LEPIR dan perjuangan pendidikan Islam

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

GERAKAN dakwah di negara ini juga mempunyai sumbangan mereka yang tersendiri dalam menggerakkan pendidikan Islam di negara ini. Berakar dengan sejarah Islam yang menyaksikan Nabi Muhammad SAW membangunkan masyarakat dengan pendidikan dan pencerahan. Semenjak sebelum merdeka, angin kesedaran menuntut kemerdekaan tidak pernah terpisah dengan gerakan pendidikan negara ini.

Perkembangan Islam di Tanah Melayu juga berkait rapat dengan perkembangan Islam di luar negara apatah lagi di awal abad ke-20, sistem perhubungan dunia semakin pesat berkembang diikuti dgn alat-alat sebaran am seperti akhbar dan majalah.

Umat Islam sebahagian besar mengalami penjajahan kuasa Barat pada abad ke-19 dan di awal abad ke-20, keresahan masyarakat Islam ini telah disambut ghairah oleh segelintir anak-anak muda berpendidikan Timur Tengah dengan membahterai perjuangan mengembalikan semula roh perjuangan  kesegajatan Islam atau dikenali sebagai pan-Islamisme.

Di negara ini, telah muncul pada permulaan abad ini orang seperti Syed Sheikh al-Hadi dan Sheikh Tahir Jalaluddin. Mereka mahukan kemajuan bagi masyarakat Islam di negara ini.

Pergerakan mereka sebenarnya adalah pancaran daripada gerakan yang lebih luas di negara-negara Islam Timur Tengah yang dipelopori oleh Jamaluddin Afghani dan Muhamad Abduh. Mereka berdua ini menganggap Islam sebagai bertentangan dengan imperialisme, dan mahu melihat masyarakat Islam bangkit dan maju atas kekuatannya sendiri berlandaskan pengajarannya. Mereka juga memandang unsur-unsur kepercayaan tradisional melemahkan semangat umat Islam.

Di negara ini, Syed Sheikh dan Sheikh Tahir telah menerbitkan majalah, mengarang buku, membuka sekolah dan terus berbahas menentang apa yang mereka pandang sebagai bidaah dalam masyarakat Melayu. Mereka digelar sebagai kaum muda. Gerakan kaum muda ini telah meluas bukan sahaja di negara ini, tetapi juga di rantau Indonesia (Syed Hussin Ali, 2009).

Gerakan ini telah membumbui api semangat orang Melayu negara ini untuk menuntut ilmu dan melakukan reformasi minda untuk berhadapan dengan cabaran dunia moden terutama penjajahan Barat yang merancang dengan halus keterpurukan kaum Bumiputera.

Tokoh-tokoh gerakan reformis ini juga banyak menubuhkan sekolah-sekolah madrasah untuk melakukan pencerahan kepada masyarakat.

Antara kajian tentang pendidikan Islam dan organisasi sosiopolitik sebelum merdeka ialah Nabir Abdullah (1976). Kajian tentang institusi pendidikan tersohor tanah air iaitu Maahad al-Ehya Assharif yang mempunyai kaitan rapat dengan kebangkitan sosiopolitik sebelum kemerdekaan tanah air.

Sistem pendidikan Islam di Tanah Melayu yang kebanyakannya setakat sanawi dan memerlukan pelajar menyambung pengajian ke luar negeri ini telah mendesak supaya diwujudkan institusi pengajian tinggi Islam di Tanah Melayu.

Di sinilah peranan penting yang telah dimainkan oleh Maahad al-Ehya Asshariff yang menjadi institusi pendidikan Islam paling terkenal selepas 1945 telah memperkenalkan kelas Kismu al-Ali dan Takhasus pada 1939 yang setaraf dengan kolej. Bahkan maahad tersebut juga telah merancang menubuhkan kuliah yang setaraf dengan universiti pada tahun 1941 (Nabir Abdullah,1976).

Pada 24 Mac 1948, Majlis Tertinggi Agama (MATA) telah ditubuhkan dalam satu  persidangan di Gunung  Semanggol yang antara lain bertujuan untuk menggerakkan umat Islam dalam bidang pendidikan melalui Jawatankuasa Badan Kebajikan Pelajaran MATA.

Dalam kongres MATA di Maktab Mahmud pada 1-2 September 1947, MATA telah menubuhkan Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR) yang bertujuan mengutip wang untuk mendirikan LEPIR, mencetak buku-buku pelajaran, menerbitkan majalah dan akhbar, menubuhkan Derma Pelajaran(biasiswa), menyelaras dan menyamatarafkan kurikulum pendidikan, menghidupkan semula sekolah agama yang mati, membantah sekatan kerajaan ke atas sekolah dalam politik dan mendesak kerajaan untuk menghapuskan peraturan tauliah untuk mengajar.

