Halang undang-undang hudud, tindakan pramatang

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

SAYA agak terlewat mengikuti perkembangan berkaitan prosiding Injunksi yang difailkan terhadap Tuan Guru Presiden berkaitan pembentangan rang undang-undang persendirian bagi membuka ruang undang-undang jenayah Islam diperluaskan di Malaysia. Prosiding yang dimulakan oleh empat rakan-rakan saya yang berbangsa Melayu tersebut turut menamakan Yang Dipertua Dewan Rakyat berserta timbalannya sebagai defendan.

Saya hanya berpeluang mengikuti prosiding ini melalui laporan portal-portal dan media-media online. Pun begitu, saya berpendapat prosiding ini perlu diberi perhatian oleh sekalian umat Islam, khususnya mereka yang berazam mendaulatkan undang-undang jenayah Islam di Malaysia.

Injunksi adalah suatu prosiding di mana pihak yang berkaitan boleh memohon dari mahkamah untuk mengeluarkan satu perintah bagi menghalang mana-mana pihak berbuat atau melakukan sesuatu tindakan. Dalam kes ini, empat plaintif telah memohon agar Tuan Guru Presiden bersama-sama Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalan-timbalannnya dihalang bagi rang undang-undang berkaitan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam dibentangkan di Dewan Rakyat.

Jika mahkamah membenarkan permohonan plaintif-plaintif tersebut, kesannya agak tragis. Apa pun kita tinggalkan isu tersebut di tangan mahkamah untuk diputuskan.

Apa yang perlu difahami oleh sekalian umat Islam, prosiding ini telah dimulakan oleh pemohon-pemohon tersebut atas kepecayaan mereka bahawa Perlembagaan Persekutuan yang sifatnya sekular. Ia  sekaligus menghalang Islam yang menyeluruh dapat dilaksanakan. Dengan perkataan lain, keyakinan mereka ialah rang undang-undang yang memperluaskan perlaksanaan undang-undang jenayah Islam di Malaysia adalah bercanggah dengan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Saya menghormati tindakan perundangan yang dimulakan oleh rakan-rakan sebangsa saya tersebut. Namun demikian, saya suka menarik perhatian para pembaca berkaitan beberapa perkara yang berkait rapat dengan usaha mereka.

Pertama, harus kita menghormati semangat pemisahan kuasa antara badan perundangan iaiti Parlimen di peringkat persekutuan, Dewan Undangan Negeri di peringkat negeri dan badan kehakiman. Masing-masing mempunyai kuasa dan fungsinya dalam sistem persekutuan dan kenagaraan hari ini.

Tugas utama badan perundangan ialah menggubal apa jua perundangan dalam bidang kuasanya yang ada. Manakala fungsi badan kehakiman pula ialah menilai dan menafsirkan sesuatu perundangan yang digubal.

Seharusnya setiap dari rakyat negara ini harus menghormati dan memahami fungsi-fungsi kedua-dua badan tersebut agar pemisahan kuasa yang bertujuan sebagai periksa dan imbang “check and balance” berjalan lancar. Tidak harus ada kacau ganggu terhadap fungsi dan peranan terhadap pemisahan kuasa tersebut.

Dalam isu pembentangan rang undang-undang persendirian yang dibawa oleh Tuan Guru presiden, ia hanya permulaan kepada suatu proses di Parlimen. Ianya suatu proses awal di pihak badan perundangan.

Seharusnya mana-mana pihak yang tidak berpuashati dengan rang undang-undang persendirian tersebut member laluan dan menghormati proses perundangan itu terlebih dahulu. Bukankah lebih manis bila mereka hormati proses yang ada hinggalah peringkat akhir perundangan?

Biarlah yang berhormat ahli-ahli dewan meneliti dan saling kemuka hujah kepada pembentangan tersebut. Sewajarnya mereka sabar menunggu sama ada rang undang-undang tersebut diluluskan atau sebaliknya.

Sebaik proses perundangan itu disempurnakan dan rang undang-undang berkaitan diluluskan serta diwartakan, nah sesuailah untuk dibawa ke mahkamah bagi dinilai atau ditafsirkan. Apa yang berlaku dalam prosiding semasa, bidangkuasa dan fungsi badan perundangan dihalang terlebih awal dan pada pandangan saya ia suatu tindakan pra matang.

Dalam isu rang undang-undang persendirian yang dibawa oleh Tuan Guru Presiden ini, ia belum lagi dibentangkan di Dewan Rakyat. Ahli-ahli yang berhormat masih belum lagi diberi peluang untuk kemuka hujah dan pandangan masing-masing terhadap rang undang-undang persendirian tersebut.

Dengan lain perkataan, belum pun lagi proses perundangan sempurna, ia telah diganggu dengan cara membabitkan mahkamah untuk ianya dihalang. Pada pandangan saya, ia amat kurang wajar dan kurang tepat.

Apa yang harus diambil perhatian oleh seluruh pendukung Islam, sekurang-kurangnya empat rakan sebangsa saya ini telah bertindak atas keyakinan mereka. tindakan mereka yang saya sifatkan pramatang menghalang rang undang-undang persendirian tersebut dibentangkan oleh Tuan Guru Presiden menggambarkan tekad dan iltizam mereka pada apa yang diyakini mereka.

Ia seharusnya menginsafkan sekalian kita yang ingin mendaulatkan undang-undang jenayah Islam di negara ini, apakah iltizam kita bagi menyokong dan mendukung keyakinan kita? Jelasnya sekadar kita meluahkan marah kepada mana-mana pihak yang menghalang kelangsungan perlaksanaan undang-undang jenayah Islam, masih jauh dari memadai.

Gembleng tenaga untuk memastikan hasrat kita difahami dan diterima oleh seluruh rakyat adalah suatu kemestian. Memanfaatkan setiap ruang dalam sistem kenegaraan bagi mendaulatkan Islam adalah suatu kewajipan.

Suatu yang harus sentiasa diingat, pertembungan antara hak dan kebatilan akan terus berlangsung hingga ke hujung umur dunia. Tidak perlu kita merasa letih atau jemu dalam usaha mendaulatkan syariat Allah.

Dalam isu prosiding yang sedang didepani Tuan Guru Presiden hari ini, wajarlah setiap dari pendukung dan penyokong Parti Islam Se-Malaysia “PAS” bersatu hati di belakang kepimpinan. Usahalah sehabis mampu agar prosiding yang sedang didepani tidak dibenarkan dan ditolak mahkamah. Sehabis dhaif, berdoalah ke hadrat Ilahi moga pertolongan Allah beriringan dengan setiap langkahan mendaulatkan agama-Nya. - HARAKAHDAILY 29/9/2015

Share on Myspace