TPPA: Pemenang Nobel kritik perunding Malaysia

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN | .

DPPM menuntut penjelasan yang telus oleh pihak kerajaan berkenaan Trans-Pasific Partnership Agreement (TPPA) yang telah berakhir rundingannya dan dipersetujui termanya oleh Malaysia bersama 11 negara yang lain pada Isnin, 5 Oktober setelah proses rundingan lima hari berlangsung di Atlanta, Amerika Syarikat.

Perjanjian perdagangan yang meliputi sebanyak 40 peratus perdagangan dunia ini melibatkan Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Sungguhpun Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed memberi jaminan bahawa keputusan muktamad pendirian berkenaan penglibatan Malaysia di dalam TPPA akan dibuat secara kolektif namun, pada hakikatnya tidaklah sebegitu. Rundingan TPPA yang kontroversi ini dibuat secara begitu rahsia dan tidak transparen.

Sehingga kini, Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang tidak pun dibekalkan dengan maklumat yang cukup berkenaan TPPA ini. Jadi, tidaklah mustahil institusi Parlimen hanya akan bertindak sebagai Rubber-Stamp sahaja bagi meluluskan perjanjian tersebut tanpa perbahasan yang matang dan pengundian yang adil.

Rundingan berat-sebelah ini hanyalah menguntungkan kuasa besar ekonomi dunia khususnya Amerika Syarikat, negara maju seperti Jepun, Kanada, Australia sedangkan negara membangun seperti Malaysia akan terus terkapai-kapai menjadi mangsa percaturan mereka.

Kritikan terhadap penglibatan Malaysia dalam TPPA ini turut disuarakan oleh Pemenang Nobel dalam bidang Ekonomi Joseph Stiglitz menyatakan di dalam artikelnya, “Don’t let TPP jeopardize Malaysia’s Economic Development” bahawa daripada pengamatannya perunding Malaysia banyak mengalah dan tidak cekap melindungi kepentingan Malaysia.

Strategi perunding Malaysia seperti tidak masuk akal kerana akan mengakibatkan Malaysia kerugian besar apabila hanya tunduk dan akur kepada kehendak pihak lain, bukannya bersungguh mempertahankan hak dan kedaulatan tanah air ini.

Itulah juga yang pernah berlaku dalam sejarah rundingan Pulau Batu Puteh yang akhirnya menyebabkan Malaysia kalah dan kehilangan pulau tersebut.

DPPM berpandangan TPPA ini bukanlah perjanjian perdagangan bebas dan perkongsian yang setara. Sebenarnya, ia adalah perjanjian perdagangan yang diuruskan bagi memenuhi kepentingan korporat dan perkongsian yang hanya menguntungkan Amerika Syarikat sebagai pemacu utama dalam menentukan halatuju TPPA.

Ia tidaklah menghairankan kerana TPPA ini merupakan agenda utama dan dasar ekonomi yang diperjuangkan oleh Presiden Obama, bahkan beliau sendiri ada berkata, "We should write those rules, opening new markets to American products while setting high standards for protecting workers and preserving our environment."

Justeru, DPPM menggesa Kerajaan Malaysia mengutamakan kepentingan kedaulatan negara dan kepentingan rakyat melebihi daripada kehendak dan desakan pihak asing khususnya Amerika Syarikat.

Adakah kerajaan sanggup menambahkan lagi sengsara rakyat yang sudah sedia tertekan akibat peningkatan kos sara hidup, pelaksanaan cukai GST, dan prestasi ekonomi yang sedang merudum.?

TPPA ini akan menyebabkan ramai yang akan hilang pekerjaan, peningkatan harga ubat, hak Bumiputera terancam, sektor pertanian dan perindustrian tempatan terjejas teruk.

Lebih malang lagi ialah TPPA akan menghalang kerajaan daripada meluluskan peraturan atau undang-undang untuk melindungi kesihatan dan keselamatan awam serta alam sekitar, atau mana-mana aspek lain bagi kebaikan awam. Hal ini kerana TPPA mengandungi mekanisma Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) yang akan membenarkan warga asing untuk menyaman kerajaan apabila mereka berpendapat peraturan-peraturan tersebut akan menjejaskan keuntungan mereka.

DPPM menegaskan sekali lagi bahawa sebarang usaha permeteraian perjanjian sehingga menggadaikan kedaulatan tanah air tercinta adalah bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia. Kerajaan Malaysia perlu bersikap terbuka, telus dan tidak boleh bertindak dengan sewenangnya hanya demi mencapai keuntungan yang secupak, tetapi ruginya segantang. – HARAKAHDAILY 7/10/2015

Penulis ialah Naib Ketua, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).

Share on Myspace