Bayangan ahzab dalam liku perjuangan PAS

MUHAMAD KHALIL ABDUL HADI | .

IAITU bila datang kepada kamu bala tentera yakni tentera Ahzab. Lalu kami utuskan kepada mereka angin yang kuat dan tentera-tentera yang tidak dapat dilihat oleh kamu. Dan adalah Allah, tuhan yang Maha melihat akan apa yang kamu lakukan.” (Al-Ahzab: 9)

Antara ungkapan yang diulang dalam takbir raya adalah kalimah “wahazamal azhabawahdah”, “Dan Dia (Allah) mengalahkan tentera Ahzab dengan ke-Esaannya”, bersempena dengan peristiwa Al-Ahzab yang berlaku pada bulan Syawal ini. Apabila tentera kuffar dari kalangan qabilah Quraish, qabilah Ghatafan dan Bani Said disokong oleh qabilah-qabilah Yahudi yang khianat perjanjian mereka dengan Rasulullah SAW. Mengepung kota Madinah bertujuan untuk menghapuskan Nabi SAW dan meruntuhkan Kerajaan Islam yang dibina oleh Nabi SAW.

Dengan jumlah bala tentera yang begitu besar, melebihi 10 ribu orang. Akan tetapi kuasa Allah Taala lagi besar, Allah Taala mengalahkan bala tentera Al-Ahzab dengan bala Allah angin yang kuat mencabut khemah-khemah yang dipasang oleh mereka.

Pada masa yang sama Allah mencampakkan rasa takut dan gerun di dalam diri sehingga mereka lari bertempiaran. Sejarah yang sangat besar ini diingati oleh umat Islam di sepanjang zaman. Orang beriman laungkan dalam takbir, padahal peristiwa al-Ahzab sudah berlaku lebih daripda 1,400 tahun dahulu. Kenapa tidak dilaungkan di dalam takbir peristiwa Badar, peristiwa Uhud, peristiwa pembukaan Kota Makkah, tetapi dilaungkan dalam takbir mengingati peristiwa Al-Ahzab.

Kerana sirah Rasulullah SAW adalah merupakan sebahagian daripada petunjuk Allah. Panduan Allah bukan semata-mata cerita yang sedap didengar, bukan semata-mata cerita yang enak dibaca dan dilihat didalam televisyen. Tetapi ia adalah petunjuk daripada Allah, segala yang berlaku ke atas Nabi SAW, serangan tentera Ahzab adalah satu perkara yang berulang sepanjang zaman sehinggalah dunia ini ditamatkan oleh Allah, selagi mana adanya mereka yang meneruskan perjuangan Nabi SAW selagi itulah mereka berdepan dengan bala tentera Ahzab.

Pada zaman ini PAS sebagai sebuah parti Islam, bersama-sama dengan rakan-rakan lain kumpulan Islam diseluruh pelosok dunia berdepan dengan tentera al-Ahzab moden. Zionis Yahudi, Amerika Syarikat dan konco-konco Baratnya menyerang pejuang-pejuang Islam, menuduh Islam sebagai agama yang ganas, melabel umat Islam sebagai pengganas, mereka yang berjuang dilabel pengganas-pengganas.

Termasuklah mereka di bumi Palestin yang berjuang mempertahankan tanah air mereka dan memperjuangkan bumi Baitul Maqdis yang mulia itu dituduh juga sebagai pengganas-pengganas. Akan tetapi lebih besar daripada itu lagi yang umat Islam perlu peka dan faham, gerakan al-Ahzab moden ini  mereka melakukan pelbagai perancangan menghalang umat Islam dalam berbagai-bagai bentuk bukan sahaja senjata yang membunuh nyawa, tetapi lebih daripada itulah senjata serangan pemikiran yang boleh membunuh aqidah, akhlak dan moral orang Islam, termasuklah penjajahan ekonomi.

Penjajahan Ekonomi
Satu perjanjian ekonomi yang akan ditandatangani oleh Malaysia sebagai salah sebuah negara yang diminta untuk menganggotai perjanjian TPPA. Perjanjian rundingan perkongsian Trans-Pasifik yang mana dibelangkangnya adalah Amerika Syarikat yang menjadi kuasa besar dunia pada hari ini disertai  lebih daripada 10 buah negara.

Ini adalah satu bentuk penjajahan baru dari sudut ekonomi, kalau dulu mereka menjajah umat Islam, tanah air umat Islam, hasil mahsul dibumi umat Islam mereka rompak, mereka ambil, mereka kaut bawa ke negara-negara mereka.

