Belasungkawa: Tidak menang di dunia, janji menang di akhirat

Muhtar Suhaili | .


إنا لله وإنا إليه راجعون

اللهم اغفرله وارحمه وعافه واعف عنه واكرم نزله ووسع قبره وابدله دارا خيرا من داره واهلا خيرا من اهله واجعل قبره روضة من رياض الجنة

Kali terakhir sama bertemu mata dan bersalaman dengan Allahyarham Tuan Haji Adam Ahid ialah pada tengah malam 9 Ogos 2015 (atau lebih tepat awal pagi 10 Ogos 2015) yang lepas di Grand Continental Hotel.

Pada malam tersebut selepas Retreat Pemuda PAS Malaysia, PAS Sarawak mengadakan mesyuarat khas untuk membentuk AJK PAS Kawasan Santubong yang baru selepas YDPnya meletak jawatan dan mengisytiharkan menyertai GHB. Selain Pesuruhjaya, saya selaku Setiausaha PAS Sarawak, Sdr Mohammad Arifiriazul selalu Ketua Pemuda PAS Sarawak dan lebih kurang 20 orang penggerak PAS Santubong turut hadir dalam mesyuarat tersebut.

Sehari sebelumnya pada 8 Ogos 2015, saya dan Tuan Haji Adam telah menghadiri Mesyuarat Penuh AJK PAS Pusat Kali Ke-3 dan meraikan tetamu di Majlis Rumah Terbuka PAS Pusat sempena 'Eidul Fitri 1436H di Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Gambar kenangan boleh rujuk di sini: https://m.facebook.com/photo.php…

Tuan Haji Adam memaklumkan kepada saya sebelum mesyuarat bermula pada malam tersebut bahawa beliau sebenarnya kurang sihat namun tetap menggagahkan diri untuk hadir ke mesyuarat tersebut sebagai komitmen memastikan PAS Sarawak terus mara ke hadapan!

Selesai mesyuarat beliau juga mengingatkan saya untuk menguruskan tiket penerbangan ke Miri dan menyediakan draft teks Ucapan Alu-aluan beliau untuk Ijtima' Pilihanraya PAS Sarawak pada 15-16 Ogos 2015. Namun taqdir Allah mendahului, beliau telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS) Kota Samarahan pada 12 Ogos 2015 dan semenjak itu berada dalam keadaan koma sehingga disahkan meninggal dunia awal pagi tadi. Sesungguhnya semangat beliau memberi motivasi kepada kita semua!

Selesai mesyuarat pada 9 Ogos 2015 tersebut yang berakhir sekitar jam 11.45 malam, kami terus ke Bilik 605 untuk temubual khas bersama Wartawan Harakah, Ustaz Izwan Abdul Halim. Turut bersama dalam temubual tersebut ialah Ustaz Kamal Ashaari. Temubual khas bersama Pesuruhjaya PAS Sarawak tersebut tamat sekitar jam 1.00 pagi dan itulah kali terakhir saya bertemu beliau.

Temubual tersebut ada dimuat-turut di laman rasmi pas.org.my dan Allahyarham Haji Adam antaranya menyebut ""TIDAK MENANG DI DUNIA, JANJI MENANG DI AKHIRAT"!

Boleh baca lanjut di sini: http://www.pas.org.my/…/5375-tidak-menang-di-dunia-janji-me…

Sedutan temuramah tersebut:

Wartawan Harakah: "Mungkin haji boleh kongsikan terutamanya untuk ahli PAS di Semenanjung dan di tempat-tempat lain cabaran, halangan yang PAS Sarawak tempuh untuk menyampaikan Islam di Sarawak ini?"

Tuan Haji Adam Ahid: "Sekarang ini cabaran kita tidaklah begitu mencabar macam di zaman Rasulullah berdakwah dulu. Baginda berdakwah ada gangguan, halangan, ada pergaduhan. Cuma kita sekarang, kita berdakwah dari segi ahli kita kurang tenaga dan mungkin kita di segi kebendaan. Parti lain dia berkempen guna tenaga jentera Malaysia. Kita apabila memasuki pilihanraya ataupun gerak kerja ini, kita guna duit sendiri. Itu bezanya, tapi orang Barisan Nasional dia guna duit kerajaan dengan peruntukan, itu nampak dia ketengah sikit, nampak mendahului kita.

Tapi oleh kerana kita ini yang ada pada kita keikhlasan untuk berjuang. Kita guna duit sendiri untuk membawa PAS ini ke Sarawak. Kadang-kadang kita guna gaji yang sedikit itu untuk kita sumbang kepada jemaah bangunkan markas kadang-kadang adakan ‘collection’antara kita. Tapi dalam kerajaan memang guna bajet, peralatan, gunakan benda, guna semahunya jentera kerajaan Malaysia. Jadi itu sahaja perbezaan. Tapi dari segi kentalnya, istiqamahnya dan dari segi keikhlasan, kita memiliki itu.

Sebab itulah saya selalu pesan kepada sahabat-sahabat supaya kita menunjukkan peribadi yang baik pada masyarakat. Biar nanti kita tak menang pun, tetapi kita nak lawan dengan duit, kita tak banyak duit, kita nak lawan pakai jentera, kita tak cukup jentera. Tapi kalau kita lawan dengan budaya kita, dengan peribadi yang baik, akhir-akhirnya insya-Allah, orang akan terima kita. Kalau pun tak masa sekarang, insya-Allah akan datang orang akan nilai maruah ahli orang PAS kita. Kita orang baik tak melakukan rasuah, tak terima rasuah, orang akan sedar, akan faham, orang akan nilai dari baik.

Saya dulu pun sebelum masuk PAS beza dari segi pakaian, beza dari segi pemikiran, beza dari segi kesabaran kita. Itu beza kita dalam jemaah Islam, makna dari PAS ini banyak perkara yang kita berubah sehingga hilang yang buruk-buruk. Sebelum saya menyokong PAS, saya menjadi Setiausaha Sulit kepada Yang Berhormat BN. Pengalaman jadi pembantu YB itulah saya dapat pengalaman macam mana bergaul dengan masyarakat di luar, dengan pengundi layanan jika datang ke pejabat macam mana. Itulah pengalaman dan harap kita dalam PAS ini istiqamanah dalam perjuangan walaupun tak menang di dunia ini janji Allah kita akan menang di akhirat nanti insya-Allah."

Takziah buat keluarga Allahyarham dan semoga tabah serta redha menghadapi ujianNya. Mudah-mudahan roh ayahanda Pesuruhjaya ditempatkan bersama para solihin. Jua takziah kepada seluruh ahli PAS Sarawak, semoga tetap istiqamah meneruskan perjuangan beliau.

Semoga dipermudahkan Allah in shaa Allah buat jenazah ini, dipermudahkan urusan kubur dan semoga dimasukkan ke dalam Syurga Allah. Allahumma Aamiin.

‪#‎BeristiqamahHinggaKemenangan‬

Catatan Oleh:
Muhtar Suhaili As-Sarawaki
Setiausaha, Badan Perhubungan PAS Sarawak.

Share on Myspace