Bajet 2016: Kerajaan gagal berbelanja ikut Islam

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

Saya hendak ucapkan terlebih awal ucapan Hajjaan mabrooran wa sa'ee'an mashkooran kepada Tuan Yang di-Pertua yang juga telah menunaikan haji baru-baru ini.  Allah SWT berfirman... [Membaca potongan ayat al-Quran] Kata Allah, “Kitab itu tiada keraguan, lagi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa iaitu orang-orang yang beriman dengan perkara ghaib, menegakkan solat dan sebahagian apa yang kami rezekikan, mereka belanjakan.”  

Ayat ini berada di awal Surah Al-Baqarah yang turun selepas Nabi SAW berhijrah ke Madinah dan hijrahnya Nabi ke Madinah adalah suatu hijrah untuk membina sebuah negara. Seolah-olah gambarannya ayat itu menjelaskan dasar-dasar bernegara bagi mereka yang beriman kepada Allah.  

Asasnya ialah dominasi orang-orang yang bertakwa bagi sebuah negara yang orang-orang bertakwa itu pertamanya dia beriman dengan perkara ghaib, kedua, dia menegakkan solat dan yang ketiganya dari sudut harta, rezeki yang Allah Taala beri, mereka membelanjakan sebahagiannya. Ini adalah suatu dasar berbelanja dalam Islam.   

Bajet defisit

Hari ini kita bentang, kita bincang tentang bajet. Bajet ialah pembentangan untuk menjelaskan hasil kerajaan dan juga cara berbelanja kerajaan. Dasar berbelanja dalam Islam, seperti yang saya bacakan ayat tadi, ialah berbelanja sebahagian rezeki dan saya nampak itulah yang gagal untuk diikuti oleh kerajaan sampai hari ini untuk 11 tahun berturut-turut membentangkan bajet defisit di kala mana kerajaan sedang berusaha untuk memperkenalkan maqasid syariah, Indeks Syariah Malaysia yang bukunya diagihkan pada minggu lepas. Maka, sangat wajar untuk kerajaan juga merujuk kepada cara Islam untuk kita menguruskan bajet.

Apa yang saya bimbang nanti, kita hanya memperkenalkan maqasid syariah yang bermaksud matlamat-matlamat daripada pelaksanaan hukum syarak, hanya kita ambil maqasidnya sahaja, matlamatnya kita ambil tetapi kita tinggalkan syariat. Sedangkan, maqasid tidak akan tercapai melainkan menerusi pelaksanaan syariat itu sendiri.  Allah SWT mengajarkan kita dalam banyak ayat amalan berbelanja... [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Sifat orang yang baik ialah bila berbelanja tidak boros dan juga tidak kedekut tetapi pertengahan antara keduanya. Kesan daripada berbelanja yang tidak betul ini ialah kita menanggung hutang pada hari ini.

Saya mendengar ucapan ramai rakan daripada sebelah kerajaan menjawab ataupun menegaskan bahawa hutang tidak ada masalah, yang penting ialah kita berhutang untuk perkara yang baik dan juga kita berhutang yang kita boleh bayar. Persoalan yang saya hendak sebut ialah adakah kita mampu bayar dan kita bayar?

Hutang

Kalau hutang itu kita bayar, tentulah ia makin berkurang tetapi yang berlaku ialah ia makin bertambah.   Kita boleh melihat laporan yang dibentangkan dan buku yang diedarkan kepada kita, Penyata Kewangan 2014, menjelaskan bahawa hutang awam merupakan salah satu sumber yang membantu dalam menjana pembangunan negara dalam persekitaran defisit fiskal. Sepertinya hutang telah menjadi sumber  kepada negara sebabnya kerana defisit fiskal yang berlaku.

Kita lihat peningkatan hutang dari tahun 2010 sebanyak RM407 bilion, tahun 2011 sebanyak RM456 bilion, tahun 2012 sebanyak RM521 bilion, tahun 2013 sebanyak RM539 bilion dan tahun 2014 sebanyak RM582 bilion dan yang terakhir, RM624 bilion. Peningkatan itu berlaku. Kalau kita bayar hutang, sepatutnya ia berlaku penurunan. Akan tetapi, kita bayar tidak sama jumlah kita hutang, lebih sedikit dan kita buat hutang lagi pula.

Cuba kita lihat dalam Laporan Penyata Kewangan yang menyatakan bahawa aspek yang sentiasa diberi perhatian seiring dengan peningkatan jumlah hutang adalah pertambahan kos pinjaman yang perlu ditanggung oleh kerajaan. Ini diakui sendiri. Kawalan dan pemantauan terhadap perbelanjaan kerana hutang sentiasa dilaksanakan. Ertinya usaha itu ada tetapi adakah ia mencapai matlamat?   

