Perkukuhkan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan

SUHAIMI TAIB | .

POLITIK adalah asas perjalanan negara, jika politik dipergunakan untuk mendapat kuasa, mengumpul kekayaan dan menjaga kedudukan peribadi dan kaum keluarga, bukan meletakkan negara di landasan yang betul dan memanfaat sumber pendapatan negara mengikut peraturan yang betul, tidaklah negara berada ditahap serba lemah dalam semua aspek seperti sekarang termasuk sukan.

Majoriti rakyat masih memandang politik dengan nilaian yang rendah iaitu sebagai alat mencari kekayaan, pangkat dan kedudukan bukan untuk memerintah negara dengan cara yang betul tanpa ada salahguna kuasa, rasuah dan kronisme, sekaligus menegakkan sistem pentadbiran yang telus, bermaruah dan akauntabiliti.

Politik dilihat untuk mendapat habuan projek pilihan raya - yang banyaknya hanya janji mulut pemimpin politik kerajaan sahaja.

Politik hanya untuk mendapat habuan wang ringgit dengan nilai yang rendah dalam musim pilihan raya dengan hanya beberapa puluh Ringgit sekadar masa lima tahun sekali, tidak lebih dari itu.

Politik telah dipergunakan secukupnya oleh Umno-BN untuk mengekalkan kuasa dengan mencanangkan propaganda 'ala komunis' bahawa parti itu sahaja berkeupayaan untuk mentadbir negara, parti lain tidak layak.

Politik telah dipergunakan secukupnya untuk menutup pekong kejahatan dan jenayah yang dilakukan oleh pemimpin tertinggi parti, sehingga ia agak sukar dibenteras melainkan dengan kuasa politik.

Politik BN memperkudakan sistem demokrasi berparlimen bagi mengubah persempadanan pilihanraya bagi memasti pengundi BN majoriti dalam sesuatu kawasan tersebut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti mengikut kehendak pemimpin BN atas nama arahan pimpinan atasan walaupun 'bias' (berpihak) kepada parti itu.

Sepatutnya SPR tidak bersifat berpihak, apa lagi dalam hal persempadanan pilihan raya. Tidak dinafikan ada kaedah-kaedah tertentu diperuntukkan untuk membuat pecahan persempadanan pilihanraya baharu.

Namun apa sahaja kaedah dan peraturan sedia ada boleh dilanggar secara tidak langsung sekiranya ada arahan pihak atasan (pemimpin BN).

Sudah ada cadangan supaya SPR memanggil semua parti berdaftar, duduk semeja bagi membincangkan soal persempadanan pilihan raya ini.

SPR boleh menerima apa-apa cadangan persempadanan yang dibuat oleh parti-parti politik dan keputusannya terletak di tangan SPR untuk memuktamadkan kedudukan persempadanan baharu itu.

Politik juga dipergunakan untuk menimbulkan ketegangan kaum sehingga tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969 yang merupakan peristiwa hitam dalam sejarah negara.

Tercetusnya pergeseran kaum antara puncanya kerana perebutan kuasa kepimpinan Umno, antara Tun Abdul Razak Husien dengan Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.

Politik juga diperkudakan untuk mendaruratkan kerajaan Kelantan di bawah PAS sehingga menyebabkan kerajaan itu tumbang suatu ketika dahulu.

Politik rasuah diperalatkan untuk menumbangkan kerajaan Terengganu di bawah PAS sekitar tahun 1960-an sehingga kerajaan tersebut tumbang. Begitu juga kerajaan Pakatan Rakyat di Perak tidak lama dulu.

Politik juga digunakan oleh pihak yang kecewa dan tersingkir dalam pemilihan pimpinan tertinggi PAS, untuk menghentam PAS dari semua sudut.

Mengapa politik tidak digunakan untuk melaksanakan amanah kepimpinan dengan meletakkan dan memperkukuhkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Negara bukan sekadar agama rasmi negara semata-mata?

Ini kerana Islam tidak pernah menghalang penganut agama lain untuk beramal dengan agama mereka, dalam ertikata bebas melaksanakan adat istiadat agama mereka selagi tidak menyentuh sensitiviti penganut agama lain khususnya agama Islam.

Islam sudah mempunyai kedudukan istimewa dalam perlembagaan sebagai agama rasmi negara tetapi hakikatnya Islam bukan hanya duduk dalam kondisi itu sahaja.

Ia perlu dimartabatkan sebagai dasar perlembagaan negara untuk membuktikan alam ini hak milik Allah hanya diberi pinjam, sebagai tempat persinggahan sementara buat manusia.

Dengan meletakkan Islam sebagai teras perlembagaan negara bererti Malaysia mengiktiraf bahawa negara ini adalah milik Allah bukan milik manusia.

Manusia dan isi alam seluruhnya adalah ciptaan Allah dan Yang Maha Mengetahui apa keperluan dan cara penyelesaian semua masalah mereka ialah Allah SWT.

Maka kembalikan negara ini kepada Pemiliknya (Allah SWT) dengan meletakkan arahan dan larangan-Nya menjadi dasar perlembagaan negara.

Islam membawa penyelesaian dalam semua perkara tidak kira apa jenis masyarakat dan kaum yang ada dalam negara ini.

Islam diakui ajaran sempurna oleh sarjana barat dan tidak ada jalan untuk pertikaikan kesempurnaannya. Hatta undang-undang moden ciptaan cendekiawan barat tidak berupaya menandingi kesempurnaan undang-undang Islam dalam apa jua kondisinya.

Justeru mengapa tidak diberi peluang Islam memperkukuhkan perlembagaan negara ketika barat dan timur kehilangan punca untuk mencari menyelesaian permasalahan manusia hari ini?

Manusia hari ini tercari-cari satu formula penyelesaian dalam semua aspek baik politik, ekonomi mahupun masalah sosial yang begitu kritikal, sebagai contoh manusia menjadi binatang apabila memgadakan hubungan seks secara terbuka di tepi jalan.

Sedangkan formula penyelesaian sudah disediakan sejak 1400 tahun dahulu melalui Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Justeru, tidak terlambat untuk negara ini memartabatkan Islam melalui perlembagaan negara bagi mengatasi segala penyakit dan kejahatan yang berlaku dalam kehidupan manusia hari ini. – HARAKAHDAILY 1/10/2015

Share on Myspace