Bajet 2016: Wow, alangkah cantiknya bunga api

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana mengizinkan saya untuk sama-sama dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri beberapa hari yang lepas. Kalau boleh saya letakkan tema perbahasan saya dalam masa yang agak singkat ini, saya akan tumpukan kepada satu perkataan iaitu perkataan sejahtera yang menjadi tema bajet kita “Mensejahtera Kehidupan Rakyat”.  

Izinkan saya mulakan dengan membawa dan membacakan sepotong ayat al-Quranul Karim. Semoga memberkati Dewan yang mulia ini daripada Surah Ar-Ra’d, juzuk ke-13, ayat yang ke-11. [Membaca sepotong ayat al-Quran] Firman Allah SWT yang bermaksud, “Bagi setiap manusia masing-masing ada malaikat yang silih berganti menjaganya daripada hadapan dan daripada belakangnya, mengawasi dan menjaganya dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum, sehinggalah mereka sendiri mengubah apa yang ada dalam diri mereka. Apabila Allah menghendaki untuk menimpakan bencana ke atas sesuatu kaum, maka tiada siapa pun yang mampu untuk menolaknya lagi dan tiada siapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya”. [Berucap dalam bahasa Arab]   

Tuan Yang di-Pertua, negara kita Malaysia begitu bercita-cita besar untuk berubah dengan Wawasan 2020 yang kita canangkan semenjak lebih 20 tahun. Kita impikan untuk bergerak menganjak diri kita daripada sebuah negara membangun menuju sebuah negara maju. Di awalnya kita nampak sinar itu begitu cerah tetapi di pertengahannya kita mula melihat tandatanda yang agak samar. Pada hari ini dengan berbaki lima tahun, kita semakin tidak yakin. Di hadapan kita kabur, di hadapan kita jerebu dan saya yakin Dewan ini sendiri mula sangsi dengan keupayaan kita untuk mencapai taraf negara maju.

Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya ayat di atas ada memberikan beberapa jawapan. Ayatnya pendek, saya akan bawa tiga pengajaran yang dibawa oleh para ulama kita.  

Perubahan

Pertama, perubahan mestilah bermula dari dalam diri sendiri. Kalau saya buruk, saya mesti berubah dari dalam, barulah Allah Taala mengubah diri saya menjadi baik. Kalau saya baik, saya kena kekal diri saya dalam keadaan baik, barulah kebaikan itu akan kekal. Begitulah sebuah kerajaan yang menjadi petunjuk kepada ayat ini yang menyebut perubahan sesuatu kaum. Jika kerajaan ingin berubah, ingin beranjak dengan begitu besar, maka tidak dapat tidak, kerajaan mestilah melakukan perubahan daripada diri kerajaan sendiri, barulah kita akan melihat kejayaan itu dalam negara, dalam kehidupan rakyat di hadapan kita.   

Kedua, ayat ini mengisyaratkan perubahan yang begitu diperhatikan oleh Allah Taala dalam diri kita. Allah Taala memulakan ayat ini dengan menyebut bahawa Allah Taala mengutus para malaikat Allah bersilih ganti untuk melihat tubuh setiap manusia berlaku atau tidak perubahan di dalam diri mereka.   

Ketiga ialah peringatan di akhir ayat ini yang disebut oleh para ulama tafsir yang menyebut bahawa hendaklah kita beringat bahawa kita tidak boleh kekal di atas perkara yang dibenci oleh Allah Taala, bimbang kelak nanti datang hukuman Allah Taala, bencana yang kita tak boleh hendak tolak lagi apabila Allah Taala murka kepada kita.  

Tuan Yang di-Pertua, tugas kita Ahli Dewan yang mulia ini terutama sekali pihak kerajaan adalah memegang amanah, kuasa dan amanah kekayaan negara untuk kita cari bagaimana kita hendak memperolehinya, bagaimana untuk menyusunnya dan bagaimana untuk mengagihkannya kepada rakyat.

Fakir dan miskin

Apabila kita menyebut rakyat, kita mesti menyebut dua yang utama iaitu golongan fakir dan miskin yang menjadi tunjang apa yang Allah Taala sebutkan di dalam Al-Quran Nur Karim apabila membicarakan mengenai sesebuah kaum ataupun sesebuah negara.   

