Apa yang saya bimbang dan meluat

ZAHARUDIN MUHAMMAD | .

Negara kita dilanda pelbagai masalah sejak kebelakangan ini. Ekonomi semakin merudum, pesawat MH370 hilang sejak setahun dan tiba-tiba hari ini ditemui serpihannya di Pulau Reunion, pesawat MH17 ditembak di Ukraine, 1MDB hilang, Tabung Haji dan TRX, isu RM2.6 bilion wang hadiah ke dalam akaun Najib Tun Razak dan terkini, wang tukaran Malaysia jatuh merudum menjadikan kedudukan matawang kita lebih teruk daripada krisis 1998. Bila mahu semua ini mahu berakhir?

Saya mungkin mempunyai kebimbangan lebih daripada itu. Iaitu siapa di belakang yang mempertahankan DS Najib dan siapa yang berpotensi bakal menggantikan DS Najib jika ia dijatuhkan? Jawapan kepada persoalan ini sangat penting justeru ia memberikan kesan yang besar kepada rakyat Malaysia terutamanya jika yang naik itu lebih teruk daripada Najib itu sendiri.

Hari ini, wang dan media adalah kunci kuasa politik. Jika ada wang, maka kadangkala orang politik boleh dibeli. Dengan wang, kadangkala orang politik boleh u-turn. Dengan wang, media boleh dikuasai. Bagi yang menguasai media, maka ia menguasai persepsi, jika mereka menguasai persepsi, maka ia menguasai politik. Lebih parah, jika seseorang ahli politik dibantu oleh ‘kuasa luar’, maka ia bukan sahaja mendapat dana kewangan bahkan mereka mendapat support dalam bentuk ‘strategy’ dan ‘tapak pelancar roket’. Jika sesuatu roket (isu) tidak boleh dilancarkan dari dalam justeru pelancarnya (media) dikawal, maka bantuan luar (media luar) boleh menjadi pelancar (pencetus) kepada sesuatu roket (sesuatu isu). Ini kemungkinan yang saya dan anda semua tidak boleh tolak.

Amalan bubble (pembelonan) dalam sistem kewangan dan pengurusan negara pada hari ini berada pada tahap ‘biasa berlaku’. Kerajaan ada asset seperti sungai, tanah dan lain-lain. Aset itu diserahkan kepada pihak swasta untuk dibangunkan. Selepas dibangunkan, nilai aset tersebut pada harga benar (fair value) ialah RM8 bilion hingga RM11 billion. Sebagai kerajaan, sepatutnya berusaha membeli dengan harga RM8 bilion dan sebagai penjual pula, ia akan berusaha menjualnya dengan harga RM11 billion. Itu demand and supply. Tetapi dalam sesetengah keadaan, kerajaan mempunyai kuasa untuk memaksa pemilik asset menjual dengan harga RM8 bilion. Sebaliknya ‘nego politik’ boleh berlaku, di mana pihak kerajaan sebagai pembeli dan pihak pemilik asset (pemegang saham) bersetuju untuk dijual beli dengan harga RM11 bilion.

Maka resultnya ialah, RM11 bilion yang dibayar oleh wang rakyat akan masuk ke syarikat swasta sebanyak RM8 bilion, RM3 bilion pula akan masuk kepada pemegang saham (pemunya syarikat) yang dilihat secara luaran sebagai ahli korporat, bukan politik. Maka RM0.5 bilion adalah ‘hadiah’ kepada individu pemilik aset manakala RM2.5 billion lagi (daripada RM3 bilion) akan masuk ke parti politik atau pemimpin politik secara off-record sebagai hadiah kepada individu atau hadiah kepada parti politik bagi tujuan mengekalkan kuasa dan pengaruhnya.

Maka RM3 bilion itu dianggap sebagai bubble dari perspektif ekonomi Islam atau diistilahkan sebagai Ghillah (غلة) yang menjadi salah satu dosa besar, sekalipun dalam sistem ekonomi kapatalis mazhab Keynessian dianggap sebagai biasa dan ‘bagus’ selama mana ia tidak membawa kepada ‘crash’ atau ‘bursts’ (meletup).