Tetapi hari ini penjajahan dalam bentuk baru, mereka tekan negara-negara umat Islam termasuklah Malaysia. Kesannya sangat besar di antaranya dari sudut cukai import akan dikurangkan. Apabila cukai import dikurangkan, nescaya barang-barang yang menjadi buatan di negara kita tidak dapat bersaing dengan barang-barang daripada luar.

Ini akan menyukarkan lagi rakyat negara kita yang dihimpit dengan pelbagai krisis yang dilakukan oleh Umno-BN hingga menghimpit kehidupan rakyat. Termasuklah juga dari sudut pengusaha, petani, pekebun dari kalangan rakyat, apabila barang-barang luar masuk dengan bebas, nescaya akan memberi kekangan dan menyukarkan lagi kehidupan rakyat. Sebab itulah Kerajaan Malaysia sepatutnya tidak menyertai perjanjian ini yang merupakan satu bentuk penjajahan baru ke atas umat Islam.

Sekarang ini rakyat dihimpit dengan pelbagai isu dan krisis ekonomi yang jika ditambah lagi dengan TPPA ini akan bertambah meranalah rakyat. Lihat isu 1MDB yang sampai hari ini dibicarakan, dibincangkan di dalam media bukan sahaja di dalam negara kita bahkan juga didedahkan oleh media antarabangasa.

Media antarabangsa mendedahkan salah guna wang rakyat begitu besar, diurus dengan tidak ada amanah, tidak ada tanggungjawab bukan bilanganya satu ribu, dua ribu, tiga ratus ribu dan seumpamanya, bahkan mencecah ribuan juta ringgit ini wang rakyat semua, didedahkan oleh media antarabangsa masuk ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Benar, isu ini sedang disiasat walaupun bermacam-macam spekulasi dibuat barangkali ia tidak betul, barangkali ia tidak tepat, tunggu dan lihat. Tetapi sesungguhnya sedikit sebanyak ada betul dan benarnya memandangkan kepada pelbagai-bagai isu ekonomi, salah guna kuasa rasuah yang didedahkan sebelum ini.

Bukan media antarabangsa dedahkan, bukan media pro-pembangkang yang dedah, yang mendedahkannya adalah Laporan Audit Negara sendiri yang dilantik oleh pihak kerajaan yang dipimpin oleh Umno-BN.  Lihat dalam Laporan Audit Negara yang dikeluarkan tahun 2012, tahun 2013 bermacam-macam penyelewengan salah guna kuasa daripada wang rakyat, walaupun barangkali kita telah mendengar sebelum daripada ini.

Beberapa contoh, sebagaimana yang didedahkan dalam Laporan Audit Negara bagaimana jam dinding yang dibeli oleh RTM dibwah Kementerian Penerangan yang mana harganya satu biji RM100.00 dibeli dengan harga RM3,820.00. Cuba bayangkan berapa kali ganda harga asalnya seratus ringgit berlipat kali ganda kemanakah wang ringgit ini masuk ke dalam poket sesiapa mereka berada di keliling menteri-menteri atau mereka yang berkepentingan dalam parti Umno-BN.

Penanggung kerugiannya ialah rakyat, kita semua, wang ringgit semua. Jelas 1MDB ini tidak betul,   penyelewangan yang berlaku itu ini dan seumpamanya tetapi sedikit sebanyak hasil daripada yang berlaku sebelum ini barangkali ia benar kerana ia tak dibimbangi.

Penyelewengan yang didedahkan sendiri Laporan Audit Negara terus berulang menyebabkan kerajaan tidak ada duit. Lalu diambil daripada rakyat, sesuai slogan “Rakyat Didahulukan”. Apabila tidak ada duit kerajaan kehabisan kerana boros ketirisan salah guna, rakyat dibebankan.

Tidak cukup dengan cukai lain yang diambil daripada rakyat lalu dikenakan GST ditambah lagi dengan kenaikan harga minyak petrol diesel, tol diambil daripada jalan raya, cukai kenderaan, cukai orang-orang berniaga, sekarang semua rakyat dikenakan GST. Nelayan, pekebun, petani, cikgu, penggangur beli barang turut dikenakan GST, alasan kerana kerajaan tidak ada duit untuk belanja. Di sinilah rakyat mesti mempersoalkan Kerajaan Umno-BN kenapa tidak ada duit? Jawapannya kerana pembaziran, ketirisan, penyelewengan, rasuah dan seumpamanya.

