Meneropong kemenangan di medan demokrasi

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

PERSOALAN bila lagi pertolongan dan kemenangan dari Allah itu akan tiba bukanlah suatu persoalan baru. Bahkan pada setiap tempoh perjuangan yang dilalui para Rasul Allah, itulah juga persoalan yang ditanyakan kepada utusan-utusan Allah itu.

Dari tamadun-tamadun terdahulu, kita telah menyaksikan betapa pertolongan Allah itu terlalu mudah apabila setiap rukun dan kewajipan telah dipenuhi. Lebih daripada itu, pertolongan Allah itu tidak mampu diterjemah oleh akal fikir biasa. Satu hal yang harus sentiasa kita insafi, sebagai hambanya, sempadan kita hanyalah usaha sehabis daya. Kita akan sampai ke wilayah pertolongan Allah sebaik ikhtiar terbaik dilunasi.

Itulah gambaran awal bila kita faham tentang pertolongan dan kemenangan daripada Allah pada setiap medan perjuangan. Kita renungi seketika pengajaran di sebalik perang Badar kubra yang antara lain Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu)”. [Aali Imran:123]

Dari ayat di atas dan pengalaman sirah, kemenangan mujahidin Islam di medan Badar dianugerahi Allah dalam keadaan cukup menakjubkan. Pada saat kaum muslimin itu disifatkan lemah, kecil bilangan dan kurang alatan persenjataan, Allah anugerahkan mereka kemenangan yang cukup gilang gemilang.

Kekuatan musuh yang berlipat kali ganda nyata tidak memberi kelebihan kepada mereka tatkala berhadapan dengan kebenaran. Apakah selamanya kebatilan itu akan hancur walau dengan berhadapan kebenaran yang selalu dilihat lemah dan tertindas?

Hal inilah yang ingin saya fokuskan dalam penulisan ini sebagai membuka kotak fikir kita di hujung minggu. Sering kita bicara dan dengar tentang kehebatan perjuangan Islam yang dianugerahi kemenangan pada saat mereka lemah. Wajarkah kita terus diulik dengan situasi ini hanya pada keyakinan tanpa usaha?

Perjuangan mendaulatkan Islam itu teramat rencam dalam politik moden sebagaimana hari ini. Dewasa ini persenjataan konvensyenal bukan lagi menjadi taruhan utama musuh-musuh Islam terhadap Islam.

Kita dikelilingi dengan pelbagai ciptaan instrumen iaitu tanpa kita kuasai, perjuangan Islam mudah saja tenggelam. Sistem demokrasi pilihan raya, demokrasi berparlimen, pelbagai triti moden di pelbagai peringkat dan sektor, dan bermacam lagi medan ciptaan moden akan sentiasa dikemukakan oleh pemikir moden sehingga dunia berakhir.

Mahu tidak mahu para pendokong perjuangan Tauhid wajib menguasai permainan dan selok belok pelbagai sistem dan ciptaan moden yang ada. Kemenangan dan pertolongan anugerah Allah harus kita fahami dan mampu diterjemah secukupnya.

Tidak memadai kita hanya yakin bahawa pertolongan dan kemenangan dari Allah akan tiba hanya dengan keyakinan semata-mata. Sejak dulu lagi sirah telah membuktikan kemenangan dan pertolongan Allah hanya akan menjelma pada waktu setiap pendokong Islam telah menyempurnakan segala tanggungjawab mengatasi kepentingan duniawi.

Dalam peperangan Badar kubra misalnya, kecilnya bilangan tentera Islam dengan persenjataan yang serba kekurangan bukan sengaja diadakan kerana yakin akan pertolongan dan kemenangan dari Allah semata-mata. Kecilnya bilangan tentera dan kurangnya persenjataan pada ketika itu disebabkan itulah saja yang ada pada umat Islam ketika itu.

Dengan kerahan yang sepenuhnya, baginda Rasul Allah SAW dan umat Islam hanya mampu mengadakan kelengkapan yang cukup minimum. Bukan mereka sengaja mengadakan yang sedikit. Selepas berusaha sehabis daya, hanya itu sahaja yang dapat dikumpulkan untuk mendepani tentera Quraisy. Dengan kata-kata lain, tiada lagi usaha yang dapat diberikan kerana segalanya telah diinfakkan ke jalan jihad.

Berbalik pada perjuangan kita hari ini, mari kita tanya pada diri kita sendiri, apakah kita telah lakukan sehabis daya dan infakkan segala yang termampu untuk perjuangan ini? Dengan sifat pertarungan yang didasari pelbagai ilmu moden, cuba kita tanyakan pada diri kita apakah telah kita siapkan perjuangan ini dengan bekalan ilmu yang mencukupi untuk kita mampu berhujah dan bersiapsiaga bagi meletakkan Islam itu pada tempatnya?

Atau apakah kita hanya berusaha alah kadar kerana yakin akan kebenaran perjuangan dan terus mengharap pertolongan dan anugerah kemenangan dari Allah SWT semata? Pertarungan di medan demokrasi hari ini cukup kompleks. Dengan pelbagai rupa helah dan penipuan, tanpa kelengkapan ilmu dan usaha yang bermati-matian dan berterusan, kita hanya akan menyaksikan penghujung perjuangan tanpa keberhasilan.

Tentu bukan itu yang kita mahu. Bukan kegagalan yang kita impikan. Justeru, kita tiada pilihan lain melainkan menyiapkan segala kelengkapan sehabis daya dan mampu untuk terus mara dalam memenangi medan demokrasi hari ini. – HARAKAHDAILY 15/8/2015

Share on Myspace