secara terbuka oleh bekas timbalannya dan juga sudah dimulakan sebelumnya oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed.

3. Bukan tidak tahan dengan ‘keterbukaan’ itu, tetapi kerana kerisauan yang amat sangat terhadap sesuatu yang akan menjejaskan kedudukan dan reputasinya sebagai Perdana Menteri bakal terdedah dan terbukti jika dibiarkan TS Muhyiddin Yassin terus bercakap dengan ‘locus standi’ sebagai Timbalan Perdana Menteri.

4. Rombakan kabinet dengan melantik tiga ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) termasuk pengerusinya iaitu Datuk Nur Jazlan sebagai Timbalan Menteri turut membekukan peranan PAC buat masa ini yang juga sedang melakukan siasatan terhadap skandal 1MDB yang dikaitkan dengan DS Najib Razak.

5. Tentang skandal 1MDB ini, bukan sahaja TS Muhyiddin Yassin atau Tun Dr Mahathir Mohamed sahaja yang ingin tahu. Seluruh rakyat juga mahu tahu mengenainya.

6. Soalnya, apa akan jadi kepada siasatan skandal 1MDB ini. Ia terhenti buat masa ini. Jika diteruskan selepas ini pun, adakah wujud ketelusan dalam penyiasatan tersebut dan adakah hasilnya itu berintegriti untuk diterima.

7. Apapun, kabinet baru telah dibentuk. Mereka berkewajipan menunaikan tanggungjawab menguruskan negara dengan penuh amanah dan ketelusan. Adapun PAS menegaskan bahawa selagi Akhirat tidak dijadikan landasan dalam pentadbiran negara ketelusan dan kebocoran akan terus berlaku.

8. Saya sempat hadir bertemu Tan Sri Muhyiddin Yassin di kediaman beliau pagi tadi dan menyampaikan sendiri ucapan takziah atas pemecatan beliau. Jika teguran beliau dalam isu 1MDB menjadi sebab untuk beliau diberhentikan maka perjuangan itu sepatutnya tidak berakhir dengan pemecatan tetapi ia bererti perjuangan baru bermula.

9. Tan Sri dijemput untuk bersama rakyat Malaysia menunaikan kewajipan menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar khususnya dalam arena politik negara. PRU ke 14 mengajak rakyat berganding bahu untuk Malaysia Baru.

Sekian.

DATUK DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Rabu, 29 Jul 2015 | 13 Syawal 1436 H
_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau.

Share on Myspace