Islam bukan sekadar jubah, janggut & tasbih

MOHD PRASAD HANIF | .

PERLU kita akui pada hari ini bahawa wujudnya arus yang begitu kuat melanda umat Islam. Masakini, wujud sebuah gelombang besar yang sedang menenggelamkan fikiran dan akal umat Islam kerana kealpaan umat Islam yang terlena, dan juga kerana sebahagian umat Islam yang tenggelam dalam kemewahan dan kesenangan. Akibatnya, lahirlah pelbagai ideologi dan dakyah serta kebergantungan kepada sistem-sistem asing.

Fahaman ini menyerang segenap lapisan umat Islam dan dari segenap sudut. Ada antaranya yang berjaya menguasai hati, fikiran dan perasaan mereka, serta mempersona dan memperdaya mereka. Kita menyaksikan uamt Islam pada hari ini bangga mengaku menganuti Islam versi Islamis Demokrat, Sekular Nasionalis, Liberal Sosialis dan Sekular Pragmatis. Pendokong ideologi ini lantang bersuara “Marilah bersama kami dengan rela hati untuk menikmati kemenangan dan kesenangan hidup. Jangan berfikiran kolot dan regresif. Inilah alaf baru. Inilah jalan ke syurga.”

Hasil ideologi pemahaman ini semuanya sama sahaja. Masjid yang tersergam indah dan dihuni oleh mereka yang mendirikan solat yang kering dan kontang tanpa sebarang nilai rohani dan takut pada Allah SWT (kecuali segelintir dalam kalangan mereka).  Penampilan umat Islam di Masjid-masjid mempesona dengan pakaian jubah, berjanggut, tasbih, serban dan kain dibahu. Acara dan istiadat yang amat mengujakan. Inikah Islam yang Allah jadikan sebagai nur untuk seluruh umat Islam?

Umat Islam kini terbelenggu dengan pemahaman Islam dalam skop yang sangat sempit – tertumpu kepada hal-hal solat, puasa dan zikir. Sahabat-sahabat Rasulullah SAW tidak mengenali Islam dalam ertikata begitu. Sebaliknya mereka beriman Islam merangkumi aqidah dan ibadah, kenegaraan, pembangunan modal insan, pembangunan ekonomi dan material, perundangan dan kuasa eksekutif, serta keharmonian, kekuatan dan perpaduan. Umat Islam membangun atas landasan Islam, menjadi peneraju kebangkitan masyarakrat:

“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.” (Al-Baqarah: ayat 143)

Atas keimanan ini, kita Ahli PAS dan masyarakat Islam tidak boleh bersifat pasif dan malas. Ahli PAS perlu memimpin di dalam setiap perkara dan menyampaikan gagasan Islam agar umat Islam bangkit daripada terlena. Kita harus bersaing, berjihad dan menjadi peneraju di dalam bidang yang kita ceburi, termasuklah bidang ilmu, ketenteraan, kesihatan ataupun kewangan.

Pada masa yang sama, setiap ahli PAS bertanggungjawab untuk berdakwah kepada masyarakat Islam agar berhenti bersikap materialistik dan mementingkan diri sendiri. Segala bakat, masa dan tenaga mereka digunakan hanya untuk kepentingan peribadi mereka sahaja. Kita harus mengejutkan mereka agar mereka beramal demi orang lain dan mengambil berat terhadap nasib agama mereka. Selaras dengan sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang tidak mengambil berat terhadap nasib umat Islam, dia bukan dari kalangan mereka.”

Inilah yang membezakan antara penyokong dan pendokong ahli PAS. Penyokong hanya timbul sekali setahun di Mesyuarat Agung ataupun 5 tahun sekali ketika pilihan raya. Pendokong pula memahami hakikat keterlibatan mereka didalam perjuangan – sebab dan pengorbanan. Mereka istiqamah dan setiap hari memikirkan masalah ummah. Persoalan aqidah bukanlah persoalan yang remeh bagi mereka yang berjuang dengan ikhlas di jalan Allah SWT.

Makanya, pengukuhan yang paling penting adalah di cawangan. Tidak memadai setiap cawangan mempunyai penyokong yang ramai.  Bilangan pendokong juga amat penting kerana mereka menyelami tanggungjawab mereka:

“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia).” (Al-Mudathir, ayat 1-2)

Cawangan-cawangan perlu menekankan hal ini di dalam kepimpinan mereka. Mesyuarat tidak boleh sekadar melepaskan batuk ditangga atau hanya sekali setahun. Program haruslah kerap. Selain program ilmu, penyokong harus digilap menjadi pendokong. Rapatilah masjid serta usaha dakwah.

Ahli kita wajib dikeluarkan daripada kepompong pemikiran yang sempit, kepada pemahaman gagasan Islam yang luas. Pendokong PAS berani untuk memimpin masyarakat dan menyelamatkan daripada pemikiran yang menyempitkan skop Islam kepada ibadat sahaja. Masyarakat juga perlu menikmati kemanisan perjuangan bersama-sama.

Secara kesimpulannya, serangan ke atas aqidah umat Islam amatlah besar pada hari ini. Maka menjadi tanggungjawab setiap ahli PAS untuk menyelamatkan diri sendiri dan seluruh masyarakat dengan menyampaikan risalah dan gagasan Islam. Janganlah sehari pun berlalu di dalam kehidupan ahli PAS tanpa dia memikirkan cara dan kaedah bagi menyampaikan Ar-Risalah.

Walau berdiri seorang tanpa sokongan dan dorongan, pendokong panji Islam akan terus mara. – HARAKAHDAILLY 30/9/205

Penulis ialah Ketua Penerangan PAS Selangor

Share on Myspace