1MDB: Hidupkan semula pasukan siasatan khas

TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .

Sebelum ini, 1MDB telah membidas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sejurus beliau menyatakan nilai Ringgit akan pulih jika masalah 1MDB dapat diselesaikan secepat mungkin.

Kementerian Kewangan langsung tidak menyambut cadangan Gabenor mahupun membuat teguran kepada 1MDB seolah-olah teguran 1MDB diberi lampu hijau. Maklumlah penasihat 1MDB ialah Datuk Seri Najib Razak sendiri yang bertindak sebagai Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan.

Raja-raja Melayu pula menyatakan kerisauan yang sama bahawa kegagalan kerajaan memberikan jawapan yang meyakinkan telah menyebabkan rakyat percaya sama ada dengan realiti mahupun secara persepsi, bahawa masalah 1MDB turut menjadi antara sebab yang telah mempengaruhi kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia secara mendadak.

Apakah 1MDB akan mengeluarkan kenyataan untuk membidas pendapat Raja-Raja Melayu dan Kementerian Kewangan pula akan terus membisu terhadap saranan baik daripada Raja-Raja Melayu?

PAS menyokong penuh saranan Raja-Raja Melayu yang mendesak agar siasatan 1MDB diselesaikan dengan cepat.

Dengan saranan Raja-Raja Melayu, diharap kerajaan jangan berlengah lagi untuk menghidupkan pasukan siasatan khas 1MDB yang terdiri daripada Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan SPRM dan membenarkan mereka untuk menjalankan siasatan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

PAS mengharapkan pasukan siasatan ini akan melibatkan Tan Sri Abdul Gani Patail meskipun beliau telah bersara dan juga Ketua Audit Negara yang telah menyerahkan laporan audit 1MDB kepada PAC.

Tan Sri Dr Zeti pula diberi kuasa penuh mendedahkan hasil siasatan dari semasa ke semasa seperti ketika pasukan siasatan aktif sebelum dibenamkan.

Sebagaimana dakwaan Perdana Menteri bahawa tiada penyelewengan dalam isu 1MDB,  maka beliau sepatutnya mendukung penuh siasatan dilakukan.

Apakah kerajaan yang menyahut saranan Raja-Raja Melayu atau akan membiarkan 1MDB menjawabnya sekali lagi? Sikap Najib selepas teguran Raja-Raja Melayu akan menentukan nasib politik beliau dan 1MDB. - HARAKAHDAILY 7/10/2015

Share on Myspace