Cuba kita lihat perbelanjaan yang diguna, yang telah dilakukan oleh kerajaan untuk membayar hutang ini. Kita lihat sebagai contoh, Carta Belanja Kerana Hutang daripada buku yang saya sebutkan tadi juga. Tahun 2010 kita berbelanja kerana hutang sahaja sebanyak RM15 bilion, tahun 2011 sebanyak RM17 bilion, tahun 2012 sebanyak RM19 bilion, tahun 2013 sebanyak RM20 bilion dan tahun 2014 sebanyak RM22 bilion. Ini perbelanjaan kerana hutang. Ya, kalau kita dapat kutip cukai GST sampai RM30 bilion sekalipun, ini yang kita akan bayar. Bayar kerana kita buat hutang. Saya bimbang hutang ini menjadi satu dasar kita, dasar bernegara.  Berhutang menjadi dasar. Sedangkan, konsep Islam ialah hutang itu sesuatu yang mendatang kerana kita perlukan, jadi kita berhutang.

Saya bacakan satu hadis doa yang diajar oleh Nabi SAW. Antaranya ialah... [Membaca sepotong hadis] Maksudnya, “Aku berlindung daripada ghalabah (hutang yang menguasai kita atau hutang keliling pinggang)”.   Kalau kita lihat umpamanya sebagai contoh pada tahun 2013, bayaran hutang- kita buat hutang RM65 bilion, kita bayar hanya RM42 bilion. Tahun 2013, hutang RM73 bilion, kita bayar RM38 bilion sahaja. Ini yang berlaku.

Oleh sebab itulah saya mengharapkan untuk kerajaan sesuai dengan konsep maqasid syariah ini untuk kita kembali memperbetulkan perkara yang seumpama ini pada masa akan datang. Yang Berhormat Pekan pernah menyebut bahawa kerajaan mengharapkan tahun 2020 kita akan bentangkan bajet berimbang. Akan tetapi, dengan cara belanja kerajaan ini, saya masih meragui ia akan berjaya pada tahun 2020 nanti.   

Isu yang lagi besar yang perlu kita sebut ialah hutang negara yang kita buat sama ada pinjaman dalam negeri ataupun luar negeri, ia adalah pinjaman sebahagian besarnya berasaskan riba’, sedangkan Allah berfirman... [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Maksudnya, “Sekiranya kamu tidak mahu berhenti dari riba’, maka isytiharlah perang daripada Allah dan juga RasulNya”.

Konsep kita menerima konsep riba’ ini, itu yang berlaku pada 1MDB yang berhutang cara riba’ dan terpaksa membayar bunga sehingga RM2 bilion. Sampai bila kita mahu letakkan rakyat dan negara kita dalam kemurkaan Allah SWT?

Maka saya menyeru atas nama kita hari ini mencadangkan konsep maqasid syariah yang dalam bukunya dalam muka surat 25 menyebut antara ukuran pematuhan Indeks Syariah Malaysia ini adalah berkaitan ekonomi.  Antaranya dalam muka surat 34 menyebut antara ekonominya ialah antara pegangan harta negara, penjanaan ekonomi dan juga percukaian. Ini saya akan sebut sekejap lagi. Maka itu harapan saya besar untuk kerajaan segera melihat dasar-dasar ini, dasar yang lebih Islamik terutama dalam urusan kewangan melibatkan harta, melibatkan ekonomi.

Berbelanja

Kedua, kerajaan sebenarnya tidak ada masalah pada hasil, untuk mendapatkan hasil tetapi kerajaan bermasalah untuk berbelanja. Orang yang ada masalah belanja ini kita berilah duit banyak mana pun, ia akan bocor juga, itu masalahnya. Seperti mana sabda Nabi SAW [Membaca sepotong hadis], “Kalau manusia, seorang anak Adam ada satu lembah emas, dia tentu hendak seumpamanya lagi dan tidak boleh memenuhi mulutnya itu melainkan tanah.” Ertinya mati. Bilamana kerajaan berhadapan masalah kewangan, maka dia perkenalkan pelbagai konsep percukaian baru. Ya kita akui negara bergantung 74% hasil 2014 bergantung kepada cukai dan bakinya ialah pada hasil bukan cukai dan lain-lain.

Akan tetapi saya imbas balik tahun 30-an negara kita Semenanjung Tanah Melayu khususnya menyumbang untuk 80% daripada pendapatan United Kingdom. United Kingdom negara yang sangat besar itu yang mana negara yang menjajah menjadikan Semenanjung Tanah Malaysia ini sebagai sumber utama negara 80%. Ertinya besarnya sumber yang ada di negara kita. Ini tidak masuk kita dikurniakan oleh Allah minyak kemudian hari.

