Bajet 2016: Rakyat keliru wang RM2.6 bilion

IDRIS AHMAD | .

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat petang. Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua. [Membaca beberapa potong ayat Al-Quran] Maksudnya, ‘Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut. Kemudian, apa yang kamu ketam, biarkanlah dia pada tangkaitangkainya kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.  Kemudian akan datang selepas tempoh itu tujuh tahun kemarau yang besar yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan untuk dijadikan benih’.   

Saya mulakan dengan surah Yusuf, ayat 47 hingga 48. Alangkah baiknya jika kerajaan berhemah ketika kita kaya. Sepatutnya waktu kaya, kita beringat. Maka rakyat tidaklah susah. Konsep jimat ini merupakan arahan daripada Allah dan juga semua agama.  

Malangnya apabila miskin dan tidak ada wang, GST diperkenalkan yang disokong kuat oleh rakan saya dari Bagan Serai. Tahun 2015, GST memungut sebanyak RM27 bilion.  Tahun 2016, dijangka sebanyak RM39 bilion.  Walaupun Perdana Menteri kita dengan penuh megah menganggap ekonomi kita seimbang, rizab antarabangsa kita kekal tinggi sebanyak RM418 bilion. Pelabur masih ramai datang tetapi realiti di bawahnya macam mana?

Rakyat resah dan semput dada apabila matahari menyingsing. Cerah sahaja matahari, harga barang keperluan sentiasa naik akibat kejatuhan mata wang. Bermula dengan minum pagi, terasa harga barang sudah naik. Ia ditambah dengan masalah yang sedia ada iaitu cukai GST. Tambah pula dengan kenaikan tol. Pendek kata Bismillah sahaja, start kereta, melalui lebuh raya, awal amal, awal kalam, bayar tol dahulu. Minum belum, tol sudah minum dulu.   Pekerja di sektor swasta sentiasa resah memikirkan syarikat mereka. Terpaksa mengurangkan pekerja. Takut apabila sampai di pejabat, ada notis pemberhentian kerja.  

Pemberhentian kerja

Terbaru, pekerja kilang Naza di Gurun, Kedah yang diberhentikan seramai 300 orang. Awal Julai 2015, Kilang GVC di Seksyen 20 Shah Alam ditutup. Sebelumnya pula, 6,000 orang pekerja MAS telah dibuang.  

Saya mendapat maklumat, Tuan Yang di-Pertua, selepas ini bank pula akan membuang beberapa orang pekerja. Sudah mula, kata Yang Berhormat Batu. Begitu juga syarikat oil and gas akan membuang pekerja. Kita bimbang fenomena ini akan menimbulkan kesan sosial seperti perceraian, penyakit mental akan meningkat apabila memikirkan ke mana mereka hendak bekerja untuk menyelesaikan masalah hutang rumah, kereta dan sebagainya terutama bagi pekerja yang sudah lanjut usianya.

Selepas ini pula, kadar faedah pinjaman akan dinaikkan. Ini lumrah dalam dunia perniagaan kapitalis, menaikkan kadar faedah sebagai usaha menampung kos operasi apabila suasana gawat. Dengan itu sudah tentu akan meningkatkan kadar inflasi negara. Kenapa ini terjadi? Sudah tentu gara-gara daripada apabila amanah tidak dilaksanakan dengan baik, maka akhirnya berbelanja dengan boros, rakyatlah yang akan terkena.   

Panda

Tuan Yang di-Pertua, ini contoh pembaziran yang tak patut projek dibuat. Contohnya dalam isu dua ekor panda, Fu Wa jantan, Feng Yi betina yang tinggal di Malaysia atas dasar setia kawan serta pinjaman. Ia turut membabitkan kos kepada Malaysia. Untuk tempoh 10 tahun Malaysia perlu membayar kepada negara China sekitar RM3 juta setiap tahun. Ertinya dalam jangka 10 tahun Malaysia terpaksa menanggung sebanyak RM30 juta untuk diberikan kepada negara China untuk menempatkan pasangan panda yang dianggarkan RM25 juta dibelanjakan untuk membina kompleks panda gergasi di Zoo Negara.   