Perlu kita ingat bahawa hubungan negara adalah hubungan di antara orang-orang yang kuat dengan orang-orang yang lemah. Negara adalah hubungan di antara orang kaya dengan orang-orang yang miskin. Wujud mereka adalah menjadi sunnah Allah Taala di muka bumi. Tidak ada negara yang tidak ada orang miskin dan tidak ada negara yang tidak ada orang kaya. Justeru, apabila kita bercakap mengenai sesebuah negara, kita mesti bercakap mengenai kekayaan dan kemiskinan dan hubungan di antara keduanya.   

Lebih menarik Tuan Yang di-Pertua, kemiskinan adalah satu kemuliaan. Oleh sebab itulah Allah SWT telah melahirkan Rasulullah SAW dalam keadaan baginda menjadi anak yatim, dan dalam tempoh yang sekejap, baginda menjadi anak yatim piatu.

Juga, Allah Taala menyebut rahmat ini apabila Allah Taala menukar Rasulullah SAW daripada miskin kepada kekayaan. Kekayaan jiwa dan kekayaan apabila baginda memperoleh sebuah kerajaan untuk menyusun kehidupan rakyat di dunia sampailah hari akhirat. [Membaca sepotong ayat al-Quran] “Dan Dia dapati engkau wahai Muhammad dalam keadaan miskin, dalam keadaan fakir, lalu Dia telah mengayakan kamu wahai Muhammad.”   

Tuan Yang di-Pertua, sebab itulah dalam perbincangan buku-buku ekonomi oleh para pakar ekonomi, antara yang menariknya disebut ialah sesebuah negara akan menjadi bahagia dan berjaya apabila pengurusan politik terutama sekali pengurusan ekonominya diuruskan dengan cara berfikir orang miskin. Apabila orang kaya menguruskan sebuah negara, maka dia tidak akan mampu membawa negara tersebut kepada kejayaan dan kebahagiaan. Itulah nilai kemiskinan yang ada pada sesebuah negara yang perlu kita tatang, yang perlu kita bincang dalam perbincangan kita dalam bajet negara kita.  

Saya rasa adalah betul kalau kerajaan meletakkan golongan 40 peratus terbawah menjadi tumpuan. Sekarang mari kita melihat adakah kerajaan telah berjaya untuk menghubungkan kekayaan kepada kemiskinan, menghubungkan kekuatan kepada kelemahan golongan 40 peratus terbawah ini.   

Tuan Yang di-Pertua, sebagai sebuah negara umat Islam, negara kita Malaysia, yang berketuakan seorang Perdana Menteri Muslim, adalah wajar dan sebenarnya mudah untuk kita memimpin ke arah perubahan yang kita impikan. Sebab yang utama ialah kerana kita adalah umat yang memiliki contoh 1,400 tahun yang telah mencapai kejayaan yang cemerlang, membina tamadun yang menjadi rujukan kepada seluruh manusia.   

Percukaian Islam

Dalam bercakap mengenai sistem percukaian Islam, Imam Syatibi, seorang ulama besar, semua orang kenal dia, Al-Imam As-Syatibi, dia menyebut bahawa perbincangan mengenai percukaian ini tidak disebut oleh ulama-ulama di peringkat awal kerana tidak ada cukai di awal kerajaan-kerajaan Islam pada masa itu disebabkan oleh kekayaan Baitulmal yang mencukupi diambil daripada sumber-sumber asas sesebuah negara iaitu sumber zakat, sumber jizyah, kharaj dan sebagainya.

Akan tetapi, perbincangan itu berlaku kemudiannya dan dibahaskan oleh para ulama apabila negara semakin membesar dan kewajipan-kewajipan sesebuah negara mula membesar, barulah perbincangan mengenai cukai itu dibincangkan oleh para ulama dan juga dilaksanakan di dalam negara-negara Islam.  

Yang saya hendak sebut ialah, inilah wujudnya contoh yang besar dalam sejarah Islam bagaimana menguruskan sebuah negara yang telah mencapai satu tahap kesejahteraan rakyat yang dahsyat yang begitu besar sehingga sebuah negara itu tidak lagi memerlukan cukai tambahan selepas dilaksanakan sistem Islam yang lebih mudah iaitu mengambil zakat daripada orang-orang kaya dan juga jizyah daripada orang-orang bukan Islam pada masa itu.