Kesedaran Rakyat
Alhamdulillah rakyat makin hari makin sedar, khususnya dalam kalangan anak muda yang celik teknologi IT, maklumat-maklumat, mereka tidak pakai lagi media arus perdana sama ada surat khabar harian ataupun televisyen. Mereka ambil maklumat kongsi dalam facebook, dalam twitter dalam blog-blog.

Hingga keputusan PRU lepas menyaksikan pada hakikatnya Umno-BN sudah ditolak oleh rakyat. Undi popular Umno-BN sudah kalah, tetapi sistem amalan yang diterima pakai dalam negara ini tidak menerima pakai undi popular. Negara ini mengambil kira dari sudut jumlah kerusi-kerusi yang dipertandingkan di dalam pilihan raya, membolehkan Umno-BN boleh terus memerintah.

Suasana sekarang sangat menarik, kalau sebelum ini PAS dan parti-parti pembangkang mengadakan ceramah, forum, wacana, artikel, keluar kenyataan akhbar mendedahkan salah guna kuasa penyelewengan yang dilakukan pimpinan Umno-BN, tetapi hari ini bekas pimpinan Umno sendiri yang mendedahkannya.

Bukan sebarang orang. Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad telah menulis di dalam blognya bukan satu artikel, tetapi berbagai-bagai artikel. Beliau menyebutkan sekiranya Umno-BN tidak berubah, nescaya akan ditolak pada pilihan raya akan datang. Buktinya Umno-BN masih lagi tidak berubah, kalaulah kena kepada negara lain Perdana Menteri letak jawatan kerana rasa tanggung jawab, tapi kita di Malaysia terus memerintah.

Di Korea Selatan apabila berlaku feri tenggelam Perdana Menteri letak jawatan. Begitulah juga berlaku di negara lain, di Thailand apabila belakunya satu-satu krisis, Perdana Menteri letak jawatan. Tetapi di negara kita Perdana Menteri terus memerintah.

Konsistensi PAS
PAS sebagai sebuah parti Islam kita konsisten dengan perjuangan Islam. Hari ini orang bercakap soal masalah dalaman PAS itu ini dan seumpamanya. Golongan ulama, golongan professional, ada berkata, PAS akan hancur, PAS akan berkecai. Kita kata tidak, PAS akan terus hidup kerana roh PAS adalah Islam.

PAS memperjuangkan Islam daripada awal hingga ke hari ini. Inilah yang menjadikan PAS terus hidup walau di mana sahaja sama ada seorang diri, berada dalam kerajaan, bersama-sama rakan-rakan dalam tahaluf siyasi, PAS tetap dengan prinsip Islam yang diperjuangkan.

Hari ini timbul pasal isu baiah, dipersoalkan PAS berbaiah, sama ada betul atau tidak, ikut Islam atau tidak. Inilah salah satu ciri-ciri parti islam. Kerana mengikut sunnah Nabi, rujukan PAS yang kedua. Dalam sunnah Nabi SAW, baginda berbaiah; Baiah Aqabah Pertama, Baiah Aqabah Kedua, Baiatur Ridhwan, Nabi berbaiah dengan golongan Aus Khazraj dan Sahabat-sahabat yang lain.

Baiah dilakukan Nabi SAW. Ada baiah umum, ada baiah khusus dan itulah yang dilakukan dalam PAS. Setiap ahli PAS isi borang PAS, maka dia berbaiah dengan PAS. Ini yang berlaku. Apabila menjadi ahli PAS sebagai kesediaan akan memberikan komitmen untuk memperjuangkan Islam. Inilah baiah umum dilakukan Nabi dan Sahabat-sahabatnya.

Ada baiah khusus dalam peristiwa Baiatur Ridhwan, Nabi minta daripada Sahabat-sahabat untuk berbaiah, antaranya menyebut “....akan hidup dan mati bersama Rasulullah untuk mempertahankan Islam....”. Setiap orang Sahabat berbaiah dengan Nabi berjabat tangan, sohabiah yang perempuan di dalam baldi air, Nabi meletakkan tangan di dalam air untuk menunjukkan kesungguhan dalam baiah ini bahawa mereka sanggup untuk hidup dan mati untuk Islam bersama Nabi SAW.