Kita tidak faham apa nilai tambah kepada negara apabila kerajaan sanggup membayar dengan harga yang begitu mahal. Adakah panda dengan adanya panda, berlakunya peningkatan kadar pelancong di negara kita? Kita minta Menteri Pelancong tolong jawab. Saya bimbang takut projek beruang panda ini hanya akan menambahkan dana orang yang berwang sahaja.  Bukan beruang, berwang.   

Menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, yang pelik lagi apabila anak panda yang baru dilahirkan baru-baru ini, Kerajaan Malaysia terpaksa membayar RM2.5 juta dan anak yang dilahirkan ini pula kena serah kepada negara China apabila meningkat umur dua tahun.  Kalau anak itu menjadi milik kepada negara kita berbaloi juga. Ini tidak, kena beri RM2.5 juta, dua tahun dihantar ke negara China balik. Tak tahulah apa perjanjian yang dibuat.  Selain Perjanjian Pangkor, ini perjanjian panda.

Rumah mampu milik

Tuan Yang di-Pertua, berkenaan dengan rumah mampu milik. Hak memiliki rumah merupakan hak asasi pengguna. Walau bagaimanapun, harga rumah di Malaysia ini terlalu tinggi hinggakan tidak mampu untuk dibeli oleh pengguna khususnya. Jika mengikut daripada taraf yang diletakkan oleh Bank Dunia, harga rumah sekurang-kurangnya untuk setiap rakyat ialah 30 kali gaji, ertinya 30 bulan gaji maka itu merupakan kelayakan ataupun harga yang patut dapat dimiliki oleh setiap rakyat.

Cuba bayangkan kalau rumah mampu milik pun RM300,000. RM300,000 ini bukan mampu milik, mampu tengok. Andaian kalau gaji RM2,500 bererti 120 bulan gaji sedangkan Bank Dunia meletakkan hanyalah 30 bulan gaji tetapi di Malaysia yang memiliki rumah mampu milik harganya sebanyak RM300,000. Ini kalau hendak pinjam mesti ada di dalam pay-slip dengan izin, sekurang-kurangnya gaji ialah RM8,000 sebulan, baru layak untuk bank memberi kita pinjam untuk mendapat rumah sebanyak RM300,000.

Cuba bayangkan kalau kawasan di Parlimen saya sendiri, harga rumah dua tingkat sendiri pun RM350,000. Kalau di Gombak, rumah dua tingkat sudah meningkat hampir dekat dengan RM1 juta. Ha, rakan saya senyum sahaja, rumah burung pun RM300,000 Yang Berhormat Bagan Serai hoi.  Walaupun bajet telah memperuntukkan RM1.6 bilion untuk 135,000 buah rumah PR1MA, dijangka 10,000 unit akan siap tahun depan.   

Tuan Yang di-Pertua, berkenaan dengan soal kemiskinan. Setiap kaji bajet ada sahaja macam mana untuk meningkatkan taraf hidup rakyat yang berpendapatan rendah. Peruntukan TEKUN RM600 juta. RM500 juta ialah untuk bumiputera. RM100 juta ialah untuk orang India. Cara menyelamatkan B40, yakni kebanyakannya B40 ini ialah terdiri dari kalangan orang-orang Melayu yang pendapatan mereka ialah berada di tahap miskin dengan membuatkan mereka bergantung kepada kerajaan.

BR1M

Mereka ini untuk menunggu duit jatuh sekali-sekala seperti mana BR1M. Hasilnya 58 tahun kita merdeka masih lagi gagal untuk mengatasi masalah kemiskinan. Buktinya penerima BR1M meningkat dari setahun ke setahun. Tahun 2012, penerima BR1M seramai 4.2 juta dan meningkat sebanyak 4.7 juta. Sepatutnya 58 tahun kita merdeka supaya soal kemiskinan ini tidak dapat kita atasi merupakan satu perkara amat malang.

Kita tak hendak soal kemiskinan ini dijadikan sebagai bahan politik semata-mata untuk hendak meraih sokongan ketika pilihan raya. Kita tidak mahu ini ialah satu bentuk penindasan ataupun bentuk ketidakadilan terutama kepada rakyat.  Kita hendak supaya rakyat hidup dengan selesa dan baik.  Ini tugas kepada kerajaan kena memikirkan.

