PH jangan berkhayal

MUHAMMAD SANUSI MD NOR | .

SAYA tidak pasti usia sebenar kerajaan negeri Selangor, yang sohehnya ia wujud lama sebelum penjajahan Inggeris lagi, absah dan berdaulat.

Diasaskan dengan pemerintahan Kesultanan Melayu, Selangor kemudian termasuk dalam kumpulan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, sewaktu penjajahan Inggeris. Seterusnya menyertai Persekutuan Tanah Melayu, dan membentuk Malaysia melalui sebuah perjanjian- Federalisme.

Sejarah keabsahan Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah terputus sejak mula ia wujud. Tunjang dan teras keabsahannya tidak tergugat walaupun kadaulatannya tercabar gara-gara penjajahan Inggeris.

Sejak kelmarin ada pihak sedang mempertikaikan pendirian YAB Datuk Menteri Besar Selangor berkaitan kenyataannya bahawa Pakatan Harapan (PH) tidak berkuatkuasa di Selangor. Mereka seperti marah kepadanya.

Selangor mempunyai undang-undang tubuh, dan peraturan lain di peringkat negeri dan persekutuan yang membalutinya. Ia mengikat Sultan Pemerintah sebagai Ketua Negeri, Menteri Besar sebagai Ketua Kerajaan, Ahli Exco, Institusi, jabatan dan agensi, penjawat awam dan rakyat Selangor dalam membuat tindakan, pendirian dan keputusan.

Mesyuarat dua jam yang membentuk PH (di meja tidak bulat) tidak memberi kesan kepada negeri Selangor dari sudut undang-undang yang mengikat ahli politik yang mengetuai kerajaan. Tidak semudah itu sesebuah kerajaan yang dibentuk secara sah dapat dilenturkan. Tidak! Bukan setakat Selangor, mana-mana negeri dan negara sekalipun!

Sidang itu dipanggil oleh Ketua Pembangkang di Parlimen yang kebetulannya juga Presiden Parti PKR, secara tergesa-gesa. Ahli Parlimen manapun tidak ada bidang kuasa "keparlimenannya" ke atas sebuah kerajaan negeri. 'Kuasanya' ada di persidangan Parlimen. Kuasa parti diwakili oleh MB dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.

Sebelum parti membuat apa-apa keputusan yang sah yang selari dengan undang-undang untuk dipatuhi oleh MB dan Exco, tiada kuasa politik 'halimunan' yang boleh memaksa mereka.

Sidang yang membentuk PH: Apakah kandungan kertas dasar pembentukan, terma-terma rujukan, set polisi, ikatan undang-undang dan kuasanya yang digunapakai untuk membuat keputusan dalam persidangan itu? Tidak pernah didedahkan kalaupun ada. Ada kah?

Perbincangan 'media event' dalam kalangan politikus seperti itu tidak mungkin dapat menentukan perjalanan sebuah kerajaan moden seperti Selangor. Ia hanya sebuah persembahan dua jam dengan tujuan politik antara parti, bukan antara kerajaan.

Logiknya, persidangan itu untuk menubuhkan PH, bukan meruntuhkan kerajaan Selangor, atau mana-mana negeri.

Kepentingan berjuta-juta rakyat Selangor dan berbilang kepentingan institusi lain tidak mungkin ditentukan dengan sidang di hotel selama  dua jam. Lebih dramatik kalau ia hanya ditentukan oleh tiga orang sahaja. Mengubah struktur dan perjalanan sebuah kerajaan perlukan lebih daripada itu.

Saya menyokong pendirian Menteri Besar Selangor dalam hal ini, berdiri di atas kedudukan dan bidangkuasanya.

Saya pun seperti terpaksa meragui keabsahan PH gara-gara sebuah parti baru yang turut menyertai PH. Adakah PAN sudah 'sah' untuk terbabit dalam persidangan dan sidang itu kemudian melontarkan kemahuannya kepada sebuah kerajaan yang sah seperti Selangor. Mana surat beranaknya? Apakah nama sebenarnya?

Kalau ia sudah sah, adakah PH mau bergerak dengan teori domino-B perlu basah kerana telah berdiri selari dengan A yang telah sengaja membasahkan dirinya sendiri?

Adakah PH dilahirkan untuk menghadapi BN atau memberi bantuan pernafasan kepada anggotanya? Saya nampak yang kedua itu lebih terang... bernafaslah dulu sebelum memberi ORDER! ORDER! ORDER! – HARAKAHDAILY 23/9/2015

Share on Myspace