Teringat pesanan Allahyarham Ustaz Hassan Shukri

DR AZMAN IBRAHIM | .

Arwah Ustaz Hassan Shukri saya anggap sebagai bapa saya. Beliau yang membantu mencarikan tempat pengajian untuk saya di bumi Baghdad sehingga saya berjaya memasuki Universiti Baghdad dengan biaya Kerajaan Iraq sepenuhnya tanpa 1 dinar pun bayaran yuran pengajian. Beliau juga yang hantar saya serta kawan-kawan sampai ke Baghdad dan dari masa ke semasa selalu datang menjenguk kami nun jauh di negara Iraq yang sedang dilanda sekatan ekonomi oleh PBB. Bukannya ada flight direct ke Baghdad kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad ditutup selepas Perang Teluk 1991. Pintu masuk terdekat ialah Amman. Dari Amman ke Baghdad perlu melalui jalan darat selama 17 jam. Tapi Ustaz Hassan tetap datang menjenguk kami.

Arwah pernah pesan… “Azman, jangan takut nak berjuang Islam. Kita tak akan jadi papa kerana buat kerja Islam. Mungkin kita tak kaya tapi Allah akan pelihara orang yang menegakkan agamanya dari kehinaan dan kepapaan…”

Arwah Ustaz Hassan pernah menjawat jawatan nombor 2 dalam PAS dan pernah juga kalah dalam pemilihan parti apabila beliau bertanding sebagai Timbalan Presiden. Tapi beliau tetap kekal istiqamah. Malah beliau sendiri yang kerja sapu sampah dan mesin rumput di sekeliling Markaz Tarbiyah Taman Melewar.

Pernah beliau cerita kepada saya ketika datang melawat kami di Baghdad selepas Pilihan raya Umum 1995, “Ustaz Nakhaie tu duduk sebelah rumah ana, Abdul Malek Hussin (Calon PAS yang tarik diri dari pencalonan Parlimen Bandar Tun Razak PRU 1995 dan memberikan BN menang percuma) ana bagi tumpang tinggal di tingkat atas rumah ana. Dua-dua lari belaka dah. Tinggal ana sorang saja yang belum lari.”

Arwah Datuk Omar Mohamad, Bekas Exco Kerajaan Kelantan, bekas Ketua Penerangan PAS Pusat dan bekas Speaker Dun Kelantan. Pada 10 Mei 2014 ketika program Liqa Fikri PAS Pusat di Dewan Jubli Perak, Shah Alam. Kebetulan saya sampai hampir serentak dengan Datuk Omar. Sama-sama parking kereta di luar pagar walaupun beliau sebagai VIP layak parking dalam pagar. Saya berjalan beriringan dengan arwah sambil pimpin tangan beliau yang kelihatan uzur. Langkahnya perlahan-lahan. Sempat Datuk Omar cakap… “Ginilah ana, berjuang dalam parti dari muda, sihat, loni sampai uzur doh. Man… Kalu enta nak jadi pemimpin parti, enta kena sedia jadi ppoyok (tempoyak) orang letak dalam budu. Kalu enta nak jadi pemimpin tapi kita nak jadi serupa hantaran orang letak atas par, baik tak payah jadi pemimpin!”

Datuk Mohamad Daud Iraqi, jiran saya di Kubang Kerian. Sama-sama semayang di Masjid Mardhiah di Kampung Demit, Kubang Kerian. Masjid tu di buat atas tanah Arwah Datuk Mohamad Nasir, bekas MB Kelantan yang juga mertua Ustaz Mad Iraq. Selepas semayang subuh, saya selalu duduk mengadap Ustaz Mad untuk mendengar kisah-kisah perjuangan. Tutur kata orang lama penuh kejernihan dan sarat dengan pengalaman.

Ustaz Mad Iraq selalu pesan, “Dalam berjuang ni kita akan jumpa belaka, ada pahit, ada manis. Pahit atau manis kita kena telan belaka. Kalau boleh kunyah sebelum telan, kunyah dulu. Kalau tak boleh kunyah sebab pahit, pakai telan gitu saja. Kehek  jangan sekali.”

Dah bertahun Ustaz Mad dalam keuzuran. Orang-orang lama dalam parti seorang demi seorang pergi meninggalkan kita dalam keadaan mereka istiqamah sampai akhir hayat. Meninggalkan kepada kita tugasan perjuangan yang belum selesai untuk disambung. - HARAKAHDAILY 5/8/2015

Share on Myspace