Apa kaitan private bill dan kisah Abdullah bin Jahsh

USTAZ FAKHRURRAZI ABU BAKAR | .

Bismillah ar-Rahman ar-Rahim

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (Surah al-Ahzab: Ayat 36)

Kisah Abdullah bin Jahsh r.a

Sebelum berlakunya peristiwa Badr Al-Kubra, Abdullah bin Jahsh r.a dan lapan orang tentera pengintip daripada kalangan sahabat termasuk Abdullah bin Waqqash r.a pernah dicemuh akibat melanggar undang-undang yang dipersetujui bersama sejak zaman jahiliah bahawa tidak boleh berperang pada bulan-bulan yang diharamkan berperang.

Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam juga melarangnya supaya menyerang golongan Quraish yang sedang membawa barang dagangan itu selain pulang ke Madinah melaporkan kepada Baginda sallallahu 'alaihi wasallam akan pergerakan mereka. Namun Abdullah bin Jahsy r.a selaku ketua memutuskan untuk menyerang juga kerana walaupun pada bulan Rejab, bulan yang diharamkan berperang tapi merasakan kerugian yang besar sekiranya musuh dapat masuk ke Makkah dengan aman sedangkan mereka membawa harta yang banyak.

Tindakannya itu mengakibatkan seorang ahli rombongan terbunuh, dua ditawan dan seorang lagi berjaya melarikan diri. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sangat marah sekembalinya Abdullah bin Jahsh r.a dan rombongan ke Madinah kerana telah ingkar arahan serta melanggar sesuatu yang dipersetujui dan dihormati bersama oleh seluruh bangsa Arab.

Akibatnya Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam juga terpalit, dicemuh musyrikin sebagai seorang yang mengkhianati perjanjian. Ia merupakan laba politik para musyrikin Makkah utk memburukkan reputasi sekaligus membina persepsi masyarakat arab di Hijaz seluruhnya bahawa kerajaan Madinah pimpinan Rasulullah sallallahu 'alaihi wssallam adalah pengkhianat kepada undang-undang.

Maka di saat itu, Allah menurunkan ayat yang menempelak orang-orang musyrikin dan membela tindakan Abdullah bin Jahsh dan rakan-rakannya Radhiyallahu anhum. Benar, tindakan Abdullah bin Jahash r.a adalah satu kesalahan yang besar dan Allah tidak nafikan bahawa tindakan mereka salah.

Namun, kerja-kerja menghalang dakwah Islam, engkar kepada dakwah Islam, menghalau orang-orang Islam keluar dari Makkah; itu adalah lebih besar kesalahannya di sisi Allah berbanding tindakan Abdullah bin Jahsh serta rakan-rakannya yang lain. Radhiyallahu anhum ajma'in.

Beriltizam dengan Islam

Atas nama perundangan, Presiden PAS dikatakan telah melanggar perlembagaan apabila ingin mengemukakan private members bill Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II Kelantan. Ia bukan suatu kerja menggubal sesuatu yang baru melainkan hanya penambahbaikan serta pindaan terhadap satu juzuk fasal yang kecil terhadap undang-undang yang sudah sedia ada di Kelantan sejak 1992.

Jika benar sekalipun tindakan Presiden PAS itu salah dari sudut perlembagaan yang asasnya digubal oleh British, maka sebagai pengamal undang-undang yang beriltizam dengan agamanya apakah tidak boleh ia menahan dirinya daripada melakukan tindakan yang mencemar reputasi dirinya sebagai seorang Muslim? Tidak bolehkah ia menahan dirinya dahulu sebelum bertindak menyaman Presiden PAS dan beberapa lagi individu atas kapasiti membawa private bill tersebut ke Parlimen?

Sejarah Kes Mahkamah Malaysia

Masih ingatkah kita dengan kes Suzie Teoh, seorang remaja yang berusia 16 tahun telah memeluk Islam, tetapi terpaksa 'dibatalkan keislaman' beliau kerana sistem Perundangan Malaysia sendiri yang menyebut bahawa hak beragama seorang anak tertakluk di bawah jagaan ibu bapanya selagi mana umurnya belum mencapai 18 tahun. Jika mahu menukar agama maka perlu mendapat izin kedua ibu bapa.

Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Salleh Abas, di atas rasa tanggungjawab sebagai seorang pengamal undang-undang Muslim telah menggunakan kuasanya dengan menangguhkan perbicaraan selama dua tahun sehinggalah gadis tersebut telah mencapai had umur yang membolehkan dirinya memilih agamanya sendiri.

Tun Salleh Abas sedar bahawa ia akan disoal di akhirat kelak akan tindakannya, maka ia memilih untuk 'melawan arus' perundangan negara walaupun akhirnya beliau terpaksa membayar dengan harga yang mahal apabila dipecat daripada jawatan tersebut atas tindakannya menjaga hak seorang muslim dalam sebuah negara.

Begitu juga lima dekad yang lalu Profesor Ahmad Ibrahim telah berusaha untuk meletakkan di dalam perlembagaan agar perbicaraan berkaitan hal ehwal keluarga Islam dibicarakan di Mahkamah Syariah bukan di Mahkamah Sivil. Ini susulan kes pemurtadan Natrah yang terjadi selepas kes Natrah dibicarakan di mahkamah Sivil Singapura yang pada masa itu di bawah pentadbiran penjajah British.

Profesor Ahmad Ibrahim adalah individu yang bertanggungjawab memisahkan perundangan sivil dan syariah mengikut Fasal 121 (1A). Apa yang dapat kita contohi daripada beliau, sebagai seorang pengamal undang-undang Muslim adalah beliau sedaya upaya mendaulatkan Islam dalam ruang yang sangat terbatas dan cuba melawan arus perlembagaan yang digubal penjajah yang mahukan Islam hanya kekal sebagai amalan kerohanian sahaja bukan suatu syariat yang berdaulat.

Dua tokoh pengamal undang-undang yang disebutkan tadi patut dijadikan teladan kepada pengamal undang-undang muslim di negara kita bahawa mereka perlu sedar tanggungjawab mereka di dalam berusaha melaksanakan perundangan Islam dalam ruang lingkup demokrasi yang terhad dan bukan terus tenggelam dengan hujah-hujah klise seperti 'ini bertentangan dengan perlembagaan'.

Pengamal undang-undang Muslim perlu disuntik sedikit dengan rasa tanggungjawab mereka memelihara serta mendaulatkan perundangan syariat Islam walaupun di sana terdapat beberapa kelemahan ijtihad yang boleh sama-sama dibantu dengan kepakaran yang ada pada mereka, bukan terus menghalang dan menyaman sebagaimana yang kita lihat sekarang.

Mencari Titik Pertemuan

Oleh hal yang demikian, Dewan Pemuda PAS Kawasan Johor Bahru sangat berbesar hati sekiranya empat individu yang berhasrat untuk menyaman dan menghalang Presiden PAS dapat bersama-sama berdialog dengan kami sekurang-kurangnya bagi mencari titik pertemuan supaya kita sama-sama dapat memartabatkan syariat Islam di negara kita yang tercinta.

Selain itu, tenaga mereka adalah lebih diperlukan untuk ditumpukan kepada usaha yang berterusan dalam membantah isu perdagangan TPPA yang kabur dan menzalimi rakyat. Bukannya pada membantah private bill yang tujuannya untuk membela rakyat dan menegakkan hukum Allah di bumi Kelantan.

Dengan ini, Dewan Pemuda PAS Kawasan Johor Bahru memberikan sepenuh sokongan dan solidariti buat Tuan Guru Presiden PAS dan berdoa agar Allah memberikan kemenangan buat Islam dan kebenaran. – HARAKAHDAILY 9/10/2015

Penulis ialah Pemangku Ketua Pemuda, Dewan Pemuda PAS Kawasan Johor Bahru

Share on Myspace