GST

Hari ini kita diperkenalkan cukai GST untuk menambah cukai. Ketika itu minyak belum lagi turun harga. Alasan kerajaan untuk memperkenalkan cukai GST ialah untuk bimbang nanti akan turun hasil minyak kerana minyak kita akan habis. Rupanya minyak tidak habis tetapi Allah turunkan nilai minyak hingga turun daripada USD120 satu tong kepada USD50 satu tong.

Saya hendak mengajak untuk kita beriman dengan apa yang Allah Taala berfirman... [Membaca sepotong ayat al-Quran] “Kalau sekiranya penduduk itu beriman dan bertakwa, pasti Kami akan buka keberkatan rezeki dari langit dan juga bumi.” Minyak yang dijangka akan habis, Tuhan buka minyak di negeri Kelantan. Terakhir kita dapat pula telaga minyak di sempadan Terengganu dan negeri Pahang. Ertinya Allah Taala boleh buka, syaratnya kita yakin bahawa hanya hasil yang halal yang kita mahu.  

Kerajaan memperkenalkan GST dan banyak orang bercakap bab GST dan kita sudah bahas panjang GST daripada April. Cuma oleh sebab Yang Berhormat Pekan menyebut ayatnya lebih kurang nasib baiklah ada GST, maka kita boleh tampung kekurangan hasil kerana turunnya harga minyak. Saya menyatakan kembali, saya kata sebab kita perkenalkan GST, maka Allah tarik hasil minyak. Itu pandangan saya, boleh bahas. Kenapa saya menegaskan dalam banyak ucapan saya bahawa GST adalah percukaian yang tidak patuh syariah terutamanya kerana...

Dato’ Fauzi bin Abdul Rahman [Indera Mahkota]: [Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Yang Berhormat Indera Mahkota bangun. Belakang itu.  

Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin bin Aman Razali [Kuala Nerus]: Yang Berhormat Indera Mahkota, sila.

Dato’ Fauzi bin Abdul Rahman [Indera Mahkota]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat. Yang Berhormat menyedari tidak untuk hendak mengutip cukai seperti GST dan sebagainya, kalau kita tengok kepada sirah iaitu Imam Nawawi disuruh mengeluarkan fatwa mengutip cukai, boleh tak Yang Berhormat jelaskan sedikit dalam Dewan yang mulia ini apakah sikap Imam Nawawi apabila disuruh mengutip cukai daripada rakyat.

Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin bin Aman Razali [Kuala Nerus]: Terima kasih Yang Berhormat Indera Mahkota. Saya memang tidak hendak panjang GST cuma saya hendak nyatakan begini. Pertama sekali, GST cukai berdasarkan perbelanjaan.

Islam membenarkan percukaian berdasarkan pendapatan bukannya perbelanjaan kerana perbelanjaan tidak boleh membezakan antara yang kaya dan juga yang miskin yang berbelanja. Akan tetapi jika berdasarkan pendapatan boleh bezakan mana yang ada lebihan pendapatan dan mana yang tidak, satu. Keduanya rakan-rakan kita di sebelah sana menyatakan, mereka kata okeylah kalau kita buat berdasarkan belanja, orang kaya belanja banyak, orang miskin belanja sedikit, maka bayar cukai sedikit. Isu kita ialah sedikit pun tidak boleh kutip daripada orang miskin walaupun satu sen.

Maka kerana itu saya menyatakan bahawa tak kan tidak kena pula, memang kena. Jadi saya menyatakan bahawa cukai ini tidak patuh syariah, maka saya menggesa untuk kerajaan menghapuskan GST yang itu adalah satu perlakuan yang baik yang boleh dibuat oleh Yang Amat Berhormat Pekan, insya-Allah. Melibatkan Imam Nawawi tadi, Imam Nawawi menyatakan bahawa beliau tidak akan benarkan kerajaan kutip cukai sehingga habis semua usaha kerajaan untuk dapatkan hasil dan semua harta kerajaan sudah habis, barulah dibenarkan kutip cukai. Itu fatwa Imam Nawawi.

Saya hendak mencadangkan begini, oleh kerana kita perlukan percukaian untuk mendapatkan hasil saya ingin mencadangkan cukai-cukai baru yang lebih Islamik yang kita boleh ambil daripada AlQuran dan juga hadis Nabi SAW. Ada cukai melibatkan saving, melibatkan simpanan. Ramai korporat, orang-orang kaya mereka ada simpanan dan simpanan mereka tidak dicukaikan.  

