Hanya satu jamaah yang selamat

Alang Ibn Shukrimun | .

PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK

Umat Islam hendaklah mengikut semua cara dan ajaran yang ditinggalkan oleh Nabi SAW kerana ia juga adalah perintah dari al-Quran. Kita tidak boleh menolak hadis-hadis Nabi dan berkata hanya mahu menggunakan al-Quran sahaja. Sebaliknya keduanya perlulah digunakan sekali kerana kebanyakan hadis menafsirkan maksud al-Quran itu sendiri.

Antara yang diajarkan oleh Nabi SAW setelah kewafatannya untuk bersama dengan jemaah Islam. Sabda Rasulullah SAW:

تلزم جماعة المسلمين وإمامهم

Sentiasalah bersama jemaah Islam dan kepimpinan mereka.

Disaat ketiadaan Nabi SAW, jemaah Islam adalah panduan untuk umat Islam terus berada di atas jalan kebenaran. Malangnya ada orang Islam yang mendakwa tidak mengapa menyertai mana-mana kumpulan atau jemaah sekalipun, sementelah hari ini terlalu banyak kumpulan dan jemaah.

Perlu diingat pesanan Nabi SAW:

وتفرقت امتي على ثلاثة وسبعين فرقة كلهم في النار إلا واحدة. قيل: وما هي يا رسول الله؟ قال: ما أنا عليه وأصحابي.

Dan akan berpecah umatku kepada 73 puak. Semuanya akan masuk neraka kecuali satu. Sahabat bertanya, apakah kumpulan itu? Rasulullah menjawab: kumpulan yang mengikut perjuanganku dan perjuangan para sahabatku.

Ini bermaksud bukan semua kumpulan adalah benar. Allah SWT turut menerangkan sifat-sifat kumpulan Islam sebenar yang dimaksudkan:

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Dan hendaklah ada di antara kamu satu kumpulan/jemaah yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan, menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. [Ali Imran:104]

Tiga ciri-ciri jemaah Islam ialah:

1. Sentiasa berdakwah kepada kebajikan. Kebajikan yang dimaksudkan adalah seluruh ajaran Islam. Tidak sekali-kali menyembunyikan Islamnya kerana apa jua faktor.

2. Menyuruh kepada perkara kebaikan. Kebaikan adalah mengikut apa yang terkandung dalam al-Quran. Kumpulan ini bukan sekadar menasihat, tetapi berusaha dengan apa jua kekuatan supaya semua manusia melaksanakan ajaran Islam.

3. Melarang perbuatan yang buruk. Ia juga bukan sekadat tegur yang lembut, tetapi dengan kesungguhan seperti yang diterangkan di dalam hadis:

من رأي منكم منكرا فليغيره بيده فإن لم يستطع فيلسانه فإن لم يستطع فبلسانه وذلك أضعف اﻹيمان

Barangsiapa yang melihat keburukan maka ubahlah dengan tangannya. Jika tidak mampu maka ubahlah dengan lidahnya. Jika tidak mampu juga maka cegahlah dengan hati. Dan itulah peringkat selemah-lemah iman.

Jemaah ini bukan sahaja berjuang dengan pesanan lidah semata-mata, malah mereka mengikut sunnah perjuangan Nabi SAW dengan menegakkan sebuah pemerintahan Islam. Firman Allah SWT:

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. [Al-Hajj:41]

Kumpulan ini melaksanakan Islam sebagaimana yang Nabi laksanakan. Seperti ayat di atas, Amar Maaruf Nahi Mungkar amat berkait rapat dengan kuasa pemerintahan. Di dalam Al-Quran juga terdapat banyak hukum-hukum yang tidak boleh dilaksanakan melainkan setelah mendapat kuasa pemerintahan seperti Hudud, Qisas dan hukum-hukum umum yang lain.

Bahkan perjuangan yang Nabi lalui dahulu sehingga menyebabkan terpaksa menghadapi peperangan dengan mereka yang menentang Islam. Al-Quran sarat dengan ayat-ayat yang menceritakan tentang perang dan tuntutannya.

Jemaah/kumpulan Islam bukan kumpulan yang longgar perjuangannya. Bukan yang lembut dan tidak mengambil peduli masalah sekitar. Bukan jemaah Islan sebenar sekiranya perjuangan utamanya hanya mengajak duduk beramai-ramai dan menyanyi. Bukan salah untuk menyanyi, tetapi tugas asal perjuangan Nabi hendaklah diutamakan.

Begitu juga, ada jemaah mendakwa Islam tetapi berwala'kan kepada orang kafir. Apa-apa yang hendak dilaksanakan terhadap orang Islam perlu persetujuan orang kafir dulu. Itu juga bukan jemaah Islam sebagaimana yang Tuhan firmankan:

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ

Sesungguhnya wala' kamu hanyalah kepada Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).

وَمَنْ يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْغَالِبُونَ

Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu walinya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya kumpulan Allah itulah yang tetap menang. [Al-Maidah:55&56]

Menjadi tanggungjawab kita untuk mengajak manusia menerima Islam. Namun sekiranya mereka menolak, kita tidak boleh paksa. Yang perlu ialah kita laksanakan Islam secara sempurna agar mereka boleh melihat bagaimana hidup secara Islam yang sebenar.

Walaupun mereka hidup di kalangan umat Islam, mereka boleh lakukan apa yang mereka inginkan. Minumlah arak sampai 10 botol sekalipun. Makanlah khinzir 10 ekor seorangpun. Itu hak mereka. Tetapi mereka tidak berhak sekali-kali untuk menghalang umat Islam dari mengamalkan ajaran Islam.

Oleh itu amat perlulah kita memperjuangkan Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi SAW. Baginda sanggup berhijrah sehingga Madinah untuk melaksanakan Islam. Bukan berhijrah sekadar nak tanam kurma (menguatkan ekonomi) semata-mata, tetapi untuk mendirikan sebuah kerajaan yang terkandung padanya segala nilai-nilai ajaran Islam.

Ikut Nabi bermakna perlu ikut keseluruhan ajarannya. Jangan ikut separuh-separuh. Sekiranya kita hanya memerintah untuk kait hasil kelapa sawit (ekonomi) sahaja, kita hanya mengikut separuh dan ianya adalah suatu perjuangan yang tidak sempurna.

Firman Allah SWT:

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [Ali Imran:31]

Masjid Rusila
7 Ogos 2015

Share on Myspace