Pemerdagangan manusia: Penaiktarafan Tier2 sandiwara AS?

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Ada persoalan baharu muncul di sebalik penaiktarafan Laporan Pemerdagangan Manusia 2015 (TIP) yang menaikkan kedudukan Malaysia ke tahap kedua atau Tier2 daripada Tier3 mengikut TIP pada 2014.

Adakah kedudukan tersebut jelas menggambarkan Malaysia berada pada standard yang ditetapkan oleh Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan tahun 2000 (TVPA) atau ia hanya satu sandiwara bagi mengekalkan Malaysia sebagai sebahagian daripada negara yang terlibat dalam rundingan TPPA?

Ini merujuk kepada sebuah artikel bertajuk ‘Why Is The US Desperate to OK Slavery in Malaysia’ yang diterbitkan The Huffington Post pada 26 Mei 2015 yang menjelaskan bagaimana peningkatan tahap itu mungkin mempunyai kaitan rapat dengan rundingan perjanjian TPPA yang bakal dimuktamadkan penghujung bulan ini. Rujukan; http://www.huffingtonpost.com/2015/05/26/tpp-malaysia-slavery_n_7444978.html

Artikel tersebut menjelaskan bagaimana AS tetap berkeras meneruskan rundingan TPPA dengan Malaysia, walaupun kedudukan TIP Malaysia  ketika itu adalah pada Tier3 malah dikatakan menjadi hab aktiviti pemerdagangan manusia di rantau Asia Pasifik ini berbanding Korea Utara dan Arab Saudi.

Pertikaian berlaku disebabkan dasar luar AS yang menetapkan untuk tidak akan melakukan sebarang bentuk kerjasama perdagangan dengan negara yang mempunyai risiko terhadap aktiviti jenayah pemerdagangan manusia seperti Malaysia.

Keputusan AS melanggar polisinya sendiri dan mengekalkan Malaysia sebagai negara yang terlibat dalam rundingan TPPA meskipun berada pada Tier3 adalah tindakan terdesak White House demi persaingan politik AS yang melihat China menggunakan laluan perdagangan di Selat Melaka dengan 'selesa'.

Maka, penguasaan terhadap perairan dan aktiviti perdagangan di Selat Melaka dapat dilakukan melalui rundingan bersama Malaysia dalam TPPA manakala peningkatan tahap kepada Tier2 ini hanyalah wayang di sebalik percaturan politik AS bagi meredakan tekanan yang berlaku terhadap pentadbiran White House.

Jika benar dakwaan tersebut, maka amatlah malang bagi Malaysia yang sentiasa menjadi mangsa percaturan kuasa besar dunia.

Kita tidak dilihat bertindak atas pendirian dan keyakinan yang kita ada tetapi disebabkan pengaruh geo politik yang mencatur segala-galanya.

Secara keseluruhannya, kerajaan perlu berusaha mencari 'jalan keluar’ dengan menilai beberapa perkara berikut secara objektif.

Pertama, kerajaan tidak boleh dilihat selesa dengan laporan tersebut kerana usaha membanteras sindiket pemerdagangan manusia masih lagi panjang.

Kejadian yang berlaku di sempadan Malaysia-Thailand pada penghujung Mei yang lalu perlu dijadikan iktibar bahawa sindiket tersebut masih bergerak secara aktif dan menjadikan Malaysia sebagai transit sejak saban tahun.

Kedua, kerajaan tidak perlu tergesa-gesa menandatangai perjanjian TPPA selepas pelbagai kecaman dan cemuhan yang dilemparkan oleh pelbagai pihak. Sebaliknya, draft rundingan perjanjian tersebut seharusnya didedahkan kepada umum di samping membentangkan analisis kos faedah di Parlimen bagi menilai sejauhmana TPPA tidak 'mencederakan' perkara yang berkait dengan dasar dan polisi negara apatah lagi meragut kedaulatan dan kepentingan rakyat awam di negara ini.

Kedua-dua perkara amat penting untuk dititikberatkan oleh pihak kerajaan. Cukuplah Malaysia menjadi mangsa percaturan pihak yang berkepentingan. - HARAKAHDAILY 30/7/2015

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Pasir Mas

Share on Myspace