Kalau diambil cukai simpanan ini, saya melihat dalam data simpanan deposit bank-bank di Malaysia 2014 berjumlah RM164 bilion. Kalau dicukaikan mengikut kadar Islam RM2.5 bilion, kita telah mendapat RM4.1 bilion. Kita ada tabungan yang besar melibatkan negara seperti KWSP yang kita bahas sebelum ini yang ada simpanan hingga menjangkau RM600 bilion. Kalau dikenakan cukai 2.5% cukai negara, cukai simpanan kita boleh mendapatkan hasil hingga RM15 bilion.  

Saya tahu bahawa ramai orang kaya yang menyimpan duit yang banyak tidak dilaburkan. Maka inilah masa untuk kerajaan mengambil manfaat dari orang-orang yang kaya untuk dipulangkan kepada orang miskin kerana kadar Islam dalam bab cukai atau bab zakat... [Membaca sepotong hadis] “Diambil dari orang yang kaya dan diagihkan kepada orang miskin”.

Kemudian cukai melibatkan saham. Satu ketika kerajaan pernah perkenalkan cukai ini dan ia bertepatan dengan Islam. Cukai yang didagangkan, yang dijual dalam bentuk jualan segera dan juga jualan jangka masa panjang, ia tidak diambil cukai. Sedangkan kalau kita lihat dana dagangan di BSKL sahaja pada 2014 dagangannya bernilai RM526 bilion yang kalau dicukaikan mengikut kaedah Islam 2.5% cukainya adalah RM13.3 bilion. Itu bab cukai.

Cukai korporat

Begitu juga kita lihat pada hari ini kerajaan bergantung kepada cukai korporat yang hari ini ramai korporat yang lari dari cukai kerana merasakan cukai ini adalah tinggi 20% hingga 30%. Pada zaman Ibnu Umar Al-Khattab di kala Umar melihat ramai yang lari dari cukai, tidak bayar cukai barang masuk iaitu usyur yang dikenakan 10% pada ketika itu, muamalah bil mitsl  mengikut kaedah Islam. Lalu Umar menurunkan cukai daripada 10% kepada 5% menyebabkan berebut orang luar membayar cukai. Kenapa? Kerana mereka sebelum ini hanya bayar kepada orang-orang tengah menerusi lubang-lubang tikus yang hasil masuk poket kerajaan, tidak masuk poket negara.

Maka dengan turunnya kadar cukai, maka berebutlah orang bayar cukai. Islam menetapkan bahawa cukai yang dikenakan kepada para peniaga, korporat dan sebagainya ialah 2.5% daripada duit modal plus dengan keuntungan. Kita hari ini ambil daripada keuntungan menyebabkan ramai orang yang lari dari bayar cukai menggunakan helah perundangan.

Kalau mereka ini modal RM1 juta, mereka untung RM1 juta, mereka isytiharkan RM1.8 juta sebagai perbelanjaan, maka yang dicukaikan hanya RM200,000 dan 30% daripada  RM200,000 adalah jumlah yang sedikit tetapi Islam menyatakan cukai yang dikenakan dalam zakat dalam Islam yang dikenakan ialah 2.5% daripada modal dan juga keuntungan, maka tentulah besar jumlah yang akan kita peroleh dan bilamana orang-orang kaya merasakan mereka hanya bayar jumlah yang kecil 2.5% maka mereka tidak lari dari cukai dan mereka berlumbalumba pula untuk membayar pada negara dan rakyat menerusi konsep tabbaru’at atau konsep CSR.

Dr. Siti Mariah binti Mahmud [Kota Raja]: [Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Kota Raja bangun.

Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin bin Aman Razali [Kuala Nerus]: Ya saya ada sedikit lagi. CSR atau Corporate Social Responsibility. Saya akan bagi sekejap lagi. CSR hari ini banyak syarikat buat CSR tetapi tidak bersasar. Jika mereka hanya bayar 2.5% maka nanti CSR mereka boleh ditaburkan secara bersasar digunakan untuk cover kepada kos pembangunan. Pada zaman kerajaan Islam dahulu lebuh raya tidak menggunakan duit kerajaan.

Hari ini kita menggunakan duit kerajaan. Mengapa? Oleh sebab hasil ataupun pelaksanaan pembangunan melibatkan hospital, jalan raya, lebuh raya dan sekolah-sekolah diambil daripada wang yang disumbangkan oleh para korporat. Ini kaedah Islam. Sila.

