Beralih atau berubah

TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .

NEGARA kini bergelumang dengan pelbagai kemelut samada politik, ekonomi, sosial serta hilangnya jati diri Muslim dalam mengejar arus kemajuan dunia. Kemelut ini berpaksi kepada asas aqidah (kepercayaan) yang menjadi tunjang bagi setiap manusia. Kerana apa sahaja tindakan manusia akan berpaksi kepada apa yang diyakininya. Kerana itu asas keyakinan ini mesti berada di atas landasan yang betul. Ia ibarat tapak bagi sesabuah bangunan. Bilamana tapaknya betul, maka seluruh bangunannya akan berdiri betul begitulah sebaliknya.

Bilamana aqidah umat itu rosak, maka saksikan kerosakan ekonomi, politik, perundangan dan sosial mereka. Dan akan rosaklah seluruh sistem hidup dan nilai mereka. Namun apabila baik aqidah mereka, maka akan baiklah ekonomi, politik dan sosial mereka. Dan akan selamatlah masyarakat, negeri dan negara mereka.

Kemelut yang melanda negara bukan hanya akan selesai dengan pertukaran pemimpin atau parti yang akan memerintah sahaja. Sebaliknya apa yang penting apakah dasar yang akan dilaksanakan di sebalik perubahan yang dikehendaki itu.

Hari ini kita semua harus mengakui bahawa rosaknya sistem dalam negara kita. Kita mempunyai undang-undang yang gagal mencegah jenayah, sehingga berlakunya peningkatan kadar jenayah secara serius. Isu penagihan dadah, kita harus mengakui bahawa kita gagal mencegah penagihan dadah. Demikian juga isu moral yang lain. Persoalannya apakah setelah kita menyedari kegagalan sistem ciptaan manusia ini kita akan terus mengekalkan sistem yang gagal ini.

Ketepikan sentimen dan taasub kita. Apakah kita ingin teruskan kegagalan ini, lalu kita akan wariskan satu generasi yang rosak. Berbillion Ringgit dihabiskan bagi memperbaiki kerosakan, namun hasilnya kerosakan bertambah parah. Tidak mungkin sistem yang batil akan membuahkan hasil yang hak. Keadilan hanya akan dapat dinikmati dari sistem dan pelaksana yang adil.

Rakyat mengharapkan perubahan menyeluruh. Mereka menanti munculnya PRU akan datang sebagai titik perubahan. Apakah harapan ini dapat dijelmakan dalam kemelut semua parti politik yang ada. Apakah ahli politik adalah sebahagian dari mereka yang akan mengecewakan harapan rakyat ini. Namun yang penting apakah asas harapan kepada perubahan yang diimpikan rakyat itu.

Bagi mencapai hasrat tersebut, kita perlu kembali kepada sistem Rabbani

dan ia mesti diurus oleh agen perubahan yang rakyat inginkan. Pelaksana yang ada mesti ditukar. Parti yang menerajui negara dan kepimpinannya perlu ditukar. Namun apakah sistem yang akan diteruskan nanti masih dengan sistem dan dasar yang sama? Kalau begitu, apa jaminan bahawa negara tidak akan berhadapan dengan kemelut yang sama. Ia mungkin akan berubah dan kelihatan baik dalam tempoh tertentu, namun akhirnya ia akan kembali kepada kerosakan semula. Kalau inilah yang terjadi kita hanya menukar sistem jahiliah dengan satu bentuk jahiliah baru.

Ternyata cabaran besar yang kita hadapi bukanlah menumbangkan sistem yang korup, tetapi meyakinkan agar perubahan tersebut ialah kembali kepada sistem Islam yang diturun oleh Allah untuk membina kemakmuran, keharmonian dan kebaikan ummah dan negara. Inilah gagasan besar perjuangan menyelamatkan manusia dari kemurkaan Allah. Kerana akhirnya harapan perubahan yang diimpikan oleh seluruh rakyat negara ini benar-benar menjadi kenyataan ke arah pembinaan sebuah masyarakat yang aman, sejahtera, harmoni. Sebuah negara yang pemimpinnya takut kepada Allah untuk melakukan penyelewengan salah guna kuasa. Pemimpin yang mampu menjamin keadilan untuk semua kaum dan agama sebagai rakyat dalam sebuah negara. Pemimpin yang memandu rakyat ke arah pembentukan sebuah negara yang diberkati Allah. Baldatun Tayyibah wa Rabbun Ghafur. - HARAKAHDAILY 21/9/2015

Share on Myspace