Kita tak hendak kerana yang miskin ini kebanyakannya Melayu. Kabinet pula hampir 70% daripada kalangan orang Melayu, Exco sebahagian besar 80% orang Melayu. Pegawai tinggi kerajaan pula hampir 90% orang Melayu. Tiba-tiba kita melihat kemiskinannya ialah dihadapi oleh orang-orang Melayu sendiri. Maka dengan sebab itu dalam pemberian BR1M ini bukan tak baik, baik. Akan tetapi ini bukan penyelesaian kepada jangka panjang.  Kita memberi kail, bukannya ikan. Kita beri kepada mereka bukan suruh goyang kaki. Sepatutnya mereka ini suruh kita berikan modal.

Contohnya yang selalu saya buat ialah seperti mana Amanah Ikhtiar. Ini projek yang cukup baik yang saya rasakan projek ini walaupun kita daripada kalangan pembangkang, kita bersetuju tentang apa yang kerajaan buat.  

Dr. Haji Noor Azmi bin Ghazali [Bagan Serai]: Yang Berhormat Bukit Gantang. Terima kasih Yang Berhormat Bukit Gantang.  Sebut Bagan Serai tiga, empat kali, kena bangunlah. Yang pertamanya tadi, tentang rumah tadi, saya undur sikit. Saya hendak tanya Yang Berhormat Bukit Gantang. Kerajaan menyediakan pelbagai agensi untuk menolong rakyat mendapat rumah.  Jadi, kita kena “ukur baju di badan sendiri”. Jangan kita gaji kecil, kita pergi beli rumah yang mahal. Ada rumah untuk pertengahan, ada rumah untuk bawah.  Kita ada PR1MA, kita ada SPNB, kita ada PPA untuk golongan awam, kita ada rumah mesra rakyat dan sebagainya untuk menolong dan kerajaan memang menolong. Bukan kerajaan bagi semua. Kita bukan hendak bagi ikan, kita hendak bagi kail.   Kita bukan bagi BR1M untuk dia kaya, kita bukan. BR1M ini kerajaan bagi untuk pertolongan semasa, acute, acutely dan kerajaan dalam bajet yang kita tengok yang dibentangkan telah menyediakan berbagai-bagai agensi, berbagai-bagai cara untuk supaya rakyat dapat keluar dari kepompong yang menerima BR1M keluar daripada garis kemiskinan dan untuk hidup berjaya supaya negara hendak pergi negara maju Jadi saya hendak tanya Yang Berhormat Bukit Gantang, adakah bajet yang dibuat ini menepati apa yang disebut oleh Yang Berhormat Bukit Gantang tadi iaitu kerajaan memberikan BR1M. Yang Berhormat Bukit Gantang sendiri kata BR1M itu bukan tak baik, baik. BR1M itu baiklah dan diberikan peluang-peluang ini. Terima kasih Yang Berhormat Bukit Gantang.

Tuan Idris bin Haji Ahmad [Bukit Gantang]: Sebab itu saya sebut BR1M ini bukan penyelesaian untuk jangka panjang. Itu maksud saya. Terima kasih kepada Yang Berhormat Bagan Serai.   

Felda

Tuan Yang di-Pertua, saya hendak bangkit tadi jam 11 pagi, kami mendapat kunjungan daripada 30 orang bekas pekerja Kilang Getah FELDA Lembah Bilut yang sudah bekerja selama 20 tahun di Kilang Getah FELDA Rubber Industry Sdn. Bhd. Lurah Bilut, Pahang.  Ada daripada kalangan mereka ini yang cacat anggota dia. Mereka sudah mendapat notis kena pindah dari rumah yang mereka duduk hampir 20 tahun.   

Persoalannya mereka ini ialah anak generasi kedua, anak FELDA.  Keduanya pula mereka ini bekerja di kilang sudah hampir 20 tahun.  Ketiganya mereka sanggup untuk hendak membayar kalau pihak FELDA hendak rumah yang mereka duduk itu.  Rumah yang mereka duduk termasuk lagi mereka bawa kepada saya gambar dengan izin Tuan Yang di-Pertua. [Sambil menunjukkan beberapa keping gambar] Gambar-gambar rumah mereka yang kita harapkan daripada pihak kerajaan tolong ambil perhatian berkenaan dengan ini.   Esok dua rumah akan diroboh. Daripada 30 buah rumah itu, dua rumah akan diroboh.  

