PAS harapan untuk semua

HISHAMUDDIN ABDUL KARIM | .

Mengimbau derap langkah titian perjalanan ditempuh PAS di persada politik negara selama 64 tahun sememangnya menimbulkan rasa kebanggaan. Walaupun secara rasmi ditubuhkan pada tahun 1951, hakikatnya ia adalah kesinambungan perjuangan terdahulu yang bersusur galur juga dari perjuangan para Rasul AS. Dari celahan kebangkitannya, telah lahir tokoh-tokoh yang mengagumkan dan nama mereka sentiasa harum dan mekar di medan ummah.

Ikon Anak Muda

Antaranya individu seperti Saudara Salahuddin Ayub yang layak dinobatkan sebagai ikon anak muda PAS. Keberadaan beliau dalam kepimpinan Pemuda PAS suatu waktu dahulu telah meletakkan beliau kukuh di hati anak muda. Begitu juga Haji Mohamad Sabu, sedang nama-nama lain tidaklah sebesar nama mereka berdua.

Hakikatnya, tidak ada manusia sempurna sekalipun menjadi pemimpin utama sesebuah organisasi. Tetapi setiap kelemahan seakan tertutup tatkala jaringan di bawahnya memainkan peranan saling melengkapi. Sesungguhnya anak muda PAS memahami, tiada kamus ‘taasub’ kepada mana-mana individu kepimpinan dalam PAS.

Hanya ada dalam diri kami adalah kepatuhan dan kesetiaan terhadap setiap arahan yang difahami tidak berlaku percanggahan dengan nas panduan wahyu. Pendirian dan sikap Pemuda ini tegas berprinsip kepada sesiapa sahaja termasuklah terhadap Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS sekarang.

Bahkan ia juga menjadi pegangan sebahagian besar ahli PAS yang dibentuk dengan acuan tarbiyah. Kepatuhan dan kesetiaan kepada PAS kerana jamaah ini dilihat kekal istiqamah dengan keaslian perjuangannya.

Sifat seperti itulah jugalah yang berlaku di zaman Salahuddin mahupun Mat Sabu. Mereka dipatuhi dan anak muda setia bersama mereka ketika memimpin organisasi Dewan Pemuda PAS, walaupun mereka tidak menyandang gelaran sebagai ‘ulamak’. Tetapi semua itu telah menjadi memori lampau, ketika masing-masing dilihat istiqamah dengan PAS dan garis panduan dasarnya.

Kini mereka berdua sendiri memilih jalan yang menghancurkan kedudukan dan imej ikonik kebanggaan anak muda pada satu ketika dahulu. Ditambah gugusan kecil yang turut mengundur diri meletakkan jawatan dan menghembus hasutan-hasutan keciciran dari landasan perjuangan ini. Namun, anak muda PAS membuktikan konsistensinya, walaupun berada di dasar paling bawah hirarki parti, tetap tersemat kesediaan menadah tanggungjawab yang telah dikosongkan. Perjuangan akan terus dilangsungkan “Beristiqamah Hingga Kemenangan”. Syabas anak muda PAS.

Pun begitu, belum terlambat untuk kami mengharapkan tokoh-tokoh yang pernah memimpin PAS ini kembali ke landasan asal perjuangan. Allah itu Maha Pengampun lagi menerima taubat hamba-hamba-Nya yang sentiasa mahu membersihkan diri. Itulah sifat yang ditunjukkan pada banyak ayat-ayat al-Quran menyentuh susuk insan pejuang. Tiada sekelumit kehinaan untuk mereka jika kembali ke pangkuan PAS yang pernah menjadi taman suka duka bersama.

Berbangga Dengan PAS

Dahulu, semua berbangga dengan PAS dan segalanya mahu disandarkan kepada PAS, hatta segenap identitinya seakan mahu terdakap sentiasa pada diri. Beberapa tahun dahulu, saya pernah ditegur oleh salah seorang dari kalangan mereka yang kini bersama kumpulan G18 atau kini dikenali dengan nama Gerakan Harapan Baru (GHB). Semasa mempengerusikan majlis, saya tersilap ‘address’ mendahulukan jawatan beliau sebagai Ahli Parlimen merangkap AJK PAS Pusat. Beliau pantas berkomentar di dalam majlis itu menyatakan dirinya lebih berbangga jika pengerusi majlis memperkenalkannya sebagai AJK PAS Pusat terlebih dahulu dari jawatan sebagai Ahli Parlimen. Hebat! Tidakkah itu menandakan bahawa mereka berbangga dengan PAS?

Itu telah jadi sejarah. Kini, beliau telah bergabung tenaga untuk membina GHB hingga menjadi sebuah parti politik. Tiada lagi kebanggaan bersama PAS setelah kehilangan jawatan lantaran tidak terpilih sebagai AJK PAS Pusat. Malah kerja mereka kini dilihat ingin merempuh dan melanggar PAS. Kini, beliaulah antara yang gigih berusaha untuk mengambil alih parti KITA bagi menyaingi keberadaan PAS sebagai sebuah parti Islam di dalam negara ini.

