Nota Merdeka

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Seperti saya tegaskan sebelum ini bahawa PAS, walaupun menyokong tuntutan Bersih, tetapi menarik diri daripada membuat kerahan ahlinya ke perhimpunan kali ini adalah demi mengelakkan provokasi melampau akibat krisis yang melanda dalam Pakatan Rakyat dan dalaman parti.

Kejadian memijak gambar Presiden PAS pada perhimpunan tersebut, walaupun masih tiada yang mengaku bertangggung jawab adalah membenarkan kebimbangan PAS tersebut.

PAS akan kekal sebagai sebuah parti yang mengamalkan politik bersih yang menyeru kepada suasana damai dan akliah. Tiada fitnah, provokasi melampau, rasis dan memisahkan diri daripada petunjuk al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah.

Peranan PAS dalam masyarakat adalah menyeru kepada keislahan dan kemakrufan serta menentang kefasadan dan kemungkaran.

Tiada yang lebih perit sepanjang masa menghadapi pilihan raya kotor dan penuh penipuan lebih daripada PAS.

Walau bagaimanapun, seruan kepada politik bebas berfikir, bebas bersuara dan bebas memilih hendaklah juga disertai dengan etika dan akhlak yang mulia. Negara tidak akan maju jika pemimpin dan rakyatnya gagal menjunjung kemuliaan dan ketinggian insani.

Akhir kata, tahniah kepada Bersih 4.0 atas kejayaan berhimpun dengan aman.

Selamat memuliakan kemuliaan setiap insan. - HARAKAHDAILY 1/9/2015

Share on Myspace