Saya harapkan juga sahabat saya daripada Yang Berhormat Jerantut mungkin ini diletak di kawasan Parlimen Bentong.  Mungkin boleh ambil perhatian sedikit, esok dua rumah akan diroboh.  Kononnya sebagai persediaan untuk lawatan Perdana Menteri untuk hendak merasmikan tapak rumah generasi kedua di FELDA tersebut.  Lainnya akan diroboh setelah notis tamat duduk iaitu pada 31 Januari 2016 nanti.  Tapak rumah mereka ini yang dibina untuk generasi kedua ini sebanyak 70 buah rumah.  Malangnya pihak FELDA hanya berjanji untuk hendak beri di kalangan 30 rumah yang hendak diroboh itu hanya 10 sahaja.  Apa salah berikan kepada mereka.  Mereka sudah tua hendak pergi mana.  Tanah di Pahang ini luas, banyak dunia dekat Pahang luas lagi, tanah itu yang hendak diambil.  

Inilah yang kita amat kesal sebab itu kita harapkan sangat supaya campur tangan daripada pihak kerajaan supaya janganlah merobohkan ataupun rundinglah atau berikan keutamaan kepada mereka ini yang sudah tua yang kita rasakan untuk hendak pergi ke tempat lain pun mereka tidak mampu.  Paling penting mereka itu ialah merupakan anak kepada peneroka FELDA.  

Isu RM2.6 bilion

Tuan Yang di-Pertua, satu ialah berkenaan isu RM2.6 bilion yang menjadi perbincangan hangat sama ada dalam Parlimen ataupun di luar Parlimen.  Rakyat sebenarnya keliru mengenai kedudukan wang ini.  Ada yang menjawab wang ini digunakan untuk parti, ada dijawab wang ini hanya untuk hendak lawan zionis dan DAP.  Ada pula yang jawab pula daripada Yang Berhormat Bagan Datok jawab dia sudah jumpa kenal sudah dermawan itu.  

Tiga sebab fasal apa dia bagi RM2.6 bilion.  Pertama ialah kerana Malaysia ini mengamalkan akidah Ahli Sunah Waljamaah.  Kedua, kerana Malaysia ini mengamalkan konsep kesederhanaan dan yang ketiganya kerana Malaysia ini ialah melawan golongan terrorist ataupun golongan pelampau.  Tidak apalah, kita terima benda itu baik kalau itulah.  Persoalannya kenapa dimasukkan ke dalam akaun peribadi, inilah yang menjadi musykilnya.    

Sepatutnya wang ini kalau hendak bercakap soal berkenaan dengan hal yang berkaitan dengan hal memperkukuhkan Ahli Sunah Waljamaah saya bersetuju diberikan kepada JAKIM.  Ini untuk hendak mengembangkan tentang akidah Ahli Sunah Waljamaah.  Kalau untuk hendak melawan golongan terrorist kita berikan kepada Kementerian dalam Negeri (KDN) ataupun Kementerian Pertahanan.   Ini kerana mereka itulah yang bergerak ke sana ke mari.  Polis ini kalau boleh kita hendak suruh pakai BMW, kita tidak suruh pakailah Viva ataupun Persona, koman sangat.  Fasal apa kita tengok perompak dia pakai... [Disampuk] Okey saya tarik baliklah, saya tarik balik.  Okey selain daripada itu kita pakailah kereta yang agak hebat sedikit supaya polis dapat untuk hendak kejar penjenayah.  Hendak kejar penjenayah, kita hendak ini yang sepatutnya kita lihat.  

Tuan Yang di-Pertua, supaya perkara ini selesai dengan baik kerana kita tidak hendak dunia melihat kita.  Dunia menyebabkan ia memberikan kesan terutama kepada pelabur-pelabur luar dalam konteks ini.  Tuan Yang di-Pertua iaitu saya hendak membangkitkan berkenaan dengan kepentingan orang kurang upaya.  

Berdasarkan pembentangan Bajet 2016 berlaku pengurangan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat iaitu RM2.2 bilion dahulunya kepada RM2 bilion dalam Bajet 2016.  Timbul persoalan di mana kesungguhan kerajaan untuk membangunkan masyarakat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.   Walaupun saya lelaki, isteri saya itu perempuan, jadi saya kena cakap abang inilah.  Ini suami yang baik ini Yang Berhormat Bagan Serai, Yang Berhormat Kuala Kangsar ini suami yang baik.  

