Jasa PAS di Kelantan dalam pendidikan

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

DATUK Asri semasa menjadi Menteri Besar, Kelantan juga telah menyumbangkan sesuatu yang besar terhadap perjuangan PAS, adalah tidak jujur jika tidak berbicara tentang tokoh ini, seolah langit sejarah cuba menutup kebaikan dan peranan yang telah dilakukannya untuk memperkasakan PAS.

Kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh Datuk Asri bermula pada tahun 1959 telah menggerakkan pendidikan Islam. Negeri ini sangat subur dengan keberadaan sekolah pondok dan madrasah. Penyuburan ini berkait secara langsung dengan sikap masyarakat Kelantan yang cenderung kepada pendidikan Islam. Perkembangan sekolah agama mencapai zaman kegemilangannya dalam era tahun-tahun 1950-an sehingga dekad 1960-an. Kemuncaknya ialah pada tahun 1962 apabila kerajaan negeri Kelantan mempunyai 189 buah sekolah Arab dan agama.

Melihat kepada perkembangan ini, pihak MAIK menubuhkan lembaga peperiksaan pada tahun 1967, bagi mengendalikan dan menyelaras peperiksaan sekolah Arab/ agama di seluruh Kelantan. Perkembangan sekolah Arab/ agama mulai menurun pada akhir tahun 1960-an.

Sekolah-sekolah Kebangsaan (rendah/menengah) mula berkembang pesat dan  menjadi saingan kepada sekolah Arab/ agama. Tahun 1968 bilangan sekolah Arab/ agama menurun kepada 158 buah, dan pada tahun 1972 hanya tinggal 89 buah sahaja iaitu lapan sekolah di bawah MAIK dan 81 buah sekolah bantuan rakyat.

Kemerosotan yang berlaku ini telah menyebabkan kerajaan PAS Kelantan mengambil beberapa langkah tertentu. Mulai 1 Julai 1974, kerajaan negeri telah mengambil alih semua sekolah Arab/ agama. Untuk itu, Jabatan Sekolah-Sekolah Agama telah ditubuhkan. Kemudian pada 11 Mac 1978 Yayasan Pelajaran Islam Negeri Kelantan (YPINK) pula telah ditubuhkan. Lantaran itu sekolah agama mula berkembang daripada 89 buah kepada 96 buah pada tahun 1975. Jumlah bilangan guru pada masa itu seramai 711 orang manakala jumlah pelajar pula seramai 12,761 orang.

Datuk Asri dan pimpinan negeri Kelantan terus membangunkan pendidikan Islam dan membangunkan Kelantan di segenap sudut walaupun Kelantan dianaktirikan oleh kerajaan Pusat. Berbanding dengan negeri lain, Kelantan agak tersudut dan agak bergantung kepada sektor pertanian. Kerajaan PAS terpaksa mengusahakan pembalakan kerana itu merupakan salah satu daripada hasil kerajaan negeri untuk menggerakkan pentadbiran.

Kelantan di bawah PAS juga telah membuka tanah-tanah baru pertanian untuk rakyat meningkatkan mutu kehidupan seperti pembukaan tanah di Kuala Krai, Gua Musang dan sebagainya.

Antara bidang utama yang diambil berat oleh kerajaan PAS Kelantan ialah pendidikan yang menjadi 'mobility social'. Kerajaan Kelantan di bawah PAS juga menunjukkan keseriusan yang mendalam terhadap pendidikan tinggi, contohnya dengan membantu anak-anak negeri itu belajar ke luar negara atau institusi pengajian dalam negara. Juga kesungguhan PAS yang memerintah negeri itu untuk menubuhkan universiti bagi memperkasakan pangajian tinggi Islam, apatah lagi untuk menampung anak-anak Kelantan yang cemerlang di peringkat menengah atas.

Dalam mengukuhkan bidang pendidikan Islam, Kerajaan Kelantan telah menghantar dan membiayai pengajian beberapa pelajar ke institusi pengajian tinggi di dalam dan di luar negara. Hingga tahun 1963, seramai 69 pelajar dianugerahkan biasiswa antaranya kepada beberapa pelajar di Universiti al-Azhar, pusat pengajian di Mekah, Universiti Islam Indonesia dan juga di Kolej Islam Malaya di Klang.

Hasrat menubuhkan sebuah institusi pengajian Islam di Kelantan dikatakan bermula dengan inisiatif beberapa pelajar Kelantan di Indonesia yang telah menyediakan memorandum tentang pengajian tinggi Islam Kelantan pada tahun 1962, yang kemudiannya diserahkan kepada sebuah badan kebajikan yang dinaungi oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan ketika iaitu Datuk Muhammad bin Nasir.

Maktab perguruan tersebut diharap menjadi asas penubuhan universiti Islam di Kelantan. Bagaimanapun, perlaksanaan cadangan tersebut tidak berjalan lancar sehinggalah kepada satu inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Asri Muda yang menubuhkan satu jawatankuasa pengelola yang diberi nama Jemaah Pengelola Pusat Pengajian Tinggi Islam Kelantan pada 27 Jun 1965. (Abdullah Muhammad Zin, Zulkiplie Ghani, Abdul Ghafar Don; 2005:33)

Kelantan di bawah pimpinan PAS telah menganjak ke hadapan dengan menubuhkan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan di Nilam Puri pada tahun 1965. Pusat pengajian tinggi Islam ini diletakkan dalam sebuah kampus yang pada asalnya ialah Istana Sultan Kelantan yang dinamakan Istana Nilam Puri. Ia terletak 10 kilometer dari Kota Bharu. Pada tahun 1969, nama institusi pendidikan tinggi ini diganti namanya dengan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan. (Halim Mohd Diah). – HARAKAHDAILY 12/10/2015

(Penulis merupakan AJK PAS Pusat, dan AJK Panitia FASTAQIM 60K)

Share on Myspace