Perkukuhkan jentera parti

TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .

Situasi negara hari ini di mana semua institusi berkuasa kini tidak dapat bergerak bebas, kejatuhan dahsyat nilai Ringgit dan kemelut 1MDB telah menjadi bom jangka yang akan menumbangkan kerajaan BN, insya Allah.

Dalam situasi yang tidak menentu ini pelbagai kemungkinan boleh berlaku, termasuk peletakan jawatan Perdana Menteri atau pilihan raya umum ke-14 lebih awal dari apa yang kita jangka.

Semua kemungkinan ini menuntut agar parti meningkatkan gerak kerja, penyusunan jentera dengan memberi fokus kepada usaha menarik dan memberi kesedaran kepada pengundi agar bangkit melakukan perubahan.

Polemik dalaman parti perlu dikurangkan. Serangan dan perbalahan dalam media sosial yang tidak membantu perjuangan perlu ditamatkan. Awasi golongan yang sengaja melekakan dan menjerat kita dengan polemik yang tidak berkesudahan. Jaga akhlak dan sentiasa gunakan pendekatan dakwah.

Kerajaan yang hilang integriti dan bertindak di luar kotak sistem demokrasi dan salah guna undang-undang untuk menjustifikasi tindakan sumbangnya telah menyebabkan rakyat berasa meluat. Setiap perbualan di kalangan rakyat marhaen kini berkisar kegelisahan terhadap masa depan negara.

Setiap detik, ada sahaja peristiwa yang mengejutkan rakyat bagaikan usaha semata-mata  melindungi penyelewengan dan salahguna kuasa. Yakinlah semua tindakan melampau ini akan mempercepatkan tumbangnya kerajaan BN.

Oleh itu, fokus wajib diberikan kepada usaha-usaha membantu perubahan negara. Saya sering kali menyatakan perlunya kita membesarkan isu rakyat, memberi perhatian khusus kepada bebanan hidup yang sedang ditanggung oleh rakyat dan penjawat awam, melawan dan mengkritik salah guna kuasa dan rasuah serta mengambil berat terhadap kejatuhan Ringgit dan hilangnya daya saing negara.

Setiap anggota parti perlu bertindak bagi melakukan sesuatu yang memberi nilai tambah kekuatan parti. Di saat rakyat melihat ketegasan PAS terhadap prinsip perjuangan dan gagalnya Umno membela nasib agama dan bangsa, di saat terhakisnya keyakinan kakitangan kerajaan terhadap parti pemerintah, insya Allah harapan rakyat untuk mendapatkan perubahan ini tidak disia-siakan.

Inilah masa kita kemukakan gagasan Islam sebagai rahmat dan sistem terbaik bagi negara ini. Bermula sekarang, jentera parti perlu fokus kepada persiapan luar biasa bagi menghadapi cabaran ini. Perkukuhkan aqidah perjuangan, tingkatkan mujahadah dan istiqamah dalam perjuangan.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
8 Ogos 2015 - HARAKAHDAILY 8/8/2015

Share on Myspace