Hayatilah kelebihan Hari Arafah

HARAKAHDAILY | .

Hari Arafah yang jatuh pada hari kesembilan Zulhijjah merupakan hari yang mulia yang diberikan kelebihan oleh Allah. Antaranya:

1. Ia adalah hari di mana para jemaah haji berwukuf di Arafah bagi melunaskan salah satu rukun Haji. Tanpa berwukuf haji mereka tidak sah sebagaimana Hadis Sahih riwayat Ahmad, Abu Dawud, Tirmizi dan Ibnu Majah bahawa Nabi saw bersabda bermaksud "Haji itu Arafah".

2. Ia adalah hari terbaik untuk berdoa sebagaimana Hadis riwayat Tirmizi, Nabi saw bersabda;

Maksudnya: "Sebaik-baik doa ialah doa pada hari Arafah. Dan sebaik-baik ucapan yang diucapkan olehku dan para Nabi sebelumku ialah:

(Tiada Ilaah (Tuhan yang diberikan pengabdian) melainkan Allah satu-satunya, tiada sekutu bagi-Nya. Hanya Dia memiliki sebenar-benar kerajaan dan hanya Dia memiliki sebenar-benar pujian syukur dan Dia atas segala sesuatu Maha Berkuasa).

Kelebihan berdoa pada hari tersebut bukan hanya khusus untuk jemaah Haji yang sememangnya wajar menjadikannya sebagai amalan utama ketika sedang berwukuf tetapi juga umum kepada seluruh umat Islam.

Imam Ahmad menukilkan bahawa 2 sahabat Nabi saw iaitu Ibnu Abbas dan Amru bin Huraith antara yang memulakan majlis berhimpun dan berdoa pada hari Arafah di masjid di Basrah.

3. Hari Arafah disunatkan berpuasa bagi selain para jemaah Haji sebagaimana Hadis dengan Isnad yang Sahih riwayat Abu Dawud:

"Bahawa Rasulullah saw berpuasa pada sembilan Zulhijjah, Hari Asyura' (10 Muharram) dan 3 hari daripada setiap bulan iaitu isnin pertama dan dua khamis"

4. Hari Arafah termasuk salah satu hari dalam 4 bulan Haram yang diberikan kehormatan oleh Allah iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab. (Rujuk surah Taubah ayat 39).

5. Hari Arafah termasuk salah satu hari dalam bulan-bulan Haji iaitu bulan Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah. (Rujuk surah al-Baqarah ayat 139.)

6. Hari Arafah termasuk dalam salah satu hari-hari yang dimaklumi (ma'luumat) sepertimana disebut oleh Allah dalam surah al-Hajj ayat 28.

Ata' melaporkan daripada Ibnu Abbas, hari-hari yang dimaklumi ialah Hari Arafah, Hari Raya Korban dan 3 hari Tasyrik.

Disediakan oleh:
Datuk Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat / AJK PAS Pusat
Rabu 9 Zulhijjah 1436 / 23 September 2015 - HARAKAHDAILY 23/9/2015

Share on Myspace