Meniti kejayaan di jalan demokrasi

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

FIRMAN Allah SWT dalam Surah An-Nur 52 yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan”. (An-Nuur: 52)

Tiadalah kemenangan yang dicari bagi setiap muslim melainkan kemenangan di sisi Allah, dunia dan akhirat. Penilaian kemenangan seorang muslim bukan diukur dari kaca mata duniawi, bahkan diukur dari kaca mata yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Apakah dengan itu kita menolak dunia? Sekali-kali tidak. Dunia sebagai jambatan ke akhirat merupakan pentas utama bagi kita memastikan kemenangan diperoleh pada hari akhirat kelak.

Ketaatan kepada Allah dan Rasul secara mutlak, patuh kepada setiap perintah dan hindari setiap larangan adalah rencah utama menuju kemenangan. Apakah setiap dari kita telah sedia faham dan maklum tentang itu?

Hanya melalui jalan ilmu, kita mampu faham apa yang diperintahkan Allah, apa yang dikehendaki Rasul dalam destinasi menuju kemenangan yang diredhai.

Apatah lagi dalam melibatkan diri bersama gerakan siyasah Islamiah dalam ruang demokrasi berparlimen seperti hari ini. Cabarannya cukup getir. Likunya cukup mencabar. Tiada janji hamparan permaidani merah, melainkan komitmen yang tiada kenal erti penat dan lelah ditagih daripada setiap pendokong.

Bukan sekadar faham dan mengerti tuntutan ukhrawi, tuntutan duniawi jangan ditinggal sama sekali. Tektikal dan teknikal dalam pencak demokrasi berparlimen harus dipelajari oleh setiap pendokong yang ingin meletakkan Islam sebagai yang didaulatkan.

Sekadar untuk berkata-kata “Ayuh, kita kembali kepada Islam!” memang terlalu mudah. Semua muslim tentu sekali sedia melakukannya. Namun apakah laungan kata-kata itu mampu kita fahami untuk kita terjemahkan agar diterima oleh setiap jiwa insan?

Di sinilah cabaran antara yang kita hadapi dan depani. Biarpun ilmu menjadi teras dalam memperjuangkan Islam, fakta betapa ramai dari kita enggan berfikir berdasarkan ilmu bukan sentiment semata-mata telah sedia dibicara dan dibincang di mana-mana.

Sedang masyarakat sekliling penuh memerhati apakah terjemah yang mampu kita jelmakan dengan “Kembali kepada Islam itu”. Bahkan kalimah ini kadangkala masih kabur di kalangan pendokong apatah umat Islam itu sendiri.

Justeru, apakah yang harus kita lakukan dalam waktu-waktu sebegini? Tidak lain tidak bukan, tanamkan tekad untuk kembali kepada Allah SWT.

Perbanyakkanlah amal soleh yang menepati kehendak Ilahi. Peliharalah hubungan kita dengan sang pencipta dengan menunaikan setiap kewajipan dan berusaha meninggalkan setiap larangan sehabis daya.

Perbanyakkanlah doa, bermunajat bermohon taufiq dan petunjuk agar Allah SWT membimbing kita ke jalan yang diredhai-Nya. Jalan yang diredhai Allah itu belum tentu jalan yang kita sukai. Cukup sukar untuk difahami, tapi itulah liku-liku dalam perjuangan ini.

Perbaikilah hubungan kita sesama sahabat, dan rakan di sekeliling. Bersedialah untuk menyampaikan risalah dan berlapang dada untuk mendepani pelbagai perbezaan dan khilaf dalam setiap keadaan.

Sesungguhnya kita telah diajar, Allah tidak akan mempersoalkan apakah kejayaan kita sebaliknya kita akan dipersoal apakah usaha dan sumbangan kita untuk agama.

Allah itu terlalu hamper dengan kita, dampingilah Ia agar kita tenang di jalan yang pedih dan jerih ini. – HARAKAHDAILY 31/7/2015

Share on Myspace