Agamawan semakin hilang, si jahil jadi pemimpin

HARAKAHDAILY | .

TINTA ULAMAK

Nabi SAW bersabda dalam Hadis Sahih riwayat Bukhari dan Muslim

إِنَّ اللَّهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالًا فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا "

"Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu itu dengan dicabutnya daripada hamba-hamba tetapi Allah mencabut ilmu dengan mematikan Ulama sehingga tidak ada lagi seorang alim berilmu, orang ramai pun mengambil ketua dan pemimpin yang sangat jahil lalu mereka ditanya lantas mereka memberikan pandangan tanpa ilmu pengetahuan. Lantaran itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan".

Huraian

1. Menurut riwayat Imam Ahmad dan Tabrani hadis ini diucapkan oleh Baginda SAW ketika Haji Wida' beberapa bulan sebelum kewafatan Baginda SAW.

2. Maksud ilmu yang diangkat dalam hadis ini ialah ilmu pengetahuan tentang al-Quran dan al-Sunnah.

3. Hadis ini memperingatkan kita tentang kematian ramainya para ilmuwan yang mempunyai pengetahuan tentang Islam sebagai petanda akhir zaman. Pada satu tahap orang-orang jahil tanpa pengetahuan Islam dijadikan ketua dan pemimpin. Kesannya ialah mereka memimpin ke arah kesesatan dan kerosakan.

4. Kata Imam Nawawi dalam Syarah Muslim dan Ibnu Hajar dalam Fathul Bari; Hadis ini mengandungi peringatan agar jangan mengambil golongan jahil tidak berpengetahuan sebagai ketua.

5. Menurut Imam Nawawi lagi, maksud hadis ialah dimatikan pembawa ilmu lalu orang ramai menjadikan golongan jahil memerintah berdasarkan kejahilan lalu mereka sesat dan menyesatkan.

6. Moga kita sentiasa berusaha menambahkan ilmu pengetahuan dan tidak terlibat menjadikan golongan jahil tanpa ilmu tentang panduan wahyu sebagai pemimpin. – HARAKAHDAILY 14/10/2015

Disediakan oleh Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Share on Myspace