Azalina hina maruah wanita

HAFIZAH ABU BAKAR | .

Berdasarkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menegur pihak di Lembaga Penapisan Filem (LPF) “agar tidak berfikiran sempit dan berkata, isu mengenai adegan pasangan bercinta berpegangan tangan atau berpelukan tidak perlu diperbesarkan memandangkan ia sekadar lakonan yang tidak mengundang maksiat terhadap penonton”.

Sebagai seorang mahasiswi, saya sangat tidak bersetuju atas kenyataan tersebut,seolah-olah ia merupakan satu penghinaan maruah wanita. Sedangkan islam menjaga wanita, bukan diperlakukan sesuka hati lebih-lebih lagi dijadikan bahan untuk dipertontonkan walaupun menggunakan industri perfileman sebagai perisai untuk mencari sumber rezeki.

Penegasan di sini adalah “dalam islam matlamat tidak boleh menghalalkan cara”. Sedangkan Rasulullah s.a.w. sendiri sering mengingatkan agar umat Islam menghargai dan memuliakan kaum wanita.

Baginda bersabda yang bermaksud: اِسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا “Aku wasiatkan kepada kalian untuk berbuat baik kepada para wanita.” (HR Muslim: 3729)

Sebagai pemimpin, beliau harus menunaikan tanggungjawab beliau sesuai dengan apa yang telah digariskan oleh hukum syarak, bukannya menyeru rakyat Malaysia supaya “jangan berfikiran sempit” padahal beliau sendiri tahu bahawa Malaysia merupakan Negara Islam.

Beliau sebagai pemimpin juga seharusnya menjadi rujukan dan contoh buat masyarakat bukannya bercakap perkara yang tidak bermanfaat sesukanya. Sesuai dengan firman Allah surah Ali-Imran ayat 104 yang bermaksud: Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan islam) dan menyuruh berbuat segala perkara baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

Saya sebagai Helwani Kelab Sahabat Al-Hikmah ingin menyeru kepada semua mahasiswi agar menolak pandangan Datuk Seri Azalina sebagai tanda kita tidak bersetuju maruah wanita seolah-olah direndahkan begitu mudah.

Pendirian Kelab Sahabat Al-Hikmah Umskal juga tidak bersetuju dan memohon Datuk Seri Azalina menarik balik kanyataan tersebut serta kembali semula kepada syariat Islam yang bersifat syumul. Wallahualam. - HARAKAHDAILY 3/8/2015
 
Helwani Kelab Sahabat Al-Hikmah
Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL)

Share on Myspace