H60K: Alangkah ruginya mereka yang terjun dari bahtera ini

DR AZMAN IBRAHIM | .

“Himpunan Hijau di Kedah sebelum PRU13 pun ramai hadir. Bila pilihan raya kalah, Kedah jatuh! Orang PAS selalu merasa gah dengan jumlah kehadiran.”

Begitulah bunyinya komen seorang pengikut laman sosial apabila memberikan komentar kepada gambar-gambar Himpunan Fastaqim H60K yang saya siarkan di laman muka buku. Saya pasti dia bukanlah salah seorang hadirin semalam. Mungkin dia juga bukanlah salah seorang yang hadir dalam Himpunan Hijau di Kedah yang dimaksudkan itu. Bukan juga sebagai kader atau petugas parti. Jawatan yang disandang hanyalah sebagai tukang komen dan tukang kritik tanpa tahu apa-apa. Malah tak mustahil dia adalah salah seorang yang bersama kelompok pembuat onar dalam Kerajaan PAS Kedah sehingga akhirnya memberi saham BN untuk kembali berkuasa.

Melihat ratusan ribu pencinta dan pendokong perjuangan Islam hadir dari seluruh pelosok negara dengan mengabaikan segala kepayahan dan kesukaran, mengeluarkan belanja sendiri tanpa sebarang sponser, bermotosikal meredah Banjaran Titiwangsa, menjadikan masjid dan surau sebagai hotel disambut pula oleh sahabat-sahabat seperjuangan di bumi Kelantan dengan penuh rasa ukhuwwah Islamiyyah adalah suatu hakikat kemanisan hidup berjemaah dan bersaudara yang sukar digambarkan dengan kata-kata dan bait-bait tulisan.

Bertemu dengan seorang teman anggota Unit Amal yang datang dari sebuah negeri utara tanah air. “Allah… Syeikh! Enta sampai bila? Dah makan ke belum? Semalam enta tidur di mana? Sebab apa tak contact ana?” Soal saya bertalu-talu.

Teman baik saya ini hanya senyum sambil memeluk erat tubuh saya. Terasa kehangatan ukhuwwah yang telah lama kami bina walau jarang bertemu. “Sampai semalam akhie. Ana tidur Masjid Kubang Kerian. Hehe… derma darah kepada nyamuk sikit.”

Walau menempuh kepayahan dan kesukaran untuk menjadi sebahagian dari lautan manusia semalam, adakah anda perhatikan mereka yang hadir berwajah masam mencuka? Saya tak nak tulis panjang. Biarlah mereka yang hadir jawab. Yang tak hadir tak akan merasai roh berada dalam kehebatan dan semangat yang mengalir bersama keutuhan tautan ikatan berjamaah.  

Apa yang dapat saya ungkapkan, satu dahan pokok yang dicantas maka akan bertunas kembali 3 atau lebih tunas baru yang segar. Alangkah silapnya mereka yang mengambil keputusan untuk terjun turun dari bahtera ini. Silap kerana terjun dari sebuah bahtera besar dengan memiliki daya tahan yang hebat untuk menempuh badai dan gelombang dalam pelayaran. Silap kerana mereka menyangka bahawa bahtera ini akan tenggelam dengan ketiadaan mereka. Silap kerana mereka menyangka bahawa selama ini bahtera mampu belayar hanya kerana mereka. Tanpa mereka maka pelayaran akan terhenti. Rupanya tidak sama sekali. Silap kerana mereka terjun bersama labu-labunya kerana menyangka bahawa labu itu adalah milik mutlak mereka. Sepatutnya kamu nak terjun, silakan terjun. Labu tu hak orang ramai. Jangan dibawa bersama.

Pastinya juga suara-suara yang bernada memperlekehkan kejayaan himpunan ini akan berkumandang paling kurang untuk tempoh berminggu-minggu. Orang yang hatinya penuh hasad dan kebencian, maka begitulah lagak dan perlakuan mereka. Kalau kita tanya balik, apakah himpunan ini menjadi kudis gatal kepada kamu? Apakah ada keamanan dan ketenteraman kamu telah diganggu? Apakah ada hak kamu yang telah dicerobohi? Apakah peserta himpunan mintak sedekah duit dari kamu? Apakah? Apakah? Banyak lagi soalan kalau kita nak ajukan untuk mengetahui akan kewajaran mereka menzahirkan segala kebencian tersebut. Pokoknya, busuk di dalam akan berbau di luar dalam bentuk ungkapan dan kata-kata negatif. Bagi mereka kalau kehadiran sedikit mereka pertikai, hadir ramai pun pertikai juga. Kepanasan tak tahu punca.

Tulis seorang pengikut dalam ruang komen muka buku saya. “Saya ni orang jahil, ngaji setakat sekolah rendah saja, kerja musim pilihanraya pun setakat pandai gantung bendera saja. Cari makan ala kadar. Himpun duit sebulan nak mari kat himpunan ni. Alhamdulillah… sampai juga saya di Kota Bharu.”

Seorang lagi menulis, “Kalaupun doa saya Allah tak pandang sebab saya bukannya orang baik, tapi tak kan dari puluhan ribu orang yang bermunajat di dalam stadium, tak ada seseorang hamba yang Allah sayang dan makbul doanya untuk saya tumpang”.

Apa yang pastinya semalam ramai orang tersenyum lebar. Saya tanya pekerja sebuah hotel besar yang baru saja dinaik taraf terletak berhampiran dengan Stadium Sultan Muhammad IV. “Ada lagi tak bilik kosong?” Jawabnya, “habis!” Katanya lagi, tak pernah sebelum ni sepanjang yang dia ingat, semua bilik hotel penuh.

Lihat senyuman peniaga bila kedai serta warung mereka penuh sesak. Tak cukup tangan melayan pelanggan. Pasaraya sekitar Kota Bharu juga dipenuhi pelanggan. Pasar Siti Khadijah dipenuhi pelanggan.  

Bukankah ini namanya himpunan yang membawa rahmat? - HARAKAHDAILY 18/10/2015

Share on Myspace