Kalau PAS betul, kenapa ada yang keluar?

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR | .

GEMA laungan takbir daripada lebih 100 ribu hadirin Himpunan Fastaqim H60K menggegarkan Stadium Sultan Muhammad, Kota Baru. Lautan manusia hijau memenuhi setiap pelusuk ruang Stadium, suasana ini menggamit kenangan ketika himpunan pertama di Stadium yang sama, selepas PAS menang di Negeri Kelantan.

Ketika itu saya masih lagi belajar di Pondok, sanggup merentas ratusan batu dengan menaiki motorsikal lampu bulat seorang diri, dek semangat yang sangat membara untuk bersama menjayakan perhimpunan tersebut.

Masa tu duit cukup-cukup je, kalau tak silap saya cuma ada RM20. Masa tu minyak masih murah, perjalanan dari Terengganu ke Kelantan minyaknya hanya habis sekitar RM10 sahaja, yang selebihnya buat makan, namun seronoknya terasa hingga sekarang.

Berada dalam PAS yang dipenuhi dengan program Tarbiyyah sangat mendidik dan membentuk jiwa agar sentiasa sedia berkorban demi Islam, sama ada dalam keadaan susah dan senang, kedua situasi tersebut tidak pernah menjadi penghalang untuk menjadi penolong kepada agama Allah SWT.

Himpunan FASTAQIM kali ini saya hadir lagi bersama keluarga, bersesak-sesak seramai 16 orang dalam sebuah MPV, membelah jalan raya dan lebuh raya untuk sampai ke Kota Baru, anak-anak begitu teruja melihat lautan manusia, jarang-jarang mereka tidak tidur sebelum jam 11.00 malam.

Namun di himpunan FASTAQIM tiada seorang pun yang tidur termasuklah yang paling kecil, gembira sangat dia tengok orang ramai, dah lah tu terpaksa pula berjalan kaki sejauh 1.6 KM, kerana kami tinggal di Homestay Pelangi Mall, berderet kami anak beranak menapak pergi dan balik, penat tapi sangat berbaloi, kegembiraan kami mengatasi kepenatan.

Kami berada di tengah lautan manusia di dalam Stadium, mendengar setiap patah ucapan, pesanan dan taujihad pimpinan PAS yang pastinya semakin menyuntik semangat untuk terus bekerja bagi memenangkan PAS.

Betapa dapat saya rasakan, para amilin PAS seperti saya begitu bersemangat untuk hadir dengan harapan agar program ini berjaya dan juga sebagai tanda sokongan kepada PAS dan kepimpinannya tanpa berbelah bagi. Tiada manusia yang sanggup berpenat lelah secara percuma, melainkan jika ada impaknya, sama ada dunia mahupun Akhirat.

Mereka datang tanpa dibayar, malahan merekalah yang membayar, sejak dulu sehingga kini, itu lah PAS, yang telah berjaya mendidik ahlinya untuk berkorban demi Islam, tiada lain yang diharapkan kecuali untuk melihat PAS terus berkembang dan terus berkembang sehingga satu tahap yang melayakkan PAS untuk memerintah dengan hukum Allah SWT, apabila masanya, hanya Allah SWT yang tahu.

Namun apa yang dapat dilihat, PAS kini telah menjadi sebuah jamaah yang kuat dan ramai dan memiliki pengikut yang tegar berjuang demi dasar Islamnya, sukar untuk digugat oleh segala bentuk fitnah yang cuba untuk meruntuhkannya, FASTAQIM H60K adalah buktinya.

Seorang yang dianggap pakar oreantalis barat dari Belanda, Dr Snouck Hurgronje yang lahir pada 1857, ketika mana tanah jajahan Belanda iaitu Hindia Belanda ataupun Indonesia sering mendapat tentangan daripada pejuang dari Acheh.

Acheh yang terkenal sebagai Serambi Mekah, yang ramai para ulama dan ketumbuhan serambi ilmunya dipelosok bumi Acheh, mereka bangun menentang penjajahan Belanda, kesukaran tunduk kepada penjajah ini dicetuskan oleh semangat jihad yang dicetuskan oleh para ulama dan ilmunya.

Dr Snouck Hurgronje yang mahir dengan Ilmu Islam telah menulis, "Kekuatan yang ada pada umat Islam di Acheh adalah kerana al-Quran yang berada di dalam dada mereka, itu adalah senjata paling tajam yang dimiliki mereka, jika senjata itu hilang daripada dada mereka, nescaya mereka akan menjadi seorang Belanda".

Begitulah juga dengan PAS, kebanyakan orang menyokong PAS kerana Islam, dalil perjuangan ini diambil daripada al-Quran dan Hadis, juga dari kalam para ulama, setiap inci perjalanan parti dan juga sebarang keputusan semuanya disandarkan kepada al-Quran, Hadis, Ijma dan Qias para Ulama.

Nak buang semua ni dari dada orang PAS yang telah terdidik sejak dulu, bukannya semudah menukar warna pakaian, walaupun ada yang keluar, ia digantikan oleh Allah SWT dengan lebih ramai. Ada yang bertanya, "Ustaz, kalau PAS betul, kenapa ada orang keluar PAS?" Saya menjawab dalam bentuk pertanyaan, "Apakah kita boleh menganggap Islam itu tidak betul, apabila ada orang yang keluar dari Islam?" Dia tidak menjawabnya.

Tidak betul kita menghukum Islam itu tidak betul, jika ada penganutnya berbuat salah, begitulah juga dengan PAS, tidak betul tindakan menghukum PAS jika kita tidak bersetuju dengan individu di dalam PAS.

Selagi Islam menjadi dasar PAS, selagi para ulama bersama PAS, selagi al-Quran dan Hadis mengalir di dalam jiwa ahli dan penyong PAS, selagi ahli PAS terus mendapat tarbiyyah, selagi ahli PAS sentiasa berada di dalam majlis ilmu, selagi ada manusia yang mencintai Islam, selagi itulah mereka yang cinta kepada Islam akan terus mencintai perjuangan PAS.

Insya-Allah, selagi itulah juga bahtera PAS akan terus berlayar di lautan persada dakwah dan politik Malaysia dan sanggup meredah gelombang fitnah dan Istiqamah hingga kemenangan, sama ada di dunia mahupun Akhirat. – HARAKAHDAILY 20/10/2015

Penulis ialah Pesuruhjaya PAS Pahang

Share on Myspace