Saya melihat, bentuk transaksi bubble seperti ini dianggap biasa dalam politik kita terutamanya politik pemerintah. Mungkin margin bubble (keuntungan belon) ini adalah ‘hadiah’ yang dikatakan masuk ke akaun DS Najib. Bubble seperti ini bukan sahaja nilainya RM2.6 billion yang telah berjaya ditransferkan, tetapi bubble-bubble yang lebih kecil seperti mark-up harga perbekalan barangan dan lain-lain.

Saya pernah diminta meneliti satu kontrak supply diesel kepada satu penjana elektrik oleh satu syarikat swasta milik calon PRU yang kalah. Saya dapati syarikat swasta tersebut mendapat bayaran sekitar RM500,000 sebulan. Hanya naik RM0.25 sahaja. Bukan 10 sen dari harga pasaran, tetapi 10 sen dari harga belian. Harga pasaran RM1.80 tetapi pihak penjana elektrik membelinya dengan harga RM1.85 seliter, alasan RM0.05 itu untuk kos pengurusan.

Realitinya, syarikat swasta tersebut tidak diperlukan justeru kerja utamanya hanya bilang lori dan jaga akaun justeru lori yang penghantar diesel bukan milik syarikat swasta tersebut, tetapi ianya milik kepada pihak pembekal diesel. Setakat kerja bilang lori, pihak penjana hanya perlu upah budak SPM, kalau beri gaji RM2,000 sebulanpun, maka kosnya dalam RM24,000 setahun, berbanding habiskan RM500,000 sebulan. Daripada RM500,000 sebulan ni, maka mungkin ada yang dijadikan hadiah untuk masuk ke parti politik.

Ini sistem ekonomi yang saya tentang dan sangat benci, kerana wang yang mereka jadikan hadiah itu adalah wang saya, wang anda dan semua rakyat Malaysia seterusnya menjadikan Malaysia menghadapi kemelut ekonomi dan kemelesetan kuasa beli.

Yang saya lagi meluat ialah, apabila heboh pasal wang RM2.6 bilion masuk ke akaun DS Najib, ada yang bising bukan kepalang. Tetapi dalam masa yang sama dia pernah buat perkara yang serupa. Siapa yang baik bukan siapa yang baik sebenarnya, tetapi siapa yang licik, siapa yang menguasai media; orang yang lemah maka akan dihebohkan margin bubblenya manakala orang yang kuat, margin bubblenya tidak terhebah. Manakala orang yang bodoh pula memasukkan duit margin bubble dalam akaun peribadinya manakala orang yang cerdik pula duit margin bubble diletakkan dalam beg yang dihantar ke rumah atau guna akaun orang lain, syarikat lain, NGO lain, yayasan lain atau sebagainya.

Memang saya meluat tengok DS Najib dengan isu 1MDB, tapi meluat saya juga tiada bezanya apabila melihat orang yang juga pernah cuba melakukan margin bubble yang sama sekalipun akhirnya gagal menjadi hero menentang DS Najib. Alasannya sama, “demi kepentingan parti”.

Meluap saya bertambah meruap-ruap apabila melihat orang yang gagal melakukan margin bubble mejadi hero mengkritik DS Najib ke hulu ke hilir. Ahli dan penyokong bawahan tak tahu, bahkan duit mereka sendiri sebenarnya menjadi mangsa pemimpin-pemimpin parti mereka sendiri.

Bagi saya, DS Najib memang wajar ditukar bukan sekarang, dah lama. Bukan setakat dah lama wajib ditukar, tetapi tak sepatutnya menangpun dalam PRU. Dalam masa yang sama, saya terfikir, orang yang pernah melakukan usaha yang sama (tetapi gagal), kalau dia atau team dia naik ganti Najib, agak-agak apa yang berlaku kepada Malaysia?

Lebih teruk daripada itu, saya bimbang orang yang melakukan amalan ‘margin bubble’ ini meminta kuasa luar selamatkan dirinya manakala orang yang ingin jatuhkannya juga meminta pertolongan kuasa luar. Ingat kuasa luar akan tolong percuma? Ingat kuasa luar atau orang luar itu ‘badan kebajikan’? Orang dalam tanjung rambutan sahaja tidak dapat berfikir dengan waras betapa bahaya situasi ini.