Anak muda sebenarnya cukup berbangga dengan PAS apabila berjaya lahirkan individu seperti Almarhum Ustaz Abu Bakar Chik. Sekecil manapun jiwa anak muda PAS, di sanubarinya tersemat cita-cita untuk mencontohi tokoh penuh tauladan ini. Almarhum merai kehendak ahli-ahli PAS yang mahu beliau bertanding sebagai Naib Presiden pada muktamar lalu, tetapi beliau kalah. Baris giginya tersusun menghias senyuman ketika pengumuman keputusan dibaca. Tidak mencuka sedikitpun kekecewaan di wajah, jauh sekali istilah merajuk dalam kamus hidupnya.

Saat dipilih kembali sebagai AJK lantikan, beliau menerima dan bertanggungjawab pula melaksanakan amanah. Tiada keluhan, lalu berjuang sehingga nafas terakhir. Ramai yang buat perbandingan, zaman Almarhum tiada kata nista dan fitnah yang berlaku. Berbeza pemilihan tempoh hari yang dipenuhi dengan kata nista dan fitnah peribadi. Ada pula ‘chai’ hingga pimpinan PAS Pusat digelar dan dilabel sebagai ‘pimpinan chai’.

Fitnah Pemilihan

Selama ini, budaya thiqah (kepercayaan yang tinggi) kepada pimpinan tertinggi PAS begitu hebat diamalkan, semangat persaudaraan membasahi keharmonian. Bahkan berbicara mengenai ‘tadhiyah’ (pengorbanan) juga sudah tidak mampu untuk diacu bandingkan. Semuanya kenangan indah PAS suatu ketika dahulu, tetapi kini, semuanya dirobek oleh tangan pimpinan sendiri apabila budaya thiqah dicemari. Tahap kepercayaan yang tinggi dihancurkan sekelip mata, sedang mereka yang setia digelar sebagai ‘walaun’. Pengorbanan dilihat secara berpihak seolah-olah orang lain tidak pernah ada jasa dan bakti buat jamaah tersayang ini.

Budaya fitnah merebak dalam jamaah dan parti hingga sukar dibendung. Kelahiran gajet moden pula umpama pakej lengkap untuk menyempurnakan kerja-kerja fitnah. Dari pengamatan yang dibuat, semua pihak terkena tempiasnya, menjarah hingga ke atas batang tubuh al-Mursyidul Am, Tuan Guru Presiden dan lain-lain pimpinan. Ertinya, fitnah ini melanda semua pihak, siapa yang mulakan api fitnah, merekalah yang perlu menjawab di hadapan Allah SWT. Di sinilah pentingnya melihat tarbiyah Nabi SAW yang memberikan penegasan serius berhubung beriman kepada hari akhirat.

Pemilihan pimpinan tertinggi PAS melibatkan aturcara pengundian dari kawasan seluruh negara sebagai perwakilan. Saya tidak fikir mereka menjadi ‘bengap’ kerana kertas chai. Saya tidak fikir mereka ‘dungu’ mengamati perkembangan politik semasa PAS. Saya tidak percaya mereka lupa kempen terbuka pemimpin DAP untuk menjatuhkan kepimpinan Tuan Guru Presiden. Mereka tidak buta dalam mengamati situasi perkembangan politik semasa dalaman Pakatan Rakyat.

Keupayaan para perwakilan memilih kepimpinan untuk membawa hala tuju PAS sepatutnya diberikan peluang dan kepercayaan, bukan dengan mengancam keluar parti kerana gagal terpilih. Prestasi satu penggal kepimpinan sedia ada akan dinilai. Pemilihan penggal depan, terserah semula kepada perwakilan untuk merumuskan formula baharu.

Titik Pecah

Ramai meletakkan tanggapan perpecahan ini bermula dengan isu Hudud yang dibawa PAS. Saya tidak melihat demikian. Ia satu kronologi panjang. Tidaklah perlu dihuraikan dalam kesempatan ini. Paling penting, PAS memiliki satu pendirian yang kukuh dan konsisten dalam perjuangannya. Ya, ia berhak didebat, diforum, diwacana dan ke segala medan bahas. Tetapi pendirian ini hakikatnya selari dari zaman kepimpinan Almarhum Tuan Guru Datuk Haji Fadzil Mohd Noor. Bahkan juga melangsungkan amanat perjuangan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz. Kerana ia bersumber dari roh dan semangat yang sama, iaitulah perjuangan Islam berpaksikan al-Quran, as-Sunnah, ijmak ulama dan qiyas. Sama sekali ia jauh menyamai Islam Liberal, Islam Progresif atau sebarang jenama tempelan.

Perlu untuk dianalisa mendalam adalah campur tangan DAP dalam kemelut dalaman PAS yang sangat-sangat menghairankan. Lebih hairan, kumpulan yang menjadi kepimpinan PAS seolah-olah tiada perasaan melihat kecaman DAP terhadap PAS. Fokus dan sasaran yang menjadi mangsa kemarahan tetap menimpa Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Susuk tubuh inilah yang selalu menjadi ‘punching bag’ rakan pimpinan sendiri. Maka tidaklah pelik kalau G18 mengambil sikap untuk membina parti baru menyaingi PAS.