Inilah yang dibuat dalam PAS. Soal baiah talak tiga, perkara itu telah dijelaskan oleh Setiausaha Majlis Syura Ulamak bahawa itu tidak dilulus oleh Majlis Syura Ulamak. Majlis Syura Ulamak hanya meluluskan baiah khusus yang dilakukan oleh calon-calon PAS dalam pilihan raya. Bahawa penama berkenaan tidak akan khianat kepada perjuangan Islam, kalau khianat akan dilaknat oleh Allah, malaikat dan segala makhluk Allah.

Tetapi Majlis Syura Ulamak meluluskan kepada negeri-negeri untuk menambah baiah mengikut kesesuaian. Sebab itulah ada negeri yang buat baiah sampai boleh talak tiga kalau langgar perjanjian. Ada orang tanya, bagaimana PAS boleh buat baiah begini? PAS ini sebuah  parti Islam, maka janji setia ahli-ahli khususnya dalam keadaan yang kritikal.

Baiah ini kalau tengok dalam sejarah PAS dilakukan ketika Kerajaan Negeri Kelantan berada di dalam kritikal. Tahun 2004 Terengganu kalah, di negeri Kelantan PAS hanya menang satu kerusi majoriti dengan beza hanya dua undi. Cuba bayang sebagaimana yang diceritakan, Umno-BN hendak beli adun-adun PAS. Di sinilah Almarhum Tuan Guru Nik Aziz rahimahullah melihat pada masa akan datang.

Beliau panggil Adun-adun PAS supaya mengadakan baiah agar tidak meninggal perjuangan Islam. Kerajaan Islam Negeri Kelantan ini berada di dalam kritikal, kalau tinggal perjuangan Islam, isteri boleh tertalak. Kerana nak jaga maslahah yang lebih besar daripada maslahah isteri. Maslahah yang lebih besar hendak mempertahankan Kerajaan Islam Negeri Kelantan. Ini yang dilakukan PAS, sebab itulah perlu ahli PAS dilatih mengikut sunnah Nabi, pasti  Allah Taala akan jaga dan pelihara.

Dalam kalangan ahli-ahli PAS sangat risau dengan perkembangan dalaman yang berlaku dalam parti. Perkara yang berlaku adalah satu sunnatullah, dengan harapan rakan-rakan berkenaan kembali ke pangkuan jamaah. Dalam masa sama perkara yang berlaku dalam PAS ini sedang dinilai oleh rakyat. PAS ada prinsip, PAS ada dasar yang diperjuangkan.  

Majlis Syura Ulamak memutuskan hubungan dengan DAP kerana PAS tidak berkompromi dalam masalah syariah. PAS boleh bertolak ansur dalam perkara-perkara lain, boleh berbincang. Walaupun putus hubungan, tetapi di sana ada ruang-ruang lain untuk bekerjasama.

PAS sudah putus dengan DAP tetapi boleh mengadakan kerjasama-kerjasama yang lain. Contohnya pada tahun 2004 wujud Barisan Alternatif melibatkan PAS dan Parti Keadilan. DAP tidak sertai tetapi PAS bekerjasama dengan DAP. Sehinggalah tahun 2008, DAP masuk menyertai Pakatan Rakyat, ia juga adalah kerjasama.

Tapi dalam masalah yang berkait dengan dasar dan prinsip PAS akan tetap mempertahankannya. DAP kata PAS tidak boleh laksanakan hudud di Kelantan. PAS kata isu hudud sudah lama, telah diterang dan dijelaskan sejak tahun 1990-an lagi. Perbincangan dalaman berkali-kali diadakan, tinjauan berkait dengan hudud dan qisas, forum dengan masyarakat bukan Islam berpuluh-puluh kali diadakan, wacana, penjelasan dan perbentangan kertas-kertas kerja dan lain-lain lagi.

Sekilas Mengenai EKJS
Di mana PAS bahas dalam hudud ini ada dua perbezaan. Di antara mentaqninkan Enakmen Jenayah Syariah, hudud dan qisas dengan mentatbiqkan Enakmen Jenayah Syariah, hudud dan qisas. Media memberikan satu kefahaman kadang-kadang sama, mereka mendakwa PAS hendak laksana hudud terus.

Tidak, prosesnya masih panjang. Usaha yang Kerajaan Negeri Kelantan lakukan hari ini ialah PAS hendak mentaqninkan Enakmen Jenayah Syariah. PAS hendak menjadikan hudud dan qisas ini sebagai satu qanun yang diiktiraf oleh Kerajaan Pusat. PAS lakukan mengikut saluran demokrasi, PAS bukannya tidak tahu undang-undang dan pertauran.

