Kenyataan Dr Fathul Bari menyeleweng

USTAZ NAZMI ABD KARIM | .

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Fathul Bari iaitu kewajipan mentaati pemimpin biarpun fasiq merupakan kenyataan yang tidak tepat pada masanya. Malahan kenyataan itu menyeleweng daripada kebenaran.

Ia merujuk kepada kewajipan kepada rakyat untuk patuh kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah terlibat dengan pelbagai skandal. Rakyat Malaysia bukanlah ingin mengangkat senjata, tetapi menuntut agar dia berundur termasuklah Umno dari memerintah negara.

Perbahasan tentang kewajipan mentaati pemimpin yang fasiq telah dibincangkan oleh para ulama yang terdahulu dalam sistem khalifah yang tidak sama seperti masa kini. Kewajipan mentaati itu pula merujuk kepada pengharaman mengangkat senjata bagi menggulingkan kerajaan yang disebut sebagai bughah.

Dalam sistem pilihan raya berperlembagaan sebagai mana yang diamalkan pada hari ini, kenyataan yang sepatutnya dibuat ialah kewajipan dalam menegur pemimpin yang melakukan kesalahan.

Ini sesuai dengan banyak hadis yang menyebutkan tentang kewajipan melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar. Tidak wajar hanya membaca hadis mentaati pemimpin sahaja sedangkan hadis berkaitan menegur pemimpin yang zalim disenyapkan sahaja.

Tindakannya yang menyalahgunakan nas hadis dan membacanya secara literal serta tidak melihat hadis-hadis yang lain amat dikesalkan sebagai seorang yang mendapat PhD dalam bidang Hadis. - HARAKAHDAILY 12/8/2015

Penulis ialah Ketua Lajnah Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor.

Share on Myspace