AKP dan Umno BN

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

AKP bukanlah parti Islam. Ada lagi parti lain yang lebih berani dan lebih berterangan memperjuangkan Islam di Turki.

Mereka pernah unggul dulu, tetapi kerana tekanan hebat daripada kekuasaan tokong-tokong sekular di Turki, rakyat Turki memilih untuk mencari parti lain yang kurang mendapat tekanan.

AKP mengambil peluang ini dengan baik. Apabila AKP diberi peluang memerintah, mereka lakukannya dengan baik, lalu terus mendapat sokongan rakyat.

Turki negara sekular totok. Mencium bau amalan Islam yang sempurna di sana bagaikan dari kejauhan berbatu-batu jaraknya. Berbanding Malaysia, amalan Islam di negara kita adalah lebih baik dalam banyak perkara.

Jika di Turki kita memuji AKP, di Malaysia kita mengkritik dan membangkang Umno BN. Kenapa? Kerana AKP mengamalkan tata kelola pemerintahan dan pentadbiran negara yang lebih menepati ajaran Islam. Amanah. Integriti. Demokratik. Manakala Umno BN pula sebaliknya. Pecah amanah. Korup. Aniaya.

Di Turki, pemerintahnya bagus. Di Malaysia, rakyatnya bagus. Sebaliknya adalah sebaliknya.

Maka, harapan di Turki adalah besar. Pemimpin atau parti pemerintah yang baik akan mendorong rakyatnya memilih yang baik. Manakala harapan di Malaysia agak malang kerana pemimpin atau parti pemerintah yang buruk akan mendorong rakyatnya memilih yang buruk jua.

Tanggung jawab rakyat Malaysia adalah besar. Mereka perlu bergagah sesama sendiri untuk mengukuhkan kebaikan dalam negara. Kebaikan adalah Islam. Antara usaha yang baik adalah terus menekan kerajaan untuk menerima Islam. Ia kewajiban yang nyata bagi mengelak negara daripada mengundur ke belakang, ke arah yang lebih buruk dan teruk.

Jika jika, kewajiban adalah menukar Umno BN dengan parti yang konsisten memperjuangkan amalan dan praktis Islam yang sempurna.

Tanggung jawab AKP juga besar. Mereka mestilah bergerak kepada Islam setapak demi setapak. Ia perlukan kebijaksanaan tinggi bagi memujuk rakyatnya. Kewajibannya untuk istiqamah dengan Islam pula adalah getir.

Semoga AKP tidak hanyut dengan nikmat memerintah negara yang penuh sejarah kegemilangan Islam itu.

Menyokong AKP adalah sebahagian usaha menyedarkan rakyat Malaysia betapa lemahnya Umno BN mentadbir negara.

Selamat berjuang untuk agama dan negara tercinta. - HARAKAHDAILY 2/11/2015

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Pasir Mas

Share on Myspace