Komuniti OKU

Amat aneh dalam Belanjawan 2016 bilangan individu OKU yang akan mendapat faedahnya adalah seramai 150,000 berbanding tahun 2015 hanya 110,000.  Ertinya peningkatan sebanyak 40,000 sedangkan peruntukan kepada KPWKM ini merosot.   Oleh sebab itu ini yang kita harapkan supaya perkara-perkara ini perlu diambil perhatian.  

Suka saya menarik perhatian Dewan ini berkenaan dengan elaun dan bantuan kendiri kepada golongan orang-orang cacat.  Mencadangkan elaun agar pekerja cacat yang sedia ada pada hari ini dinaikkan daripada RM350 sebulan kepada RM550 sebulan.  Jika kita selak kembali dialogdialog yang dianjurkan oleh pihak KPWKM dan Komuniti OKU kenaikan tersebut telah pun dipersetujui oleh KPWKM dan seharusnya diterima pakai oleh pihak Kabinet dan juga kerajaan.   Cuma desakan ini sejak tahun 2014 diberikan perhatian dalam Bajet 2015, namun tidak diberikan perhatian sewajarnya kenaikan pada tahun 2015 yang lalu hanyalah daripada RM300 kepada RM350 dan RM150 kepada RM200 sahaja.  Kita harapkan supaya naik terutamanya daripada RM350 kepada RM550 untuk OKU yang bekerja.    

Tuan Yang di-Pertua, kerana kita sering melaungkan Malaysia mempunyai pendidikan taraf dunia., namun perlu diinsaf masih banyak pendidikan yang boleh diikuti oleh kumpulan kumpulan OKU di luar negara tidak dapat dinikmati oleh OKU di negara ini.  

Saya mencadangkan pihak kerajaan iaitu mengambil perhatian hal-hal berikut amalan educable yang dihapuskan dalam Peraturan 2013 telus dan tidak bersembunyi di pelbagai peruntukan secara tersirat.   

Peruntukan 2013 masih mengekalkan penilaian sekolah terhadap murid-murid keperluan khas sekali gus mendedahkan anak-anak OKU dalam amalan educable dalam Peraturan 1997.  Dicadangkan pihak Kementerian Pendidikan benar-benar merangka program bagi memastikan tiada keciciran dalam aspek pendidikan asas kepada anak-anak OKU daripada pelbagai kategori.   Dicadangkan juga agar sejumlah peruntukan bagi menyediakan kemudahan dan perkhidmatan OKU di IPTA seluruh Malaysia.  Memperuntukkan sejumlah dana bagi mewujudkan dan meningkatkan kelompok intelektual, akademik, dan profesional dalam kalangan OKU termasuk pengkhususan dalam bidang disability. Kajian-kajian dibuat oleh pelbagai pihak di peringkat IPTA, IPTS berkaitan dengan OKU perlulah melibatkan golongan OKU sendiri.  

Akhir sekali ialah mengembangkan bidang-bidang kemahiran bagi golongan OKU tanpa mengira kategori kecacatan khususnya dalam bidang sains pengkomputeran, sains perubatan, pertanian dan sebagainya yang berpotensi diteroka oleh golongan OKU yang selama ini kurang diambil perhatian.    
Kepahlawanan negara

Tuan Yang di-Pertua, saya hendak bercakap berkenaan dengan aspek kepahlawanan negara.  Menteri Kewangan mencadangkan bagi pesara kadar pencen minimum dinaikkan kepada RM950.   

Ini satu langkah yang baru, namun demikian ingin saya mencadangkan satu projek khas kepada kelompok kecil mereka yang telah menaburkan jasa yang sangat bernilai untuk keamanan negara.  

Saya baca satu tulisan yang disebut oleh bekas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Khoo Ah See pernah berkhidmat selama 20 tahun dalam Pasukan Polis Hutan (PPH) yang kini dikenal sebagai Pasukan Gerakan Am (PGA).  

Pada bulan September lalu beliau telah menulis dalam harian The Star meminta supaya pihak kerajaan memberi perhatian kepada pembelaan kepada bekas anggota PPH khasnya yang pernah terlibat di sekitar tahun 60-an ke 80-an yang bertempur dengan pengganas komunis demi mempertahankan keselamatan dan ketenteraman awam.

