Perjuangan PAS dan pengaruh pondok

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

KEHADIRAN ribuan ulama serta para asatizah ke Ijtimak Pondok yang berlangsung pada 16 Oktober di Pondok Pasir Tumbuh Kelantan membuktikan bahawa PAS masih merupakan wadah perjuangan yang tak mampu dipisahkan daripada institusi agama tradisional berpengaruh negara ini.

Kawasan yang subur dengan tradisi pondok ini pula terbukti menjadi kawasan yang kuat menerima pengaruh PAS. Secara tidak langsung negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu menjadi pertapakan kepada PAS dalam meluaskan sokongan massa.

Pimpinan PAS terus memanfaatkan ruang untuk mendekati guru-guru pondok kerana kedudukan guru pondok yang dihormati dalam hierarki masyarakat Melayu. Menguasai guru pondok bermakna PAS akan terus relevan kepada masyarakat, ini adalah kerana justifikasi sosial seseorang guru agama dengan kebenaran. Di Kelantan pada zaman awal penubuhan PAS usaha-usaha terus dibuat untuk mendapatkan dokongan guru-guru pondok.

Dalam jajahan Bachok pula ialah Tuan Guru Haji Muhammad, Tuan Guru Haji Awang Padang, Tuan Guru Haji Muhammad Zain Osman dan beberapa orang lagi tokoh ilmuwan Islam. Manakala di sebelah Tumpat, Tuan Guru Haji Sulaiman Haji Omar, Tuan Guru Haji Yaakob Kelong, Tuan Guru Haji Daud Geting dan lain-lain lagi.

Manakala di Jajahan Machang ialah Tuan Guru Haji Razali Ismail di Pulai Chondong dan Tuan Guru Wan Yusuf Che Tengah. Di Kuala Krai ialah Tuan Guru Haji Abdul Rahman Sulaiman. Di Tanah Merah ialah Tuan Guru Haji Nik Daud Bukit Remah. Di Pasir Puteh, Tuan Guru Haji Muhammad. Di Selising, Tuan Guru Haji Abdul Muttalib Bukit Abal, Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal dan lain-lain lagi.

Kejayaan PAS adalah kerana cita-cita politik Islamnya diterima oleh rakyat Kelantan dan Terengganu kerana rakyat kedua-dua negeri ini memandang tinggi tok guru dan guru-guru agama yang menjadi calon-calon parti itu.

Pengaruh tok-tok guru ini cukup kuat pada masa itu, iaitu apabila guru-guru pondok ini memberi sokongan kepada PAS, juga rakyat juga mudah terpengaruh dan mencontohinya seperti yang berlaku kepada Tuan Guru Haji Abdullah Tahir di Pondok Bunut Payong, Kelantan. Begitu juga dengan kemenangan Tuan Guru Haji Ahmad Hussien pada tahun 1955.

Pondok telah menjadi sebahagian institusi yang penting dalam Pendidikan Islam di alam Melayu ini termasuk di Indonesia, Thailand, Malaysia. Pondok dan PAS telah begitu sinonim dan dikenal pasti semenjak dekad 1950-an lagi, guru-guru dan pelajar pondok telah mendokong PAS.

Pandangan bahawa pondok dan tuan guru pondok telah memberikan lonjakan besar terhadap pengaruh PAS turut dipersetujui oleh tokoh veteran PAS Kelantan, Salahuddin Abdullah (2010):

"Boleh dikatakan majoriti tokoh agama di Kelantan menyokong penuh perjuangan PAS. Mereka terdiri daripada tuan-tuan guru yang memimpin pondok pengajian agama di seluruh negeri Kelantan dan menggunakan pengaruh mereka untuk kepentingan PAS.

Antara mereka ialah Tuan Guru Haji Abdul Ghani Kubang Bemban, Pasir Mas. Tokoh ini telah memberi sokongan padu kepada PAS dan menyebarkan konsep perjuangan PAS kepada rakan-rakan sejawatnya, tuan guru yang lain di Pasir Mas.

Di Kota Bharu, Tuan Guru Haji Abdullah Tahir, Bunut Payong begitu amat menonjol menyokong PAS meskipun sudah agak berusia. Beliau sering diwakili oleh menantunya, Tuan Guru Haji Husin Rahimi. Di Kubang Kerian, Tuan Guru Haji Ahmad Kenali, Tuan Guru Abdul Aziz, Tuan Guru Haji Mustafa Abu Bakar di Pondok Terusan Limbat, Tuan Guru Haji Hasan Ketereh, Tuan Guru Haji Ismail Perol, Tuan Guru Haji Yusuf Padang Kala dan semua tok-tok guru institusi pondok di Kota Bharu ini menjadi penyokong PAS."

Pendidikan Islam termasuk pendidikan pondok mula mendapat nafas baru apabila berlakunya kebangkitan Islam yang bersifat fenomena di seluruh dunia. Serentak dengan kesedaran untuk mengembalikan kesedaran dan kemuliaan Islam, seruan supaya Pendidikan Islam dimartabatkan kembali berlaku serentak dengan permintaan tinggi peserta-peserta kebangkitan Islam untuk mendapatkan ilmu-ilmu Islam. Sekolah-sekolah pondok di negara ini mula bertenaga kembali, bahkan mula menawarkan kemahiran teknikal yang lain seperti asas perniagaan.

Di Kelantan, dengan kemenangan PAS pada tahun 1990, menyaksikan sekolah-sekolah pondok yang sedia ada mengalami penyuburan dan rangsangan daripada kerajaan negeri. Antaranya dengan penubuhan Pusat Pembangunan Pondok, bantuan 'one-off', penubuhan pondok moden di Kandis, Bachok.

Kelantan selepas tahun 1990 menyaksikan juga penubuhan pondok-pondok baru di seluruh negeri itu. Di samping itu, kerajaan negeri Kelantan juga menyediakan sumbangan kepada pusat-pusat pengajian pondok.

Ini dilakukan sebagai mengenangkan jasa yang telah disumbangkan oleh pusat pengajian tersebut dalam mengembangkan agama Islam. Ia juga berperanan memastikan Islam itu sentiasa terpelihara sebagai warisan dari generasi ke generasi sehingga ke hari ini.

Terengganu juga menyaksikan sekolah-sekolah pondok sebagai tempat PAS berkembang. Antaranya Pondok Alur Keladi, Pondok Tok Jiring, Pondok Kuala Ibai, Pondok Losong dan beberapa buah sekolah pondok yang lain.

Kerajaan PAS di Terengganu juga sepanjang pemerintahan singkatnya (1999-2004) telah mengambil usaha untuk membantu pondok-pondok tradisional yang sedia ada di negeri itu. Kerajaan negeri telah memberikan bantuan kepada pelajar pondok seperti bantuan zakat melalui MAIDAM. Beberapa pondok, seperti Pondok Kuala Ibai telah dibantu melalui bantuan "one off" serta bantuan zakat untuk pelajarnya melanjutkan pelajaran ke luar negara. – HARAKAHDAILY 22/10/2015

(Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi Lujnah Kesenian dan Kebudayaan.

Share on Myspace