Tempoh 1947-1948 telah memperlihatkan gerakan aktif LEPIR yang mendapat sokongan lebih 50 buah sekolah agama rakyat yang bernaung di bawahnya sehingga menimbulkan kebimbangan Umno.

Umno telah menubuhkan Derma Pelajaran Tinggi dan mengusahakan penubuhan Universiti Malaya di Kuala Lumpur untuk menyaingi LEPIR. LEPIR kemudian menubuhkan Pusat Pentadbiran sekolah-sekolah Rakyat Malaya dan mengatur penubuhan Universiti Rakyat atau Universiti Hang Tuah pada 1947. Jawatankuasa penaja universiti ini diketuai oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy.

Cerdik pandai Islam di negara ini di pertengahan abad ke-20 semakin galak berbincang dan mendesak supaya diadakan sebuah kolej yang setaraf dengan universiti di negara ini memandangkan kesukaran kepada anak-anak Melayu untuk menyambung pelajaran tinggi mereka dalam bidang agama.

Pelajar-pelajar yang pintar dan mempunyai kemahuan belajar terpaksa merantau ke Timur Tengah dan benua kecil India untuk menyambung pelajaran mereka.

Sebelum negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, terdapat arus yang kuat daripada golongan agama untuk menggerakkan kesedaran pendidikan di kalangan orang Islam di negara ini. Fenomena ini berpunca daripada keterpurukan bangsa Melayu berbanding kaum lain yang lebih berpeluang mendapatkan pendidikan.

Juga kesan daripada semangat nasionalisme yang turut disertai dengan keinginan membina intelektualisme bagi berhadapan dengan penjajah. Terdapat gerakan atau badan yang ditubuhkan untuk mengangkat martabat bangsa melalui medium pendidikan negara ini.

Ramlah Adam (2004) juga telah merakamkan perkembangan sosio politik yang aktif menyuburkan pendidikan sebelum negara kita mencapai kemerdekaan.

Antara badan yang ditubuhkan untuk tujuan murni ini ialah LEPIR (Lembaga Pendidikan Rakyat), yang ditubuhkan hasil kesedaran Badan Kebajikan Pelajaran MATA untuk.membangunkan pendidikan tinggi orang Melayu.

Hasil lawatan MATA ke seluruh Tanah Melayu, didapati keadaan pendidikan orang Melayu sangat lemah. Ini memang suatu hal yang sangat ketara pada masa itu. Bukan sahaja soal pendidikan tinggi agak asing bagi kebanyakan orang Melayu, tetapi juga soal mendapatkan pelajaran rendah dan menengah masih juga tidak memuaskan di kalangan orang Melayu.

Kongres untuk menubuhkan LEPIR dibuat pada 1-2 September 1947 di Maktab MahmudA Alor Setar, Kedah.

Kongres ini dihadiri oleh lebih kurang 300 orang termasuk tokoh-tokoh agama yang penting dari Sumatera, iaitu Haji Latif Zaki yang mengajar di Maktab Muhammadiah, Sumatera dan Haji Lubis dari Medan. Dr. Burhanuddin dan Ishak Haji Muhammad juga hadir sabagai menunjukkan kerjasama yang erat antara golongan radikal Melayu dengan golongan berpendidikan Islam. Beberapa resolusi telah dihasilkan daripada perbincangan kongres itu.

Antaranya termasuklah:
1. Mengutip derma untuk mendirikan Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR).
2. Menerbitkan akhbar dan majalah.
3. Memperbanyakkan sekolah rakyat.
4. Menubuhkan derma pelajaran untuk menghantar pelajar ke luar negara
5. Menyamatarafkan kurikulum pendidikan di dalam negeri dengan di luar negara.
6. Membantah tindakan kerajaan melarang berpolitik di sekolah-sekolah.
7. Meminta kerajaan menghapuskan Bahagian 9 undang-undang Islam 1904 Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, iaitu kerajaan memberi tauliah kepada mereka yang mengajar agama.

Resolusi kongres ini mencerminkan hasrat dan cita-cita besar LEPIR untuk mengangkat martabat pendidikan Islam dan anak-anak bangsa di Tanah Melayu ini.

Ia juga dimanifestasikan daripada kebencian kelompok agama terhadap penjajah yang secara sedar cuba mengaktifkan pendidikan Islam di Tanah Melayu. Penubuhan LEPIR bertitik-tolak daripada kesedaran orang Melayu untuk membajai kesedaran menuntut ilmu di kalangan orang Melayu, terutama tentang kepentingan pendidikan tinggi di mana orang Melayu agak ketinggalan akibat dasar penjajah British sendiri. – HARAKAHDAILY 18/8/2015

Penulis merupakan AJK PAS Pusat.

Share on Myspace