Ringgit menjunam memang salah kerajaan BN

TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .

Hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan tidak harus dipersalahkan sepenuhnya apabila rakyat menyaksikan bagaimana nilai Ringgit menjunam 9 sen kepada RM4.243 berbanding USD1 dalam masa sehari.

Masalahnya, nilai Ringgit bukan sahaja jatuh berhadapan dengan matawang USD malah jatuh berbanding nilai matawang negara jiran.

Sejak satu tahun sejak Ogos 2014:

Ringgit menjunam dari RM2.52 ke RM2.99 berbanding 1 Dolar Brunei,

merosot 48 sen dari 2.52 ke RM3 berbanding 1 Dolar Singapura,

hilang nilai terhadap Thai Bhat daripada THB10.11 kepada THB8.53 dan;

susut daripada 13.86 kepada 11.01 Peso Filipina berbanding RM1.

Jika kejatuhan nilai Ringgit terhadap USD1 adalah akibat faktor luaran yang tidak mampu dikawal, apakah alasan Najib terhadap kemerosotan nilai Ringgit berbanding dengan negara jiran? Kalau ini bukan salah kerajaan BN, salah siapa lagi?

Walaupun ada faktor luaran yang menyebabkan kejatuhan Ringgit, namun Najib tidak menafikan kegagalan pentadbiran beliau selama ini untuk mewujudkan keyakinan pelabur dan suasana ekonomi merupakan punca utama Ringgit jatuh lebih parah berbanding nilai mata wang lain.

Barangkali Najib terlupa, beliau sudah masuk tahun ke 6 mentadbir Malaysia sejak 3 April 2009. Prestasinya Najib boleh dinilai sendiri – lihatlah bagaimana Ringgit menjunam, Bursa kemerahan, hutang bertimbun dan dipercayai sudah melepasi 55% GDP jika ditambah hutang 1MDB, keruntuhan nilai saham FGV dan berkurangan simpanan negara secara drastik yang menyebabkan negara semakin hari semakin jauh daripada cita-cita Wawasan 2020 yang ingin dicapainya.

Ini bukan masanya untuk Najib berdolak-dalik. Ini masanya untuk Najib mengambil tanggungjawab untuk membetulkan ekonomi.

Memandangkan Najib suka menyibukkan diri untuk dengan teori konspirasi menggulingkannya oleh suatu bayang-bayang misteri yang dicipta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Hamidi, saya mencadangkan agar beliau melepaskan jawatan Menteri Kewangan kepada Tengku Razaleigh Hamzah untuk menguruskan ekonomi.

Dengan ini, Najib boleh fokus terhadap misi menyelamatkan karier politiknya di dalam Umno tanpa memangsakan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
24 Ogos 2015

Share on Myspace