Dr. Siti Mariah binti Mahmud [Kota Raja]:  Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Kuala Nerus.  Yang Berhormat Kuala Nerus, saya sangat tertarik dengan pembentangan Yang Berhormat Kuala Nerus mengenai percukaian di dalam Islam ini.  Bolehkah saya tahu Yang Berhormat Kuala Nerus, di mana di dalam dunia sekarang, contoh mana-mana negara Islam yang melaksanakan percukaian mengikut dasar Islam ini?  Terima kasih.   

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee]:  Ya, boleh habiskan Yang Berhormat ya.   

Dato’ Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali [Kuala Nerus]:  Yang Berhormat Kota Raja, tidak ada.  Kalau Malaysia mulakan yang ini, maka Malaysia adalah negara pertama yang mulakan insya-Allah.  Saya harap nya begitu.  Terima kasih kepada Yang Berhormat Kota Raja.   

Satu lagi saya hendak sebut tentang solusi.  Kita berhadapan isu kos sara hidup yang meningkat pada hari ini.  Saya hendak mencadangkan bahawa antara cara untuk kita tangani kos sara hidup yang makin meningkat ialah cukai yang berkaitan barang-barang keperluan masyarakat seperti kereta itu diturunkan.  

Dasar Automotif Nasional

Yang Berhormat Pekan menerusi manifesto BN menepati janji membawa harapan pernah menjanjikan ketika PRU Ke-13, menjanjikan untuk menyemak semula Dasar Automotif Nasional, dikurangkan harga kereta 20%-30% dalam masa lima tahun. Sekarang sudah berlaku dua tahun.  Apa jadi?   

Menurut kata Datuk Aishah Ahmad, Presiden Persatuan Automotif Malaysia mencadangkan cukai duti diturunkan sebagai cara untuk menurunkan beban pemilikan kenderaan dan boleh menambah nilai pendapatan masyarakat.  Maka, kalau ini dilaksanakan, kesannya besar kerana Nabi mengajarkan kepada kita antara empat perkara yang membahagiakan manusia ialah... [Memetik bahasa Arab] “Kenderaan yang laju, kenderaan yang boleh bergerak dengan cepat”.  Ini adalah keperluan rakyat.   

Rumah mampu milik

Saya juga hendak sebut tentang rumah mampu milik.  Ini cara kita.  Saya mengalu-alukan tindakan kerajaan untuk menguar-uarkan begitu banyak rumah mampu milik yang akan dibuat. Akan tetapi saya hendak bagi lebih jauh lagi. Kita bukan hanya hendak bagi rumah mampu milik tetapi memampumilikkan rumah oleh rakyat.  

Isu kita hari ini ialah rakyat tidak ada pendapatan untuk beli rumah.  Masalah besarnya deposit mereka tidak cukup, mereka baru bekerja, gaji RM2,000.  Mereka perlukan beli rumah RM200,000, membayar 10% RM10,000.  Mereka tidak cukup duit untuk bayar deposit.   

Hari ini apa yang diinginkan oleh kerajaan, pelbagai dana untuk rumah mampu milik ini akan disalurkan menerusi korporat-korporat, syarikat-syarikat perumahan, bukan direct kepada pembeli.  Kalau ditaburkan wang itu dijadikan sebagai deposit untuk permulaan bagi membeli rumah, itu adalah satu yang lebih baik.  Itu konsep rumah mampu milik.   

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee]:  Ya, boleh habiskan Yang Berhormat.   

Kemiskinan

Dato’ Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali [Kuala Nerus]:  Yang terakhir, saya hendak sebut tentang isu kemiskinan.  Saya mengharapkan agar walaupun kerajaan menyebut kemiskinan kita makin turun, tinggal 0.6% tetapi yang perlu kita ingat ialah ia berdasarkan Paras Garis Kemiskinan yang sudah lapuk.  Hanya berasaskan makanan semata-mata sedangkan ukuran yang betul ialah berdasarkan kepada adakah rakyat mampu beli rumah?  Adakah rakyat mampu beli kenderaan?  Adakah rakyat mampu untuk ke universiti?  Ini antara point yang asas.   

Maka, apabila kita gunakan PGK ini, ini bererti kita menipu rakyat.  Kita masukkan sampah di bawah carpet dan kita akan tersepak carpet itu.  Maka, kerajaan perlu membetulkan balik PGK ini, perlu betulkan balik cara mengukur kemiskinan kerana cara ini kita menutup berapakah jumlah sebenar orang miskin yang ada di Malaysia.  Oleh kerana masa tidak mencukupi, saya ucapkan terima kasih. - HARAKAHDAILY 2/11/2015

Ucapan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali ketika membahaskan Bajet 2016 di Dewan Rakyat pada 29 Oktober 2015.

Video

Share on Myspace