Kelompok ini telah bersara lebih 10 tahun dahulu, ada yang lebih lama lagi. Masingmasing dalam usia yang lanjut. Pihak kerajaan dicadangkan agar memberikan keistimewaan kepada mereka dengan mewujudkan pakej persaraan yang lebih komprehensif dan melegakan setimpal dengan jasa mereka. Kenaikan 2% setiap tahun bagi mereka sangat kecil terutama di saat usia mereka yang memerlukan belanja yang lebih besar.

Menurut Datuk Khoo, mereka ini kebanyakan ditimpa pelbagai penyakit di usaha tua lantaran terdedah dengan pelbagai risiko sewaktu mereka muda dulu berjuang untuk negara kita.  Berada dalam hutan belantara sepanjang masa, kadang-kadang terpaksa tidur dengan pakaian seragam, sarung kaki dan kasut yang basah memberikan kesan kepada mereka.

Saya bersetuju dengan cadangan Datuk Khoo agar pencen ini di kelompok kecil dinaikkan sekurang-kurangnya 50%. Satu angka kenaikan yang kecil dalam perbelanjaan negara kita.  Contohnya, dalam hal sama iaitu wira-wira negara ini, saya ingin menarik perhatian penerima-penerima anugerah Seri Pahlawan Gagah Perkasa atau SP yang dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

SP ini merupakan anugerah tertinggi dalam negara dan menurut protokolnya lebih tinggi daripada darjat Kerabat Diraja Malaysia. Ia telah diperkenalkan 29 Julai 1960 dan digazet pada 11 Ogos 1969. Ia dianugerahkan kepada mereka yang telah menunjukkan keberanian. Hari ini, cuma ada lapan penerima anugerah sahaja Seri Pahlawan Gagah Perkasa yang masih hidup.

Enam daripadanya ialah Polis Diraja dan dua daripada Angkatan Tentera Malaysia. Mereka ialah; (i) Datuk Syed Mokhtar Syed Barakbah; (ii) Datuk Paul Kiong; (iii) Datuk Sia Boon Chee; (iv) Ngalinuh Bala dari Miri, Sarawak; (v) Etim Bijam dari Miri, Sarawak;  (vi) ACP Razak Mohd Yusoff, satu-satunya masih berkhidmat di PDRM; Dua daripada angkatan tentera iaitu; (i) Kapten Bersara Datuk Hamid Awang; dan  (ii) Leftenen Jeneral Bersara Dato’ Seri Zaini Mohamad Said.  

Tuan Yang di-Pertua, penerima SP ini memperoleh elaun sekarang ini RM2,000 sebulan manakala Pingat Gagah Berani, RM1,500 sebulan. Maka saya mencadangkan supaya demi membuktikan kerajaan yang peka akan nasib mereka dan meletakkan mereka sebagai ikon kepahlawanan negara agar dinaikkan SP RM2,000 kepada RM5,000 sebulan dan PGB daripada RM1,500 kepada RM3,000 sebulan.  

TPPA

Tuan Yang di-Pertua, saya hendak bercakap sedikit berkenaan dengan TPPA. TPPA ini satu bentuk penjajahan moden kalau kita buat dan kalau kita laksanakan. Memang ada baik tetapi mudaratnya lebih besar daripada manfaat. Maka dengan sebab itu kita mengharapkan supaya kerajaan kalau boleh tolak TPPA ini kerana kita anggap ini merupakan satu bentuk perjanjian kalau kita setuju bererti maruah negara dan juga rakyat negara kita akan terjajah maka tidak ada makna 58 tahun kita merdeka tetapi sebaliknya berlakunya penjajahan ekonomi yang lebih berat. Maka kita harapkan supaya dalam hal ini, daripada sebelah sini dan juga sebelah sana bersetuju untuk kita menolak TPPA ini.  

Pertama, kita lihat kesan kepada automotif. Kita tahu sebagaimana yang kita maklum, antara yang memberi kesan ialah kenderaan Proton kita yang mana automobil kita yang tak mampu untuk bersaing terutama daripada keluaran-keluaran produk daripada negara-negara yang maju seperti mana Amerika yang lebih banyak untuk menghantar ke negara kita seperti Jepun. Kedua...

