Kongres Rakyat salur tuntutan dengan lebih bermakna

ROSLAN SMS | .

PERHIMPUNAN Bersih 4.0 telah pun pergi dan berlalu. Dalam ramai sibuk menyatakan berkenaan perjalanan himpunan berkenaan termasuklah kritikan-kritikan mengenai pengisiannya, tidak ramai menonjolkan tuntutannya.

Kehadiran yang ramai khasnya dari kalangan masyarakat bukan Melayu, kehadiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, insiden-insiden liar selain yang melibatkan tindakan biadap memijak potret Presiden PAS ternyata telah mengerhanai isu yang lebih besar iaitu tuntutan Bersih 4.0 itu sendiri.

Bersih 4.0 sesungguhnya menuntut lima perkara sebahagian besarnya merupakan tuntutan yang sama sejak Bersih pertama tahun 2007 dulu. Kelima-lima tuntutannya adalah, pertama pilihan raya bebas dan adil, kedua sebuah kerajaan yang telus, ketiga hak untuk berdemonstrasi, keempat mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen dan kelima menyelamatkan ekonomi negara.

Isu-isu ini yang pada asalanya mendominasi Bersih tetapi akhirnya semakin terkebelakang, khasnya apabila orang-orang politik mencuri kesempatan mempromosi diri dan gerakan masing-masing sehingga ke tahap keterlaluan.

Malah ada sebuah parti yang dikatakan sedang melalui proses pendaftaran, mencuri kesempatan memungut dana semasa perhimpunan berkenaan.

PAS kali ini memilih untuk tidak turut serta. Bukannya ia memboikot Bersih 4.0.

Sebagaimana kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan beberapa hari sebelum himpunan Bersih bahawa PAS setuju menghantar dua wakil mewakilinya antaranya Naib Presiden Ustaz Idris Ahmad.

Ini sebagai tanda bahawa PAS bersetuju dengan tuntutan Bersih 4.0, malah sebelum ini pun PASlah yang merupakan penggerak terbesarnya sejak 2007.

Cuma kali ini PAS mahu mencuba pendekatan yang baharu yang difikirkannya lebih praktikal dan mampu memberi kesan ke atas tuntutan masyarakat sivil. Setelah melihat kejayaan Bersih sebelum ini, PAS merasakan suatu anjakan paradigma perlu dilakukan supaya tuntutan yang penting dan melibatkan rakyat secara langsung itu tidak terpadam dan terkulai apabila selesai Bersih tetapi terus diangkat sebagaiu agenda rakyat dan diusahakan jalan penyelesaiannya.

Himpunan Bersih berjaya membawa mesej bahawa rakyat mahukan perubahan. Tetapi perincian tuntutan perubahan itu seringkali tercicir apabila sahaja tamat himpunan. Lebih-lebih lagi apabila kehangatan himpunan ditakluki oleh agenda peribadi pihak-pihak tertentu.

Ratusan ribu rakyat yang keluar sejak Bersih 2007 dahulu termasuklah yang terbaru ini pastinya mahu tuntutan mereka itu didengari, diberi perhatian dan dilaksanakan. Bukannya sekadar bersepah di jalanan begitu sahaja.

Kerana itu sebagaimana dinyatakan sebelum ini PAS lebih yakin dan senang untuk menggerakkan satu perubahan. Iaitu menyalurkan tuntutan ini melalui kaedah yang lebih bermakna.

Lantaran itu PAS bersetuju melibatkan diri secara aktif dalam satu perhimpunan baharu, bukannya himpunan di jalanan sebagaimana Bersih sebelum ini, yang PAS turut setuju, tetapi kali ini PAS memilih mahu menyalurkan tuntutan untuk didengar, dibincang secara intelektual, dirakamkan dan kemudiannya diangkat sebagai satu agenda tuntutan rakyat untuk dilaksanakan.

Hasil daripada itulah maka PAS memberi lebih tumpuan kepada penganjuran Kongres Rakyat.

Kongres ini yang bakal diadakan pada 12 September nanti di Shah Alam bakal menghimpunkan lebih 200 wakil badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik yang akan berhimpun sehari suntuk membincangkan masalah rakyat yang lebih komprehensif selain lima tuntutan Bersih 4.0 di atas. Isu tuntutan pilihan raya yang bebas dan adil perlulah dihimpunkan sekali dengan isu-isu “periuk nasi” rakyat yang turut mendesak dan perlukan perhatian negara.

Isu kenaikkan kos hidup yang mencanak, isu rasuah dan salah guna kuasa, isu yang melibatkan petani, nelayan, peneroka, peniaga-peniaga kecil malah sehinggalah pengusaha teksi dan penghuni setinggan semuanya perlukan pembelaan.

Bagaimana kita boleh mengangkat nasib masyarakat di luar bandar yang teruk menerima kesan dari harga barangan yang mencacak naik? Bagaimana nasib masyarakat peneroka bandar yang berhadapan dengan pelbagai cukai dan kenaikan kos perkhidmatan dapat dibela?

Ia tidak boleh selesai dengan himpunan di jalanan sematamata, ia mesti diteruskan dengan kaedah susulan yang lebih efektif. Sudah tibalah masanya pejuang-pejuang keadilan sama ada parti-parti politik mahupun NGO duduk membahaskan usul-usul rakyat ini secara lebih terperinci.

Pandangan akar umbi perlu diberi peluang didengari dan dibahaskan. Dan daripadanya satu resolusi dilakarkan untuk diangkat sebagai agenda rakyat yang menuntut untuk diselesaikan.

Rakyat sudah cukup terkesan dan terbeban dengan kegagalan kerajaan memberikan perhatian sewajarnya ke atas permasalahan mereka. Sudahlah masalah mereka terabai, mereka pula dilantakkan dengan pelbagai kos dan tekanan hidup yang terus menghimpit dan mencabar kehidupan mereka.

Siapakah yang akan membela dan menjuarai isu-isu ini setelah ia ternyata gagal ditangan BN dan Umno?

Usaha yang diterajui oleh NGO dan didokong PAS ini perlulah diberikan perhatian dan sokongan sewajarnya oleh rakyat jelata. Inilah peluang bagi mereka menyalurkan rintihan mereka ikut proses yang betul supaya bukan sekadar menjadi mainan politik tetapi satu agenda yang tersusun yang menuntut untuk diselesaikan.

Semoga kaedah baharu perbincangan terbuka dalam bentuk kongres seumpama ini menjadi titik tolak kemajuan berfikir dan kematangan berpolitik masyarakat Malaysia umumnya.

Kita mahu masalah rakyat dan negara diberi perhatian dan diselesaikan sebaik mungkin dan dalam waktu yang sama keamanan dan kemerdekaan negara tercinta ini terus terpelihara.

Syabas ke atas peserta-peserta Bersih 4.0 tempoh hari. Kini Kongres Rakyat pula berperanan dengan harapan tindakan susulan dapat diambil demi membela nasib dan masa depan rakyat tercinta. - HARAKAHDAILY 8/9/2015

Share on Myspace