Apa yang paling membimbangkan saya ialah, bayaran kepada kuasa besar ialah Malaysia dijadikan front liner (barisan hadapan) kepada mereka. TPPA, ia adalah tembok pertahanan ekonomi Amerika Syarikat membendung kemaraan ekonomi China. Negara yang manandatangani perjanjian itu, sama ada sedikit atau banyak butir perjanjiannya, maka secara sedar atau tidak seolah-olah meletakkan tembok pertahanan tentera Amerika berhadapan dengan musuh mereka di Asia.

Negara yang menandatangani TPPA dalam masa yang sama adalah penghalang kepada kemaraan ekonomi China, atau tidak melampau jika saya katakan, ia adalah musuh negara China. Rom berperang dengan Parsi di Palestin, maka Palestin tetap hancur dan menerima musibah samada Rom atau Parsi yang menang. Amerika berperang dengan Jepun di Malaysia, Filipina dan negara Asia lain. Sama ada Amerika menang atau Jepun yang menang, maka negara-negara yang menjadi Medan perang akan hancur sebelum negara kuasa besar kalah dan hancur. Ikut resam Thailand yang hanya beri laluan, bukan terlibat dalam kancah dan menjadi barisan depan kuasa besar. Cuma bezanya, pertempuran hari ini bukan dalam bentuk senjata, tetapi dalam bentuk kewangan dan ekonomi.

Lebih berbeza lagi, bukan kepentiingan negara menjadi kayu ukur sama ada kita mahu atau tidak terlibat dalam kancah kuasa besar ini, tetapi negara terpaksa terlibat justeru itu adalah bayaran oleh pemimpin yang ingin selamatkan diri dan karier politiknya atau bayaran oleh pembangkang yang ingin jatuhkan pemimpin dengan isu ‘margin bubble’ ini selepas mereka menang. Sebab itu saya sangat anti dan tidak bersetuju jika ada pihak, sama ada pembangkang atau pemerintah, meminta bantuan ‘luar’ dalam kemelut negara sekarang, terutama permintaan tolong itu dibuat dalam keadaan rakyat tidak sedar.

Bukankah rakyat negara kita dan dunia amnya dihantui oleh misteri kehilangan MH370 dan setahun kemudiannya ditemui di Pulau Reunion? Kapal terbang yang menuju ke Timur (China) tiba-tiba melencong ke Barat tanpa di kesan oleh mana-mana radar? Luar biasa! Apa dan siapa di dalamnya? MH17 ditembak di Ukraine yang menurut sebahagian berita yang kuat bukan ditembak dari darat ke udara tetapi ditembak oleh jet pejuang, apa motif mereka, siapa dan apa di dalamnya? Orang-orang Muhyiddin sudah sedari awal u-turn menyokong DS Najib sejak daripada Justo ditangkap dan dihukum oleh media sebagai pesalah? Kadangkala saya terfikir bahawa Thailand jarang mengambil berat tentang isu seperti ini dan jarang membenarkan orang luar campur tangan dalam urusan tahanannya dengan keadaan begitu mudah. Adakah Amerika atau China di belakangnya? Bukankah kita hairan, tiba-tiba tentera Amerika berada di pantai timur negara kita, untuk apa? Terakhir ini pemimpin Amerika terlalu berminat untuk melawat Malaysia sehingga Obama akan dijadualkan datang semula pada oktober atau akhir tahun ini. Semua teka teki ini diketahui oleh rakyat Malaysia.

Tuntas, penyelesaian bagi saya, hanya balik kepada sistem Islam justeru sistem Islam itu menutup semua ruang ‘margin bubble’ dan memudahkan orang yang menyeleweng di heret ke muka pengadilan, daripada serendah-rendah kerani sehingga kepada setinggi-tinggi PM sekalipun. Cumanya, masyarakat kita masih belum terdedah tentang bagaimana sistem Islam itu menutup rapat-rapat pintu ‘margin buble’ dan pemimpin korupsi ini? Insyaallah saya akan berusaha sedaya upaya berkongsi maklumat dengan semua rakyat Malaysia berkenaan sistem Islam yang baik ini.

Sekian.

# Saya akan sertai Kongres Rakyat 5 September. - HARAKAHDAILY 13/8/2015

Share on Myspace