Ku Nan lebih hebat daripada Muhyiddin

USTAZ IDRIS AHMAD | .

Tengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan) mendakwa beliau tahu mengenai kedudukan wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib.

Hebat Ku Nan, beliau hanya Setiausaha Agung Umno sahaja, sedangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin Timbalan Presiden Umno tidak tahu mengenai status duit tersebut.

Kenapa sekarang baru Ku Nan hendak mengaku beliau tahu kedudukan wang ini, setelah menjadi polemik yang besar yang melibatkan beberapa agensi penguatkuasa di negara ini seperti Pejabat Peguam Negara, PDRM,  SPRM, Bank Negara?

Apa lebih Ku Nan berbanding dengan Timbalan Presiden Umn0 dan Ahli Majlis Tertinggi yang lain. Banyak yang menjadi tanda tanya mengenai wang ini yang masih tidak terjawab. Siapa yang memberi?.

Apakah Bank Negara tidak tahu? Apakah polisi ini tidak terpakai kepada Najib? Berapakah Najib membayar cukai kepada kerajaan. Kenapa Najib tidak digantung tugas untuk membolehkan siasatan? Adakah DS Najib disiasat mengenai akaun peribadi beliau?

Isu ini sudah berlalu sebulan lebih sehingga tertubuhnya Pasukan Petugas Khas untuk menentukan sama ada tuduhan yang dibuat oleh Wall Street Journal bahawa DS Najib telah mengambil dana 1MDB untuk kepentingan diri sendiri berasas atau tidak.

Kalau Ku Nan sudah tahu mengenai duit ini kenapa perlu membazir masa, tenaga dan wang rakyat untuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas.

Lebih malang lagi, Datuk Rahman Dahlan Pengarah Komunikasi Dan Strategik BN mengatakan sejak awal, pasukan khas itu ditubuhkan secara tidak sah.

Mereka tidak sepatutnya menyiasat perdana menteri atau mana-mana individu berkaitan hal itu. Ini satu perkara yang pelik, kerajaan yang tubuh, tiba-tiba ia anggap tidak sah pula.

DS Najib dan pemimpin BN jangan mengambil mudah isu ini. Ini bukan isu Umno, ini isu negara, isu kredibiliti kepimpinan yang memberi kesan kepada perjalanan ekonomi negara.

Sanggupkah pelabur untuk datang ke negara ini jika tata kelola tidak betul?

Kayu ukurnya, Ringgit semakin menjunam sudah tentu meningkat inflasi dan kos sara hidup kerana negara kita mengimport makanan lebih RM29 bilion setahun. Jangan lupa ramai ahli Umno yang terkesan. - HARAKAHDAILY 18/8/2015

Ustaz Idris Ahmad
Naib Presiden PAS

Share on Myspace