Jangan leka dari tanggungjawab

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

SELAGI seratus hari belum berakhir, tidak salah rasanya untuk saya menumpukan penulisan di ruangan ini bagi mengusahakan agar hanya satu parti politik berteraskan Islam di Malaysia. Sebabnya mudah, biarpun ada pendapat yang mengharuskannya, kepincangan demokrasi di Malaysia pada pandangan saya menjadikan pendapat ini kurang tepat.

Sehari dua ini telah dihebahkan parti politik Islam kedua itu diberi nama Parti Amanah Rakyat. Saranan saya kepada setiap ahli, penyokong dan pendukung Parti Islam Se-Malaysia (PAS) jangan sekali-kali bersikap mengejek atau seumpamanya kepada kemungkinan pelancaran parti tersebut. Segalanya mungkin.

Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah memastikan sesiapa sahaja yang telah berhasrat atau punyai hasrat untuk ke sana, berfikir dan mengolah secukupnya hasrat tersebut dari pelbagai sudut dan sumber maklumat. Jangan apa yang berlaku dalam PAS ditempuhi dan dialami lagi di sana yang akhirnya merencatkan perjuangan Islam itu sendiri.

Pada waktu ini setiap dari pimpinan dan pendukung PAS perlu memastikan seberapa minimum sahaja pendukung-pendukung PAS yang sedia ada melangkah ke sana. Elakkan sikap latah yang membawa lebih ramai kita kehilangan mereka yang dedikasi dalam perjuangan.

Dalam pada itu, kekosongan gerak kerja yang cukup hebat yang telah ditinggalkan oleh sahabat-sahabat  kita yang mencuba parti baru, jangan ianya dibiarkan kosong terlalu lama. Segerakanlah kekosongan itu diisi dan diberi penambahbaikan agar aspirasi rakyat berteraskan Islam akan mampu dijelmakan oleh PAS. Usah kita ralit dan leka memperkatakan sahabat-sahabat yang meninggalkan kita hingga kekosongan yang ada terus diisi dengan cemuhan mereka di luar parti.

Harus juga kita sedari kepimpinan yang berdiri teguh di belakang Tuan Guru Presiden kini adalah muka-muka baru dalam kepimpinan utama. Dalam sesi yang baru bermula, ini, segerakanlah bersatu hati memberi input yang terbaik agar kepimpinan yang ada mampu menongkah cabaran membawa pembaharuan dalam suasana politik hari ini.

Pastikan perubahan besar-besaran dalam kepimpinan utama parti yang ditentukan oleh muktamar lalu mampu menarik hati rakyat untuk bersama mendukung perjuangan yang dipimpin oleh PAS. Dalam suasana semasa, jangan usaha ini dipandang enteng. Cabarannya cukup besar dan jurangnya cukup lebar.

Ingatan Timbalan Presiden agar setiap jentera di pelbagai peringkat bersiap siaga memperkukuhkan parti perlu diberi perhatian khusus. Jangan nanti gendang perang dipalu, kita masih terkial-kial mengatur gerak tari.

Penderitaan rakyat yang kian dirasai memerlukan suatu perubahan dijelmakan di peringkat pemerintahan tertinggi negara. jangan sangka tanggungjawab ini mudah sebagaimana mudahnya kita berkata-kata. Halangannya tidak kecil dan mengisi kemenangan itu lebih getir.

Kita tiada pilihan selain perkuatkan tautan hati sesama kita, giatkan usaha dengan ilmu dan akui setiap kelemahan agar segera dibaiki. Usaha sehabis daya agar pertolongan yang dijanjikan Allah akan mengiringi setiap usaha. - HARAKAHDAILY 18/8/2015

Share on Myspace