Pelbagai pihak melakukan provokasi kepada PAS sekiranya hendak laksanakan Islam, Kerajaan Negeri Kelantan perlu laksana hudud dahulu. Dipersoalkan tindakan untuk mengambil persetujuan daripada Kerajaan Pusat. PAS mengikut peraturan, ikut undang-undang dan melakukan secara konvensional dalam masalah ini. Diluluskan di Dewan Undangan Negeri Kelantan, tetapi apabila hendak laksana tidak boleh. PAS mestilah merungkaikan peraturan-peraturan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Diantaranya ialah Akta 355. Di sinilah menunjukkan sebenarnya Umnolah yang khianat kepada negara sehingga tidak boleh dilaksanakan Enakmen Jenayah Syariah, hudud dan qisas kerana Umno menerima kemerdekan negara daripada penjajah British.

Brunei walaupun mencapai kemerdekaan lewat daripada Malaysia, tetapi kemerdekaan yang dicapai oleh Brunei itu mutlak. Sebab itulah Brunei boleh laksana Enakmen Jenayah Syariah, hudud dan qisas dengan mudah. Malaysia tidak, apabila hendak capai kemerdekaan, Umno ketika itu terima walaupun dengan syarat-syarat yang diletakkan oleh pihak British.

Antara syarat-syaratnya ialah menghukum dan mengikat undang-undang Syariah Islam, di mana Kerajaan Negeri juga tidak boleh laksanakan undang-undang jenayah, tidak boleh lebih daripada hukuman 356 iaitu 3 tahun penjara, 6 kali sebatan dan 5 ribu denda. Mana-mana Kerajaan Negeri hendak mengadakan undang-undang Islam, perlu rungkai dulu akta ini di peringkat persekutuan.

Sebab itu di Kelantan PAS bawa ke Parlimen untuk rungkai akta ini. Kalau boleh rungkai akta ini, bukan sahaja di Kelantan boleh laksana, semua negeri boleh laksana. Sebab itulah prosesnya masih panjang, tapi malangnya yang menjadi rakan PAS dalam Pakatan Rakyat begitu bersungguh, DAP cuba halang PAS tolak hudud dan qisas serta beri amaran kepada PAS, masuk campur urusan PAS. Maka, Majlis Syura Ulamak buat keputusan putus hubungan, walaupun dari maslahah politik penting untuk PAS menang dalam pilihan raya. Tetapi maslahah mempertahankan syariat Islam lebih penting kepada PAS.  

Keyakinan dan Istiqamah
Oleh sebab itulah, dengan perkembangan yang berlaku pada hari ini, ia akan memberikan satu nafas baru kepada PAS. Walaupun dari segi sifir politik, PAS rugi putus dengan DAP walaupun kekal dalam Pakatan Rakyat bersama-sama dengan PKR.

Rakyat juga sedang menilai Umno. Rakyat menilai dan rakyat melihat insya-Allah Islam yang dibawa oleh PAS inilah boleh menyelamatkan negara. Ini menjadi tanggungjawab semua ahli PAS untuk membawa mesej Islam ke dalam masyarakat. Islam yang boleh menyelesaikan masalah-masalah ini.

Ada orang kata mana buktinya, maka lihatlah negeri Kelantan daripada tahun 1990 PAS tadbir, yang memerintahnya Almarhum Tuan Guru Nik Aziz disambung oleh sekarang ini Datuk Menteri Besar, tidak ada rasuah walaupun orang mengatakan di Kelantan tidak ada pembangunan.

Alhamdulillah, walaupun dengan wang ringgit yang terhad di Kelantan, disekat royalti pembangunan masih ada. Hutang kepada Kerajaan Pusat boleh dikata sangat sedikit kalau dibanding dengan negeri-negeri lain. Di sini menunjukkan PAS ada bukti kerana PAS boleh melakukannya di negeri Kelantan dan pernah juga di negeri Kedah serta laksanakan di negeri Selangor bersama rakan-rakan yang lain.  

PAS yakin boleh menyelamatkan Malaysia yang dicintai dan disayangi ini supaya selamat daripada terjerumus ke lembah kehancuran negara oleh Umno-BN. – HARAKAHDAILY 30/7/2015

*Disunting oleh Izwan Abdul Halim dari ucapan pada Ceramah Perdana di Zon Mawar, Sungai Lalang Merbok.

Share on Myspace