Saya sebut sejarah lepas.   Jadi, tinggal lagi ialah adakah kita bersedia, adakah kerajaan hari ini bersedia untuk beriman, untuk yakin, untuk melihat kepada sistem Islam yang baik ataupun kita masih lagi waswas, masih lagi dalam keadaan keliru sama ada untuk menoleh ke depan kepada Islam ataupun kita menoleh kepada Barat ataupun Timur?   

Bajet 2016 walaupun saya tidak kata bajet yang buruk, ada positif, dan saya tidak akan sebut kerana pihak kerajaan telah banyak menyebut mengenai perkara-perkara positif, tetapi saya hanya ingin menyebut bahawa saya masih kekal berkeyakinan bahawa ia bukanlah satu perubahan yang akan membawa kejayaan kepada negara kita hari ini.  

Bagi saya, Bajet 2016 tidak lebih daripada seperti permainan kerajaan menghadiahkan rakyat dengan bunga api, satu majlis bunga api besar-besaran di sebelah malam sehingga apabila dilancarkan bunga api tersebut, semua rakyat akan berkata, “Wow, alangkah cantiknya bunga api tersebut”, tetapi di dalam beberapa minit sahaja, apa yang dia tengok adalah kegelapan di sebelah malam. Langit gelap dan yang ada hanyalah bintang-bintang yang jauh untuk dicapai. Inilah bajet, bajet bunga api atau bajet panadol kalau saya buat satu perumpamaan.   

Tuan Yang di-Pertua, untuk bercakap mengenai sejahtera, ia adalah satu perbincangan yang menarik dalam dunia ekonomi hari ini yang melihat keruntuhan negara-negara maju, melihat kepada keruntuhan negara-negara kaya yang sentiasa bercakap untuk mendapat pendapatan yang paling tinggi sebuah negara. Semua itu telah berakhir. Ahli-ahli ekonomi mula bercakap bahawa negara yang benar bukanlah negara yang berpendapatan tinggi. Negara yang benar adalah sebuah negara yang menjadikan kehidupan negara tersebut adalah sebuah kehidupan yang makmur, sejahtera dan bahagia rakyatnya.  

Maka, kita tidak boleh mengukur kejayaan pada pendapatan negara yang tinggi. Bahkan, pada pendapatan per kapita pun kita tak boleh ukur kerana ia cukup mengelirukan. Jika tidak, kita akan melihat perbelanjaan yang besar- Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menyebut mengenai kejayaan GST dapat mengimbangi hasil kesan daripada turunnya harga minyak, nampak gembira, tetapi berbelanjalah banyak mana pun tetapi kita akan terus melihat rakyat semakin hari semakin tertekan hidup mereka dan dalam kesempitan yang meragut kebahagiaan hidup mereka.  

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyebut mengenai beberapa ukuran atau indikator yang disebut oleh para ulama ataupun para sarjana ekonomi bagaimana untuk menjadi sebuah negara yang sejahtera, sebuah negara yang mampu membahagiakan rakyat.

Kadar pengangguran

Pertama ialah mesti dilihat pada kadar pengangguran.  Ia adalah sebagai petunjuk sebuah negara yang berjaya mempelbagaikan sumber rezeki yang luas untuk rakyatnya.  Kita ada bincang banyak mengenai kadar pengangguran di negara kita.   

Kedua ialah jurang atau pun kesenjangan pendapatan ekonomi antara golongan kaya dan golongan miskin.  Ia adalah sebagai petunjuk wujudnya ihsan dan wujudnya agihan yang adil dalam sumber pendapatan negara.   

Ketiga adalah tahap kuasa beli, purchasing power atau pun pendapatan boleh guna rakyat.  Ia menjadi petunjuk kebebasan rakyat untuk berbelanja apa yang mereka mahu tanpa bebanan hutang dan ikatan.  Yang terakhir yang keempat ialah kadar jenayah dalam negara yang boleh kita sebut sebagai dua.  

