Kelantan: Kilatan Malaysia

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

25 tahun lalu, negeri Kelantan di bawah kerajaan PAS terbentuk. 12 tahun sebelumnya, kerajaan PAS kali pertama di Kelantan runtuh selepas 18 tahun memerintah. Tempoh 12 tahun BN memerintah cukup memahamkan rakyat Kelantan bahawa PAS harus diberi peluang kali kedua untuk kembali memerintah. Kini usia kerajaan PAS di Kelantan memasuki tahun ke-25.

Kini rakyat Kelantan tidak merasa sebarang sebab untuk menukar kerajaan PAS di negeri bertuah ini. Kerajaan PAS bagi mereka adalah kerajaan mereka juga. Sebuah kerajaan rakyat yang merdeka dengan keinginan untuk hidup bersama al-Quran dan kekal memacu kemajuan negeri dengannya.

Selama tempoh 12 tahun rebah itu, tiada siapa boleh meneka PAS akan bangkit cepat di Kelantan. Rakyat Malaysia dimomok dengan ketuanan UMNO membela Melayu. Maju negara hanya dengan dan kerana UMMO. Bangsatlah Melayu tanpa UMNO. Hancurlah bangsa-bangsa lain kalau tanpa ihsan UMNO.

Tetapi PAS, jalannya mustaqim (lurus) dan ahlinya istiqamah (berteguh di jalan lurus). PAS memilih Islam sebagai matlamat perjuangan. Justeru PAS memperolehi kekuatannya daripada sumber Islam jua. Al-Quran dan al-Sunnah, juga sirah nabinya, para sahabat, para ulama dan para mujahidin yang merintis kemenangan Islam di sepanjang zaman. Tiada kesepian bertemankan sejarah kegemilangan.

Kesusahan adalah makna berjuang. Kemiskinan adalah pelita perjuangan. Fitnah adalah duri di jalanan. Siang menjadi perwira. Malam menjadi hamba. Perjuangan Islam begitu membangkitkan jiwa dan kekuatan.

Akhirnya, dogma tanaman UMNO hancur. Sebuah kerajaan miskin terbentuk di Kelantan di sebelah sebuah kerajaan besar dan kaya raya milik BN. Seorang ulama 'stail pondok' dikerah memacu Kelantan baru. Pesaingnya bukan menteri-menteri besar lain sepertinya, bahkan pesaingnya adalah seorang Perdana Menteri sebuah negara umat Islam paling maju di dunia. Sebuah persaingan antara dua darjat!

90-an bukanlah Malaysia lama. Ia zaman negara Malaysia moden. Kekayaan melimpah ruah. Dunia komputer dan internet berkembang maju. Dalam kegilaan kemajuan kebendaan itu, Kelantan kekal diperkenalkan sebagai sebuah negeri miskin, tercorot, terpinggir daripada arus utama serta jumud dengan ilmu dan cara fikir lama.

Itulah. Kelantan lebih ditunggu ajalnya berbanding diharapkan kehadirannya. Sebuah kerajaan awal 90-an yang lahir daripada 'kesilapan' rakyatnya menghukum BN! Nantilah pembalasan.

Tetapi, ceding hadharah Islami tumbuh jua di belantara rimba. Kecil saja. Miskin saja. Sayup-sayup saja. Cuma, ia datang. Kemudian ia terus datang. Ia tidak berundur walau setapak. Langkahnya teratur sekali. Sifatnya subur dan hijau.

Tanpa wang, Kelantan datang memerangi riba. Bank-bank konvensional tiba-tiba terbeliak. Seorang tua miskin menarik wangnya keluar dan memindahkan akaunnya. Alasan, wangku untuk syurga tuhanku, bukan untuk murka tuhanku. Sengit serangan subuh ini dalam jiwa para mata duitan.

Tanpa wang, sistem pajak gadai Islam diperkenalkan untuk rakyat Kelantan. Sistem konvensional rebah TKO di pusingan pertama.

Tanpa wang, sistem pendidikan Islam diperteguhkan. Yayasan Islam Kelantan diberi wang tambah daripada kocek yang hampir kosong. Alasan, ilmu adalah kekayaan. Wang tanpa ilmu adalah kemiskinan.

Tanpa jaminan kekayaan, cuti dua hari seminggu diperkenalkan. Si ibu bersalin diberi tambahan hari cuti. Alasan, kerehatan adalah kekayaan dalam keluarga dan masyarakat. Biar wang memburu kerehatan, bukan kerehatan memburu wang.

Tanpa bimbang, pergaulan bebas dibendung. Enakmen kawalan hiburan Islam diperkenalkan. Eksploitasi wanita disekat. Alasan, wanita adalah lambang maruah dan kemuliaan manusiawi. Wanita bukan kiblat nafsu buas lelaki.

Puluhan pembaharuan, bahkan ratusan, bermula di Kelantan yang kecil, miskin dan sayup-sayup. Serangan terhadapnya begitu sengit dan bertalu-talu. Dibuli, diketuk dan ditukul sesuka hati. Tetapi ia istiqamah. Ia terus merempuh keegoan sang angkuh di Putrajaya tanpa takut dan bimbang. Jika ditanya kenapa? Ia menjawab, inilah hadharah manusiawi. Manusia mesti menjadi manusia. Tiada pilihan. Tahu maksud 'tiada pilihan'?

Akhirnya negeri Kelantan diiktiraf rakyat Malaysia dalam dendam dan kesombongan BN. Kelantan diikat dan dicekik, tetapi rakyat Malaysia berbondongan datang melepaskan ikatan dan cekikan. Kelantan menjadi destinasi pelancongan utama. Pelancongan ugama, budaya, ilmu dan semulajadi. Holistik. Kelantan ibarat sebuah universiti terbuka. Penuntutnya adalah rakyat Malaysia berbilang bangsa.

Hari ini, Kelantan masih bersedih tanpa orang tua itu. Seorang ulama kebaktian. Dia pergi di antara dua cinta yang saling tarik menarik tetapi kudus. Cinta tuhannya bersambut. Semoga Allah meredhainya dan dia meredhaiNya.

Penggantinya adalah pilihannya. Pilihannya menjadi pilihan rakyatnya. Itu lambang cinta rakyatnya yang tergetus daripada naluri cinta ugama. Semoga Allah memelihara dan memperkukuhkan kedudukan penggantinya yang dipilihnya itu.

Saya mencintai Kelantan. Biarlah ujian menimpa Kelantan. Dari luar atau dari dalam. Susah adalah makna perjuangan. Miskin adalah pelita. Fitnah adalah duri. Kelantan adalah ilmu. Ia cahaya. Ia syurga sebelum syurga. Saya kekal mempertahankan Kelantan dan rakyatnya.

Seperti kata almarhum tuan guru, "Seluruh rakyat Kelantan yang mengundi PAS pada tahun 90 akan terus mendapat pahala berterusan daripada Allah."

Ya, sunnah hasanah terbesar dalam sejarah umat Islam di Malaysia. Wahai rakyat Kelantan, warisilah perjuangan tuan guru. Jangan sia-siakan kehidupan dengan fitnah dan kekalahan kepadanya.

Allahu Akbar Wa LiLlahil Hamd. - HARAKAHDAILY 28/8/2015

Share on Myspace