Tarbiyah anak muda benteng hadapi krisis

HAZMI DIBOK | .

ADA pelbagai faktor kemasukan anak muda ke dalam PAS. Ada yang masuk kerana warisan, kerana ibu bapanya PAS, maka dia juga PAS. Ada yang masuk secara kebetulan. Terikut-ikut kawan menghadiri program himpunan anjuran PAS, lalu mendaftar sebagai ahli di kaunter yang disediakan. Seronok memiliki kad ahli sebagai koleksi.

Ada yang menyertai PAS kerana isu, marah pada Dr Mahathir, Umno dan BN ketika era reformasi, ada yang menyertai PAS. Setelah kejayaan pembangkang menguasai 5 negeri pada tahun 2008, berbondong-bondong anak muda menyertai PAS termasuk parti-parti pembangkang yang lain.

Begitulah juga tatkala PAS dilanda krisis selepas muktamar yang lalu. Tiba-tiba ramai anak muda menyerah borang permohonan keahlian PAS. Mereka masuk mungkin kerana benci dengan Umno-BN. Mungkin juga meluat dengan tindakan sebahagian bekas ahli PAS yang dilihat sanggup mensabotaj PAS demi mengikut telunjuk DAP.

Apa pun alasannya, anak-anak muda ini wajib dilihat oleh PAS sebagai potensi dan pelapis yang mesti dibina dan dibentuk secara tersusun dan istiqamah. Tujuan penyertaan mereka bersama PAS hendaklah diluruskan. Mereka mestilah difahamkan bahawa PAS bukanlah semata-mata sebuah parti politik.

PAS adalah jamaah Islam yang bertunjang aqidah dan sumber rujukan tertingginya ialah al-Quran, Sunnah, Ijma' dan Qias. PAS meletakkan keutamaan dan penekanan yang seimbang dalam tiga sektor utama perjuangannya iaitu sektor tarbiah, dakwah dan siasah.

PAS tidak maksum. Tiada pimpinan dan ahli yang mendakwa PAS maksum atau terpelihara dari silap. Tetapi sejarah panjang perjuangan PAS semenjak ditubuhkan pada tahun 1951 hingga kini, ia terus kekal bertahan, berkembang dan terus relevan dalam arus perdana walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, rintangan dan krisis.

Kuncinya ialah kerana keikhlasan sebahagian ahlinya yang mendokong perjuangan PAS dan terus mempertahankan dasar dan prinsip perjuangannya yang berteraskan Islam. Benarlah kata-kata Saidina Umar RA yang mafhumnya : "Kita adalah kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Maka tatkala kita mencari kemuliaan tanpa Islam, kita akan ditimpa kehinaan oleh Allah."

Anak-anak muda ini hendaklah didedahkan dengan kurikulum tarbiah PAS (Nizam Tarbiah). Mereka mestilah difahamkan dengan serius bahawa mereka mestilah mengikuti aktiviti tarbiah secara rutin dan tersusun. Secara ringkasnya, ada tiga marhalah atau fasa pemeringkatan tarbiah.

Fasa Takrif (pengenalan), fasaTakwin (pembinaan) dan fasa Tanfiz (pelaksanaan). Bagi setiap fasa tersebut ada program tarbiah wajib iaitu usrah (satu aktiviti kelompok pembinaan berskala kecil dengan penyertaan terhad secara mingguan atau dwi bulanan) dan tamrin (satu program kem latihan sebagai medan pengukuhan).

Program Usrah ada teksnya yang tersendiri merangkumi tajuk tafsir, hadis, sirah dan fikrah bagi setiap fasa pentarbiyahan. Begitulah juga dengan pengisian tamrin, ada tajuk-tajuk tertentu yang telah disusun dalam teks mengikut kurikulum ditetapkan oleh Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat.

Seterusnya di sana ada program nilai tambah dalam tarbiyah yang dijalankan setelah program Usrah dan Tamrin dapat diikuti dengan baik. Program-program tersebut seperti qiamullail, ijtimak tarbawi, daurah atau kursus latihan, perkhemahan, muhasabah amalan harian dan lain-lain.

Untuk tujuan tersebut, lajnah tarbiyah di semua peringkat hendaklah memainkan peranan secara bersungguh, berstrategi dan berfokus. Program hendaklah disusun secara berjadual mengikut kurikulum tarbiyah. Mekanisme pemantauan, pelaporan dan penaziran mestilah diperkasa dalam organisasi tarbiyah di semua peringkat.

Jentera tarbiyah mestilah memiliki manual prosedur kerja yang jelas dan sistematik setanding jentera pilihan raya, penerangan dan lain-lain. Jika perlu, jentera tarbiyah disemua peringkat boleh menggajikan seorang pegawai tarbiyah bagi memastikan segala proses dan teknikal aktiviti tarbiyah dapat berlangsung dan berjalan mengikut jadual yang ditetapkan. Kerja secara bersungguh dan berfokus tidak dapat tidak mestilah dijadikan budaya dalam jamaah khasnya dalam sektor tarbiyah.

Hari ini rata-rata ahli di pelbagai peringkat, menyuarakan kembali akan peri pentingnya tarbiyah diperkasa dan dipersada setelah melalui krisis parti dewasa ini yang juga turut dilihat berkaitan dengan kecelaruan fikrah.

Elemen kesatuan amal atau keseragaman tindakan dalam organisasi PAS perlu dikembalikan setelah berlakunya perpecahan disebabkan krisis. Kesatuan amal datangnya dari kesepaduan hati dan keselarasan fikrah. Semua elemen ini perlu dibina dan dijana melalu program tarbiyah. Ayuh anak muda, kita sediakan jiwa untuk ditarbiyah! Tanpa tarbiyah, gerenti rebah. – HARAKAHDAILY 22/10/2015

Penulis ialah Timbalan Pengerusi Akademi Tarbiyah DPPM merangkap AJK Lajnah Tarbiyah Pas Pusat dan Ketua Pemuda Pas Pahang.

Share on Myspace