Nasib malang pegawai perkhidmatan awam

USTAZ IDRIS AHMAD | .

Kisah tragis berlaku kepada dua orang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan inilah secebis kisah pegawai perkhidmatan awam yang mempunyai integriti terpaksa membayar harga yang mahal.

Isu penyiasatan 1MDB, Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Bahagian Strategik Komunikasi, Datuk Rohaizad Yaacob ditukar serta merta ke Jabatan Perdana Menteri.

Alhamdulillah akibat daripada kesedaran dan kemunculan media sosial menyebabkan kedua-dua pegawai itu terpaksa dipindah ke SPRM semula.

Pegawai kerajaan mesti berani menjalankan tugas, terutama mereka yang berada di dalam bidang penguatkuasa seperti SPRM, PDRM, Kastam, JPJ, Jabatan Hasil Dalam Negeri, Pegawai Penguatkuasa Kerajaan Tempatan, Jabatan Perhutanan dan lain-lain agensi.

Jangan peduli kepada tangan-tangan ghaib yang mengganggu tugas mereka. Allah dan rakyat sentiasa bersama dengan orang yang amanah.

Jikalau ada sebarang arahan daripada 'makhluk asing' untuk membuat sesuatu jangan diikuti, melainkan arahan secara bersurat. Jangan peduli arahan secara mulut, kerana yang binasanya pegawai sendiri apabila siasatan dibuat. Makhluk asing ini akan melepaskan diri.

Tragedi yang menimpa kepada bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Aziz Muhamad didapati bersalah terhadap dua pertuduhan menipu dan bersubahat melakukan pecah amanah wang dana projek pembangunan rakyat termiskin (PPRT) berjumlah RM11 juta mesti dijadikan iktibar. Menteri terlepas, yang menjadi mangsa ialah pegawai.

Saya yakin majoriti pegawai kerajaan cukup suka untuk berkhidmat di bawah kerajaan yang bersih dan berintegriti.

Cuba tanya pegawai kerajaan yang bertugas di bawah kerajaan Kelantan sejak 1990 hingga kini, terutama kepada mereka yang pernah bertugas di bawah kerajaan sebelumnya.

Walaupun kita tidak nafikan, kerajaan Kelantan bukanlah sempurna seratus peratus tetapi ia lebih baik daripada kerajaan sebelumnya.

Begitu juga pegawai yang pernah bertugas di Terengganu pada 1999-2004 dan Kedah 2008-2013, mereka rasa kelainan antara dua kepimpinan ini. Pegawai yang bertugas di Pulau Pinang dan Selangor pun juga terasa iklim yang berbeza. - HARAKAHDAILY 12/8/2015

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS

Share on Myspace