Pertama, jenayah dalam masyarakat dan yang kedua, jenayah di kalangan kolar putih atau pun di kalangan pemimpin di peringkat atas.  Ia sebagai petunjuk benarnya atau pun betulnya pekerjaan atau pun sumber rezeki, halalnya sumber rezeki yang dijana oleh rakyat.  Ini termasuklah jenayah kolar putih, corruptcy yang melanda pegawai atasan dan pemimpin politik.   

Apa yang saya ingin sentuh Tuan Yang di-Pertua ialah kerajaan kita Malaysia gagal dan agak teruk dalam memenuhi dan menepati indicator petunjuk di atas.  Saya boleh sebut kalau kita baca surah yang pendek dalam al-Quran Allah Taala menyebut keempat-empat indicator ini dalam surah yang pendek iaitu surat Quraisy.  Izinkan saya membaca. [Membaca ayat al-Quran]

Ayat ini menyebut bagaimana nikmat Allah ke atas negara Makkah di atas Kota Mekah, pada masa itu Quraisy sebelum kedatangan Rasulullah SAW.  Allah Taala mengungkitkan nikmat-Nya iaitu keupayaan untuk berbelanja, keupayaan untuk mencari rezeki.  Walaupun musim panas mereka boleh berniaga.   Walaupun datang musim sejuk, mereka boleh berniaga, pergi ke Yaman, naik ke Syam dan Allah Taala berfirman bahawa keupayaan mereka untuk membeli untuk mendapatkan sumber makanan.  [Membaca sepotong ayat al-Quran] Hendaklah kamu, mereka menyembah Tuhan Kaabah ini kerana Allah Taala telah menyediakan mereka makanan dan yang kedua, Allah Taala mensejahterakan mereka dengan keamanan di Kota Makkah.   

Semua ini telah disebut oleh al-Quran dan diulang balik oleh para sarjana ekonomi untuk membuat ukuran bagaimana kejayaan sesebuah negara tersebut.  Pertama, saya hendak sebut ialah mengenai angka kadar pengangguran yang walaupun disebut oleh kerajaan agak rendah di negara kita tetapi kajian yang lebih mendalam menunjukkan bahawa anak muda negara kita berhadapan dengan isu pengangguran yang agak rumit.  50,000 penganggur...

Tuan Sivakumar Varatharaju Naidu [Batu Gajah]:  [Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]:  Ya, Yang Berhormat Pasir Mas, Yang Berhormat Batu Gajah berminat untuk mendapatkan pencerahan.  Sila.   

Tuan Sivakumar Varatharaju Naidu [Batu Gajah]:  Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Pasir Mas.  Saya agak tertarik dengan hujahan yang dibuat oleh Yang Berhormat Pasir Mas tadi, terutamanya berdekatan dengan empat indicator yang menentukan kesejahteraan rakyat.  Saya juga terpanggil untuk mendapatkan pandangan Yang Berhormat berkaitan dengan indicator ketiga iaitu berkaitan dengan pendapatan boleh guna.  Pendapatan boleh guna ini adalah pendapatan yang diterima oleh seseorang itu selepas menolak semua perbelanjaan yang penting. Pendapatan boleh guna ini adalah wang yang boleh digunakan oleh seseorang itu untuk perkara-perkara lain selepas ditolak cukai dan sebagainyalah.   Pada pandangan saya, kalau pendapatan boleh guna ini kalau jumlahnya besar, maka kayalah dia.  Kalau pendapatan boleh guna itu rendah, maka miskinlah dia itu.  Jadi...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]:  Ya, Yang Berhormat Batu Gajah teruskan.   

Tuan Sivakumar Varatharaju Naidu [Batu Gajah]:  Saya hendak tanya, dalam ucapan pembentangan bajet Perdana Menteri, dia mengatakan bahawa negara kita kadar kemiskinan adalah pada tahap 0.6% sahaja dan kadar kemiskinan tegar adalah hampir 0%.  Saya tidak tahu sama ada ini adalah benar atau pun tidak.  Angka-angka ini adalah benar atau pun tidak?  Apa pandangan Yang Berhormat Pasir Mas sebab saya rasa ini tidak realistik jumlah ini.   

Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz [Pasir Mas]:  Ya, terima kasih.   

