100 hari yang cukup genting

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

 

KEBEJATAN yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan parti United Malay National Organisation (Umno) tidak lagi dibicarakan secara tertutup oleh ahli-ahlinya dan penyokongnya. Jika sebelum ini hanya parti-parti pembangkang melalui pendukung dan penyokongnya menyarakan gagalnya parti Umno menerajui kerajaan, kini tidak lagi.

Kepincangan parti Umno dalam memimpin Barisan Nasional (BN) kini dibicarakan secara terbuka oleh pendokong dan penyokong mereka sendiri. Tidak lain tidak bukan, ia menggambarkan betapa kepincangan hari ini yang dilakukan oleh pimpinan Umno amat keterlaluan dan tidak lagi boleh dikompromi untuk diberi pengampunan.

Demikianlah senario yang difahami oleh kebanyakan rakyat hatta mereka yang sebelum ini tidak mengambil berat hal-ehwal politik negara. di tengah kepincangan parti Umno yang kian terserlah inilah, cabaran unik sebagai muhasabah dan hisab menimpa Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Saya hanya mengambil manfaat tempoh 100 hari sebaik Muktamar PAS ke-61 melabuh tirainya agar berlalunya 100 hari ini, PAS kian utuh dan mampu mengisi kekosongan Umno yang ditolak mejoriti rakyat. Tempoh ini sebetulnya amat penting.

Kebijaksanaan setiap dari pendukung PAS memanfaatkan ruang dan kesempatan yang ada mampu meletakkan PAS sebagai badan siasah yang mampu menjuarai isu-isu rakyat sebagaimana tuntutan sistem demokrasi atas prinsip-prinsip Islam. Sebaliknya, tiada kesungguhan setiap dari pendukung PAS dalam tempoh ini hanya akan merugikan PAS sebagai antara badan siasah terbesar di Malaysia.

Antara cabaran utama mendepani PAS pada masa kini tidak lain tidak bukan ialah kemungkinan tertubuhnya parti Islam baru di Malaysia yang dipelopori oleh kumpulan Gerakan Harapan Baru (GHB). Pertamanya saya suka untuk tidak menjauhkan kumpulan-kumpulan GHB dari PAS.

Apa jua alasan dan helah, mereka adalah sebahagian daripada PAS. Lebih dari itu, mereka adalah sebahagian dari kekuatan-kekuatan Islam yang saya sifatkan mangsa kepada pelbagai kekeliruan dan mehnah.

Dari apa yang disuarakan oleh kebanyakan penyokong-penyokong PAS, mereka belum bersedia ada parti baru sebagai pengganti mahupun pelengkap kepada PAS. Biarpun ada yang berhujah dengan fakta dan alasan kuat merasionalkan penubuhan parti Islam baru, secara keseluruhannya pendukung-pendukung Islam masih belum mampu mengolah keberadaan dua parti Islam di Malaysia. Keadaan ini pada tanggapan saya amat merugikan perjuangan mendaulatkan Islam itu sendiri.

Kewujudan dua parti Islam atas alasan sebagai pelengkap atau seumpamanya, ia tetap dilihat sebagai suatu persaingan kuasa oleh majoriti pendokong dan umat Islam itu sendiri. Saya penuh yakin, setiap dari pimpinan PAS dan kumpulan GHB amat menyedari betapa kecelikan demokrasi di kalangan rakyat di negara ini masih banyak ruang yang perlu diperbaiki. Ia akan kian rumit dengan penubuhan dua parti Islam tersebut.

Cukuplah dalam ruang ini saya mengajak setiap dari kita bermuhasabah dengan apa yang telah kita tempuhi dan perancangan yang akan kita mulai pada masa mendatang. Perjuangan mendaulatkan Islam di Malaysia bukan sekadar memerangi kejahatan dan kemusnahan yang dicipta oleh Umno, lebih dari itu kita berhadapan dengan satu kepincangan sistem yang cukup berakar umbi sekian lama.

Tidak juga perjuangan Islam itu sekadar laungan slogan-slogan mengasyikkan jiwa dan menyedapkan telinga. Ia adalah suatu persoalan mengatur kebijaksanaan bertindak dalam kemajmukan masyarakat yang punyai perlembagaan dan perundangan negara yang sama.

Kepada sahabat-sahabat pembaca yang menelusuri coretan ini, berusahalah dengan sekadar kemampuan yang ada agar kesatuan para pendukung Islam dapat ditampilkan tanpa perpecahan sebagaimana hari ini. Setidak-tidaknya perbanyakkan munajat dan berdoa moga Allah memberi petunjuk kepada setiap dari kita dalam usaha menzahirkan Islam sebagai rahmatulil’alamin buat seluruh manusia. - HARAKAHDAILY 12/8/2015

Share on Myspace