Perkukuhkan saf, hancurkan kecurangan

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

SAYA berkongsi rasa sebagaimana tulisan Pak Subky, betapa bagusnya kalau hasrat pimpinan PAS lalu dalam gagasan Gerakan Harapan Baru “GHB” menarik balik hasrat untuk menubuhkan parti Islam baru di Malaysia. Sememangnya diakui impian itu tidak mudah. Usahkan mengharapkan ianya jadi nyata, mungkin sesetengah pemerhati tidak berani untuk menidakkan tertubuhnya parti Islam baru tersebut.

Apa tidaknya, gelombang ke arah penubuhan parti baru itu diperkata di mana-mana sahaja. Usahkan di darat, lautan dan di udara, bahkan ia cukup giat sebagaimana digambarkan di media-media maya.

Pun begitu, selagi ianya belum dizahirkan, saya berpandangan tidak salah untuk sesiapa sahaja meletakkan harapan agar ianya dikaji dan ditarik balik. Satu perkara yang harus disedari, tercetusnya hasrat tersebut tentu bertitiktolak dari faktor penarik dan faktor penolak.

Asal faktor penarik dan penolak itu mampu diatasi, segalanya berkemungkinan. Biarlah kita tinggalkan harapan yang saya kongsikan bersama Pak Subky itu ditangani oleh mereka yang lebih layak dan berpatutan.

Apa yang lebih utama, suasana semasa cukup mendesak untuk setiap pencinta Islam itu berada dalam satu ketumbukan yang kuat bagi menepis setiap kedurjanaan yang berlaku dalam negara.

Sebagaimana firman Allah S.W.T. dalam surah As-Saff yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh". [As-Saff:5]

Harapan saya agar setiap pendukung Islam bersungguh dalam mentadabur dan memahami pesanan penting dari apa yang difirmankan. Tidak mudah untuk memulihkan sistem kenegaraan yang dipunahkan sepanjang pemerintahan yang diterajui Umno tanpa satu benteng perjuangan yang kukuh dan utuh.

Satu persatu institusi dalam negara seolah-olah telah tiada wibawa dan tidak lagi mampu berjalan sendiri. Dalam penulisan lalu, telah saya kemukakan bagaimana pemecatan Peguam Negara dilakukan dengan terlalu rakus dan di luar jangka.

Kita memerhati setiap apa yang berlaku bukan hanya dengan perasaan bencikan Umno semata-mata, bahkan setiap penentangan yang kita kemukakan haruslah didasari hujah dan nas yang cukup telah kuat.

Beriringan dengan pemecatan Peguam Negara tersebut, cuba kita perhatikan bagaimana penangguhan perjalanan dan fungsi Public Accounts Committee (PAC) yang diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Haji Mulia.

Pengumuman yang dibuat pada 30 Julai 2015 tersebut cukup meragukan memandangkan alasan yang dikemukakan begitu bersahaja. Hanya kerana perlantikan beberapa ahli PAC ke dalam jemaah kabinet, tugas PAC yang begitu penting dan utama dalam membongkar isu 1MDB terpaksa ditangguh.

Keputusan penangguhan tersebut dibuat berdasarkan Peraturan 77 (4), Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang menghalang seseorang menteri dan timbalan menteri sebagai Pengerusi PAC.

Pelantikan Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai timbalan menteri Dalam Negeri pada 28 Julai oleh YAB Perdana Menteri dikatakan menjadi punca kepada penangguhan PAC.

Selain Pengerusi PAC, tiga anggota PAC turut dilantik sebagai jemaah kabinet baru. Mereka termasuklah Datuk Wilfred Madius Tangau sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, serta Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri.

Dengan meneliti peraturan-peraturan lain termasuklah Peraturan 77(3), 82(1), 83(3) dan 83(7), saya berpandangan perjalanan dan operasi PAC tidak seharusnya ditangguhkan dan boleh berjalan sebagaimana dijadualkan.

Perlu sentiasa diingat, PAC adalah satu badan yang diletakkan di bawah Parlimen yang merupakan satu badan penting dalam (ceck and balance) periksa dan imbang dalam sistem pengasingan kuasa yang diamalkan di Malaysia. Tidak cukup dari itu, Parlimen adalah badan penting dalam amalan demokrasi berparlimen yang sekian lama dihormati rakyat selama ini.

Dengan pelbagai kecelaruan mutakhir ini yang melibatkan institusi-institusi utama lain termasuklah siasatan polis ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), wajarlah ingatan Yang Amat Arif Almarhum Raja Azlan Shah, Ketua Hakim Negara pada ketika itu diberi perhatian sedalam-dalamnya.

Isu yang mendasari 1MDB ini adalah berkisar kepada penyelewengan kuasa, rasuah dan politiking yang amat berlebihan. Dalam suatu kes yang membabitkan Menteri Besar Selangor iaitu PUBLIC PROSECUTOR v DATUK HAJI HARUN BIN HAJI IDRIS, [1977] 1 MLJ 15, beberapa peringatan penting telah dibangkitkan oleh beliau dalam penghakimannya.

Antaranya termasuklah kata-kata masyhur Lord Acton’s “power tends to corrupt, and absolute power corrupts absolutely”. Dengan kata-kata lain, beliau memperingatkan betapa kuasa dan kecurangan itu amat beriringan antara satu sama lain. Bahkan kuasa yang mutlak itu akan membuka ruang amalan kecurangan yang seluas-luasnya.

Apakah situasi semasa menggambarkan apa yang diperingatkan beliau di atas? Tiada lagi badan atau insititusi yang berperanan sebagai periksa dan imbang antara institusi sesama institusi lain? Apakah situasi semasa menampilkan seseorang yang memegang kuasa memusatkan seluruh kuasa dalam genggamannya agar tiada lagi yang mampu menahan sebarang kehendak dan kemahuan?

Dengan apa yang dikemukakan, saya percaya hanya kesatuan pejuang Islam yang didasari iltizam kebenaran mampu membetulkan kepincangan yang berlaku. Kecurangan kuasa hanya dapat diruntuhkan dengan keazaman yang bulat dari setiap jiwa yang bencikan kemunkaran dan cintakan kebenaran.

Moga berbaki masa yang ada menjadi ruang yang cukup ampuh untuk setiap dari kita bermuhasabah apakah tindakan kita ini membantu mencegah kemunkaran atau ia hanya menghalang suatu kebaikan disuburkan. - HARAKAHDAILY 7/8/2015

Share on Myspace