Parti Politik Baharu

Gagasan penubuhan sebuah parti politik baharu di pentas politik Malaysia secara sisi positif akan mewajahkan kesuburan demokrasi berparlimen dalam Malaysia. Tetapi untuk bersatu hati menjadi pesaing dan lawan kepada Barisan Nasional, ia dilihat tidak akan kesampaian. Apapun keadaannya, PAS jugalah dilihat sebagai pesaing utama Umno. Ia diakui semua pihak. Menyaingi PAS bererti memberi talian hayat untuk Umno yang sedang nazak.

PAS dididik untuk bergerak di dalam acuan dakwah dan politik (berpilihanraya) sebagai wasilah dan ruang mencapai matlamat perjuangan Islam. Penglibatan PAS di pentas demokrasi ini mulai menjadi rujukan kepada gerakan Islam di seluruh dunia. PAS bertekad untuk menang dalam penyertaannya, tetapi tidaklah kalah itu akan membebalkannya. Keredhaan Allah itu lebih penting setelah segala kemampuan dikerahkan untuk merebut kemenangan. Hakikatnya, Allah jualan yang menganugerahkan kemenangan itu sama ada memenangi majoriti undi atau tetap menang juga apabila terus istiqamah melangsungkan perjuangan Islam.

Malangnya ada pula yang sinikal menyindir dan mempolemikkan secara hina ungkapan untuk mencari keredhaan Allah. PAS melibatkan diri dalam pilihan raya untuk menang, tetapi PAS juga bersedia untuk kalah. Sebab itu, semua jentera PAS gigih melaksanakan agenda culaan pengundi, pendaftaran pengundi baru, menyokong tuntutan pilihan raya yang lebih telus, pendekatan mesra dengan rakyat dan lain-lain lagi. Semua ini kerja untuk menang. Tetapi seandainya kekalahan juga yang terpaksa dilalui, PAS bersedia menyambut kekalahan tersebut.

Acuan PAS melalui dasarnya yang jelas tidak menimbulkan keraguan lagi kepada semua. Ujian getir yang dilalui PAS merupakan asam garam perjuangan sentiasa memberikan kematangan buat masa depan PAS. Kehilangan tokoh-tokoh kepimpinan tidak melumpuhkan PAS. Akan lahir generasi baru untuk mengisi kekosongan tersebut, Insya Allah.

GHB tidak sewajarnya menggunakan kesempatan sebagai ahli PAS untuk menangguk sokongan dari akar umbi PAS, itu dilihat khianat. Menggunakan premis PAS untuk kembang biak sebuah parti yang baharu dilihat songsang. Andai sudah tahu ingin membina parti baharu yang ingin saingi PAS, mengapa masih mengambil kesempatan atas premis PAS?

Akhirnya Terbukti

Gerakan Harapan Baru muncul setelah digagaskan kumpulan G18. Mengapa gerangannya dinamakan G18 tidaklah pula diketahui. Hairan apabila mereka yang bergelar pemimpin PAS tetapi tidak terzahir naluri menjaga PAS dengan sepenuh hati. Tetapi ‘pemberontakan’ mereka tidak lebih dari melanjutkan kronologi sebelum keberantakan ini berlaku. Bahkan menjadi ‘bahan bukti’ terhadap segala kecurigaan yang pernah bersarang di lubuk hati setiap pencinta PAS.

Sepeninggalan mereka mungkin membekas kepada abna’ al-harakah seperti lapisan saya hari ini. Gagah berpidato membedah kalimah istiqamah di pentas tidak memberi jaminan kita akan beristiqamah melangsungkan perjuangan yang diyakini kebenarannya ini. Peristiwa ini perlu diinsafi semua yang masih berada dalam PAS.

PAS Harapan Semua

Islam merentasi zaman dan bangsa di mana menggalas perjuangan Islam bererti perlu bersedia dengan pelbagai mehnah dan tribulasi. Keutuhan PAS adalah pada ‘asolah perjuangannya. Islam pasti menjadi harapan semua pihak sama ada muslim atau bukan muslim. Bukti keutuhannya terzahir pada pemerintahan PAS di Kelantan yang bertindak adil merentasi bangsa dan agama.

Menjatuhkan Barisan Nasional tetap menjadi keutamaan PAS melalui medan demokrasi berparlimen. Pilihan raya menjadi salah satu medan sebenar untuk jatuhkan pemimpin Barisan Nasional. Alternatif kepada mereka mestilah dari sebuah parti yang merentasi sempadan bahasa dan bangsa. Sebagai rahmat untuk sekalian alam, PAS perlu menjadi harapan kepada semua rakyat Malaysia. Ia satu harapan yang sudah lama tetapi terus diperbaharui untuk dikekalkan kerelevanannya. PAS tetap menjadi harapan semua selagi Islam menjadi teras.

Seeru ‘ala barakatillah.

HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Kuala Nerus, Terengganu

Share on Myspace