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]:  Yang Berhormat Pasir Mas, panjang sangat Yang Berhormat Batu Gajah.  Terima kasih Yang Berhormat Batu Gajah.  Tiga minit sahaja lagi Yang Berhormat Pasir Mas.   

Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz [Pasir Mas]:  Saya cuba insya-Allah.  Saya bersetuju dengan Yang Berhormat Batu Gajah dan saya sambung.  Saya juga akan menyebut beberapa poin berkaitan dengan apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat Batu Gajah.  

Saya sebut tadi mengenai pengangguran.  Isu kita ialah kita saling bertengkar mengenai angka yang disebut oleh kerajaan dengan kajian-kajian yang dibuat di peringkat rakyat yang menunjukkan sebaliknya.   Kita ada penganggur berjumlah 50,000 dengan 70% daripadanya adalah pemegang ijazah.  Itu satu isu.  

Kedua ialah yang sudah dapat kerja, anak muda berijazah terpaksa bekerja dengan gaji yang lebih rendah berbanding dengan kelulusan mereka.  Maknanya, tawaran pekerjaan adalah cukup sedikit walaupun kepada para anak muda kita yang mendapat ijazah yang tinggi.   Kemudian, yang kedua ialah mengenai jurang yang disebut oleh Yang Berhormat Batu Gajah tadi.  

Kita ada jurang yang agak dahsyat.  Disebut di rantau kita ini, di peringkat Asia kita berada pada jurang kaya miskin yang paling teruk. Dalam negara kita, kita berhadapan dengan jurang kajian yang menyebutkan jurang di antara orang Cina dengan orang Melayu teruk.  Orang Melayu dengan India pun teruk.  Orang India dengan Cina pun teruk.  Maknanya, pengagihan sumber rezeki yang gagal ditangani oleh pihak kerajaan.   

Kemudian mengenai pendapatan boleh guna kita berhadapan dengan kenaikan harga barang yang mencekik pengguna hari ini. Kerajaan tidak mampu untuk memberikan sebarang solusi bagaimana untuk menyelesaikan kenaikan harga barang.  Begitu juga hutang isi rumah yang besar.  Bukan sahaja mereka payah, agak sukar untuk membayar rumah yang mereka beli, bahkan agak sukar sekarang ini untuk anak muda mendapatkan sebuah rumah sehingga mereka terpaksa hidup dalam rumah kotak yang sempit.   

Terakhir mengenai indicator ini, saya ingin menyebut mengenai kajian yang dibawa oleh Frost & Sullivan yang dilantik oleh pihak kerajaan sendiri menunjukkan bahawa indeks rasa selamat negara hanyalah berada pada tahap 39%.  Yang lebih malang lagi hanya 10% orang awam percaya kadar jenayah di Malaysia menurun.  Maknanya, walaupun pihak keselamatan mengunjurkan turunnya jenayah tetapi di sisi rakyat, kajian menunjukkan hanya 10% rakyat percaya apa yang disebut oleh pihak kerajaan tersebut.   

Perkara ini berlaku, saya hendak sebut beberapa perkara.  Ini gagal kerana kerajaan melakukan banyak kesalahan besar.  Yang pertama yang saya hendak sebut mengenai perjanjian yang dibuat oleh kerajaan dengan pihak syarikat-syarikat besar.  Malang, kita sebagai kerajaan, syarikat-syarikat ini sebagai anak.  Akan tetapi apabila perjanjian diadakan, anak mengikat ayah.  Bukan ayah mengikat anak.  

Konsesi lebuh raya

Isu yang pertama ialah konsesi lebuh raya yang sampai hari ini hari-hari rakyat bercakap mengenai kenaikan harga tol. Baru ini tol naik lagi dan ia menggambarkan janji Yang Amat Berhormat Perdana Menteri adalah gagal bahawa kerajaan akan menyelesaikan isu tol.  Begitu juga perjanjian dengan syarikat IPP yang menyebabkan kenaikan harga elektrik isi rumah yang tinggi.   Hari ini yang terakhir mengenai perjanjian yang akan dibuat oleh Kerajaan Malaysia.  Perjanjian yang lebih besar, TPPA yang ditakuti akan terus mengikat negara kita dan bahang panas itu pasti akan dirasai oleh rakyat nanti.  

