Waspada 'dedalu' dalam PAS

SUHAIMI TAIB | .

PERJUANGAN nasib rakyat tidak harus tercemar dengan tindakan keluar parti atau melompat parti kerana kredibiliti pejuang itu tercemar dan dipertikaikan.
 
Rakyat akan mempersoalkan kenapa dia lompat atau keluar parti? Adakah dirinya di pihak yang benar atau partinya di pihak yang benar?
 
Bolehkah orang yang lompat atau keluar parti ini boleh dipercayai, tidak akan khianat kepada rakyat sebagaimana dia khianati partinya dahulu? Jika dia ada dalam parti yang ada perjanjian dengan parti lain, apakah parti berkenaan tidak boleh pertikaikan kredibiliti pemimpin yang melompat parti itu?
 
Ini kerana pemimpin berkenaan telah mencatat sejarah buruk kredibilitinya dengan melakukan pengkhianatan itu.
 
Tidak ada manusia normal yang boleh menerima seorang pengkhianat perjuangan kebenaran, sebagai manusia perlu dihormati dan diberi tempat dalam masyarakat.
 
Contoh buruk yang berlaku sebagai signal atau tanda amaran kepada sesiapa sahaja ingin mengadakan apa-apa hubungan dengan golongan ini sekarang kerana pengkhianatan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.
 
Jika golongan itu boleh khianat dalam perkara penting seperti menjadi wakil rakyat sebagai kepimpinan politik umat Islam, tidak mustahil golongan itu boleh khianat dalam perkara lain.
 
Menjadi wakil rakyat sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) adalah untuk mewakili rakyat dalam Parlimen dan Dun, institusi mulia, membentuk dan melahirkan undang-undang negara serta negeri.
 
Tidak sepatutnya pengkhianat berkuasa mencipta undang-undang, institusi itu boleh disifatkan tercemar dan undang-undang tersebut turut terpalit sedikit sebanyak dengan sifat pengkianatan penggubal undang-undang (wakil rakyat).
 
Undang-undang dicipta tidak bersih kerana yang menggubalnya tidak bersih apa lagi undang-undang ciptaan manusia.
 
Walaupun tidak digubal undang-undang lompat parti tetapi wakil rakyat yang berprinsip, bukan kerana mahukan habuan dunia, kuasa dan pangkat, dia tidak akan khianat kepada parti yang memberi dia peluang bertanding dalam pilihan raya.
 
PAS adakan bai'ah dengan sumpah menyebut nama Allah kepada ahlinya yang menjadi calon pilihan raya untuk mengatasi masalah lompat parti yang banyak berlaku dalam sejarah politik tanah air.
 
Peristiwa kejatuhan kerajaan Perak disebabkan Adun Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP lompat parti atau beri sokongan kepada BN, sama juga lebih kurang di Terengganu tahun 1961 kerana Adun PAS menyokong undi tidak percaya kepada menteri besarnya Daud Abdul Samad.
 
Inilah sebabnya bai'ah diwujudkan, supaya peristiwa seumpama itu tidak berulang. Tetapi itupun masih ada ahli parlimen dan Adun mempermainkan baiah dan sumpah yang dibuat, seolah-olah ia tiada kaitan dengan dosa pahala, perhitungan hari akhirat, habis setakat dunia ini sahaja.
 
Seolah-olah ia disifatkan satu permainan hidup di dunia, permainan politik bukan suatu yang serius dan wajib dipertanggungjawabkan.
 
Amat malang lagi yang melakukan dosa ini manusia yang mengaku memperjuangkan Islam, memperjuangkan keadilan dan berusaha mengembalikan hak rakyat yang ditindas oleh pemerintah BN Umno.
 
Kekecewaan kerana tidak terpilih sebagai pemimpin tertinggi PAS dalam muktamar ke-61 jangan sampai melanggar perjanjian kita dengan Allah sebagai calon pilihan raya dan sebagai wakil rakyat kerana baiah itu disaksikan oleh Allah.
 
Ini menunjukkan betapa mulianya perjanjian dibuat itu, bukan sebarang bai'ah. Untuk selesaikan masalah sepatutnya mereka yang melompat parti atau keluar parti melepas jawatan mereka sebagai wakil rakyat agar mereka tetap dihormati dan 'gentlemen' (disifatkan sebagai anak jantan).

PAS perlu mengambil iktibar dengan insiden yang berlaku ini, pada masa akan datang, tidak lagi memilih calon pilihan raya, manusia yang ada komitmen dengan jamaah lain di luar PAS.
 
Kumpulan yang sering hidup seperti pohon dedalu, menumpang pohon lain lebih besar dan teguh untuk hidup. Golongan seperti ini sepatutnya dikenal pasti lebih awal sebelum kumpulan ini jadi bak kata pepatah 'kaduk naik junjung'. - HARAKAHDAILY 13/8/2015

Share on Myspace