Dato’ Ahmad Fauzi Zahari [Setiawangsa]: Yang Berhormat Bukit Gantang.

Tuan Idris bin Haji Ahmad [Bukit Gantang]: Masa hendak habis sudah.

Dato’ Ahmad Fauzi Zahari [Setiawangsa]: Kejap sahaja.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Ya, Yang Berhormat Setiawangsa.

Dato’ Ahmad Fauzi Zahari [Setiawangsa]: Mengenai kereta ini, adakah Yang Berhormat Bukit Gantang sedar bahawa di AFTA ini atau ASEAN Free Trade Area, kereta-kereta yang datang daripada negara ASEAN ini pun sebenarnya pun sudah mula kurang dalam erti kata tax nya, bukan kerana TPPA ini.

Tuan Idris bin Haji Ahmad [Bukit Gantang]: Kalau Asia pun kita nampak sudah berat, cuba bayangkan esok Amerika.

Okey, yang keduanya ialah berkenaan dengan piawaian halal juga akan diganggu kerana kita tahu esok dia akan ikut senarai hak dia. Hak yang JAKIM pakai, kalau kita banyak-banyak sangat songeh, kalau banyak-banyak sangat meragam maka ia boleh untuk ambil tindakan daripada segi undang-undang.  

Ketiganya, kita lihat nasib golongan pekerja kita. Mereka boleh menentukan hendak ambil pekerja-pekerja asing dan kita tak ada lagi syarat untuk hendak mengambil pekerja-pekerja dari dalam. Keempatnya soal alam sekitar juga. Esok mungkin ada bahan-bahan baru setelah mereka buka 20 tahun kilang di sini, dia letakkan bahan-bahan yang menyebabkan alam sekitar rosak, kita saman, kita tak benarkan maka mereka juga boleh saman kerajaan kita kerana kita mengganggu apa yang mereka lakukan.  

Akhir sekali ialah berkenaan dengan keselamatan makanan dalam negeri juga akan berlaku terutama berkenaan dengan masuknya bahan-bahan pertanian dari luar. Lambakan yang begitu banyak, maka sudah tentu yang akan memberi kesannya ialah kepada rakyat kita dan juga sektor pemakanan kita.  

Kawasan saya

Akhirnya sedikit Tuan Yang di-Pertua, iaitu saya hendak mengadu hal berkenaan dengan apa yang berlaku di kawasan saya. Pertama ialah untuk hendak meminta berkenaan supaya Menteri Pelancongan, kebetulan Padang Rengas ini sempadan dengan Bukit Gantang sahaja. Cuba pergi tengok, jenguk jeti dekat Kuala Sepetang. Jeti ini yang agak daif, tandas pun tak ada di jeti itu. Tempat pelancongan dan juga nelayan-nelayan. Kalau hujung minggu, kita boleh tengok beratus orang pergi ke situ dengan keadaan yang cukup daif.

Saya telah meminta dahulu, tahun lepas tetapi dia kata bajet tidak ada dan kita harapkan tahun ini dapat diberikan untuk kepada prasarana di Jeti Kuala Sepetang kerana di situ terdapatnya kelip-kelip, ikan dolphin, hutan bakau, gua arang. Jadi itu yang saya pohon.  Keduanya berkenaan dengan hal yang berkaitan dengan hidupan kelip-kelip juga di Kampung Dew yang sekarang ini telah berlakunya pencerobohan.

Baru-baru ini ada kilang di sebelahnya, dia telah menceroboh di tanah yang berdekatan dengan tempat yang menjadikan pembiakan kepada kelip-kelip di situ telah diganggu sehinggakan ini menyebabkan habitat ini terganggu dan kita harapkan supaya untuk demi memelihara alam habitat yang payah hendak dapat kecuali di Parlimen Bukit Gantang dan juga di Parlimen Kuala Selangor yang ada kelip-kelip ini tetapi yang di Bukit Gantang lebih cantik daripada Kuala Selangor pasal wakil rakyat dia orang PAS. Sekian, terima kasih.

Teks ucapan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Ustaz Idris Ahmad semasa membahaskan Bajet 2016 di Dewan Rakyat pada 27 Oktober 2015.

Share on Myspace