GST

Saya ingin menyebut mengenai cukai GST.  Sedikit lagi.  Saya akan sebut GST dan saya akan masukkan isu Kelantan.  Saya ingat saya sempat 20 minit, rupanya tidak sempat.   

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]:  20 minit ini.   

Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz [Pasir Mas]:  Ya, ya faham.   

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]:  Tetapi...

Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz [Pasir Mas]:  Tuan Yang di-Pertua, dalam Islam apa yang menarik kita bercakap pasal cukai ini, apabila sebuah kerajaan mengenakan cukai, orang yang paling gembira ialah orang miskin.  Ini dalam Islam kerana apabila cukai dikutip, bermakna kerajaan ingin memenuhkan Perbendaharaan mereka kerana tidak cukup. Mereka yakin Perbendaharaan itu, hasil itu akan dihantar balik kepada orang miskin.  Akan tetapi di negara kita sebaliknya.   

Hari Jumaat lepas Yang Amat Berhormat Perdana Menteri begitu gembira dengan pelaksanaan GST.  Akan tetapi adakah kegembiraan dia dikongsi oleh rakyat?   Saya yakin 80% tidak gembira dengan kegembiraan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Asas dalam Islam ialah... [Membaca sepotong ayat al-Quran] “Diambil cukai itu daripada orang kaya dan dihantar balik kepada orang miskin”.

Jadi sebab itulah GST ini adalah tidak dibenarkan oleh Islam dan ia lebih teruk daripada SST yang juga mempunyai konsep yang hampir sama.  

Kelantan

Akhir sekali saya hendak sebut fasal Kelantan. Allah! Kena langkau banyak ini. Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan yang telah semakin mengurangkan tekanan politik ke atas negeri Kelantan yang seharusnya tidak boleh diwarisi lagi daripada politik dendam lama oleh kepimpinan terdahulu.

Walau bagaimanapun, rakyat Kelantan masih lagi menunggu sesuatu yang lebih besar bagi melihat pertumbuhan ekonomi Kelantan yang lebih pesat. Rakyat Kelantan sudah bersedia dengan ilmu, skil dan kekuatan untuk menjadikan Kelantan sebagai titik ekonomi penting dalam negara kita. Maju Kelantan, insya-Allah, majulah negara Malaysia.  

Rakyat Kelantan menuntut hari ini Tuan Yang di-Pertua, pertama, lebuh raya yang selesa di antara Kota Bharu dan Kuala Lumpur. Kedua, naik taraf lapangan terbang ke peringkat international. Ketiga, pembinaan pelabuhan.

Saya dimaklumkan oleh seorang pegawai bank yang terlibat bahawa kajian telah dibuat oleh pihak kerajaan zaman Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebelum Yang Amat Berhormat Pekan, telah ada kajian bagi projek pembinaan kereta api laju di antara Kelantan-Kuala Lumpur melalui Terengganu dan Pahang. Walaupun kosnya disebut mungkin lebih besar daripada kereta api laju Kuala Lumpur dan Singapura, saya mengharapkan ia dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.  

Saya hendak sebut, rakyat Kelantan terus yakin bahawa royalti minyak ialah hak rakyat Kelantan dan kami akan terus berjuang untuk mendapatkan royalti minyak tersebut. Akhir sekali untuk Pasir Mas, saya ucapkan terima kasih. Hari ini jambatan kedua yang saya sebut dalam Parlimen sebelum ini, dalam Dewan yang sebelum ini, jambatan kedua Pasir Mas-Salor telah dalam pelaksanaan. Terima kasih kepada Perdana Menteri. Janji jalan raya empat lane, Pasir Mas–Rantau Panjang yang merupakan laluan pelancongan, dijanjikan oleh Perdana Menteri dan akhir sekali, saya mohon supaya Stadium Mini Pasir Mas macam Jerantut tadi supaya dapat upgrade sama stadium ini, Pasir Mas stadium kedua di negeri Kelantan. Terima kasih. - HARAKAHDAILY 29/10/2015

Ucapan Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz semasa membahaskan Bajet 2016 di Dewan Rakyat pada 28 Oktober 2015.

Video

Share on Myspace