Harapan Baru!

DR AZMAN IBRAHIM | .

Sewaktu nekad membuat keputusan untuk meletakkan jawatan dari USM pada Mac 2003, pada hari terakhir saya sebagai warga USM, saya telah serahkan segala kemudahan dan kelengkapan yang dibekalkan USM kepada saya.

Komputer, telefon, kad nama sehinggakan white coat (jubah putih doktor) yang sebenarnya memang diberikan milik kepada saya dan tukang jahit ukur pada tubuh saya pun saya pulangkan kerana saya faham white coat itu diberikan untuk kerja di USM bukannya untuk dibawa balik. Pelekat kenderaan pun saya pulangkan.

Saya juga check sekiranya ada sebarang hutang piutang dengan USM yang belum dijelaskan.

Apabila saya melihat di USM bukan lagi masa depan saya dan saya perlu membina satu harapan baru di tempat lain, I have to say goodbye dengan penuh gentleman. Sebab kenapa saya melihat masa depan saya bukan lagi di USM tentunya pelbagai. Tapi saya tak perlu nak memburukkan dan merosakkan USM kerana saya dah tak suka. Di situ masih ada ribuan pelajar dan ribuan orang lain yang menumpang mencari rezeki.

Walaupun tak banyak, sedikit sebanyak USM tetap berjasa kepada saya. Di sini tempat saya pernah mencari sesuap rezeki. Ada darah dan daging saya serta anak-anak dan isteri yang terbina dari makan sumber rezeki gaji yang diterima dari USM.

Di sini saya belajar banyak perkara dalam dunia akademik dan perubatan. Dengan berada di sini saya pernah bergelar Pensyarah Pelatih.

Selepas meletakkan jawatan, baru saya start urusan dari A hingga Z untuk membuka klinik sendiri. Bukannya ketika saya masih makan gaji dengan USM, masih memakai uniform USM tetapi setiap hari saya memperlekehkan USM dan menjaja ke sana-sini bahawa klinik saya nanti lebih baik dan lebih memberikan harapan! Itu namanya satu kebodohan.

Saya juga tak berminat untuk mengambil alih mana-mana klinik yang telah gagal sebelum ini lalu ditukar kepada nama saya. Biarlah saya bina jenama saya sendiri dari zero.

Hatta T-shirt yang dibeli dengan duit sendiri tertulis USM, saya tak lagi memakainya selepas meletakkan jawatan.  Sebarang urusan klinik saya yang baru dibuka, tak ada sikit pun nak guna nama USM atau tumpang populariti USM.

Saya juga bersedia menerima hakikat bahawa kawan-kawan di USM akan memutuskan hubungan dengan saya serta memburukkan saya. Terpulanglah…

Ini adalah suatu perjalanan kehidupan. - HARAKAHDAILY 2/8/2015

Share on Myspace