Bangsal Sebuyau, Ustaz Nasa & Almarhum Adam Ahid

WAN NORDIN WAN YAACOB | .

KETIKA nukilan ini dititipkan Haji Adam Ahid telah selamat dikebumikan di Sarawak iaitu pada tanggal 17 Ogos 2015.

Persuruhjaya PAS Sarawak itu cukup cekal orangnya. Wajah dan nada suaranya yang lembut mengingatkan kita kepada watak Saidina Abu Bakar yang lemah lembut dalam menasihatkan para pengikut ketika menjadi Khalifah selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.

Haji Adam  penulis kenali semasa membuat liputan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada tahun 2011.

Sebaik gendang PRN Sarawak dipalu penulis dan rakan setugas Wan Zahari Wan Salleh segera membuat persiapan awal untuk ke Negeri Bumi Kenyalang itu.

Walaupun ia bukan kali pertama penulis ke sana, namun perasaan teruja dengan perkembangan berlakunya peningkatan sokongan masyarakat di Sarawak kepada PAS amat menarik perhatian.

Kebetulan pula pada bulan sebelumnya penulis terlibat dengan program seminar Tanah Adat Sarawak yang diadakan di sebuah dewan perhimpunan Cina di Kuching.

Nama Haji Adam telah meniti dibibir penulis kerana semasa seminar Tanah Adat Sarawak beliau juga antara pimpinan yang bersama dalam majlis itu.

Cuma penulis tidak dapat mengenalinya dengan lebih dekat ketika itu.

PRN Sarawak menjadi tempat kami secara rasmi bertemu. Selepas pengumuman calon bertanding, Haji Adam diletakkan sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau.

Pertama kali bersua dan berbual dengan Haji Adam adalah pengalaman yang sangat mengujakan. Seorang yang sangat lemah lembut dan begitu ramah malah cukup meraikan tetamu.

Bangsal kebunnya menjadi lokasi pertemuan untuk penulis mewawancara tokoh PAS di Bumi Kenyalang itu.

Namun, sebelum menjejaki bangsalnya itu penulis terlebih dahulu bertemu bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa di jeti Muara Tuang kebetulan beliau menghubungi penulis untuk mengadakan pertemuan dan wawancara khas bersama beliau selaku Pengarah Pilihan Raya PAS bagi PRN Sarawak pada ketika itu.

Ustaz Nasharudin telah menaiki feri menyeberangi Sungai Sebuyau semasa menghubungi penulis dan beliau menunggu penulis di seberang setelah sampai di Sebuyau.

Juga suatu kebetulan Ustaz Nasharudin mahu bertemu dengan Haji Adam ditempat yang sama. Kami menaiki dua buah kereta untuk ke lokasi yang dijanjikan iaitu di bangsal kebun Haji Adam.

Sampai di bangsalnya itu, Haji Adam sedang sibuk untuk mempersiapkan hujah-hujah sebagai bahan untuk wawancara. Kata beliau janggal rasanya kali pertama diwawancara wartawan dari Kuala Lumpur.

Penulis dan Ustaz Nasharudin tersenyum dan memandang sesama sendiri aksi Haji Adam yang nyata teruja dengan kesempatan diwawancara.

Haji Adam begitu gembira wajahnya terpampang di dada akhbar rasmi PAS iaitu Harakah tiga hari selepas wawancara berlangsung di bangsalnya di Sebuyau.

Sebaik ditunjukkan akhbar yang dibawa khas melalui kapal terbang oleh beberapa pimpinan yang datang pada fasa akhir kempen PRN Sarawak, Haji Adam tersenyum puas, memeluk penulis dan memohon kami semua mendoakan kejayaan beliau.

Walaupun Haji Adam tewas di Dun Sebuyau di hari pembuangan undi, namun beliau tidak patah semangat dan meneruskan kerja-kerja dakwah di negeri kelahirannya itu demi membawa PAS sebagai parti pilihan di Bumi Kenyalang.

Kali terakhir penulis bersama beliau di Sarawak adalah pada awal tahun 2015 samasa penulis menjadi moderator bagi slot pembentangan kertas kerja oleh Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi selaku Timbalan Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat di Seminar Nadwah Pemerkasaan Duat 7.0 di Hotel Grand Continentals.

Kemudiannya bertemu di Pejabat Agung PAS Pusat di Jalan Raja Laut pada mesyuarat kedua AJK PAS Pusat selepas muktamar dan di situlah kali terakhir memeluk erat batang tubuh Haji Adam sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Sarawak 17 Ogos lalu.

Al-Faatihah buat Murabbi di Bumi Kenyalang ini. Jihadmu..., dakwah mu..., Allah akan ganjari pahala dan moga rohmu damai di negeri abadi. – HARAKAHDAILY 18/8/2015

Share on Myspace