Derma mereka dan derma kita

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

RIUH juga rupanya apabila Pan menerima dana 50k daripada seorang pemimpin DAP. Dalam majlis penyerahan itu, beliau berpesan supaya Pan bekerja lebih bersungguh dan tidak mustahil suntikan dana yang lebih besar akan diberikan sekiranya memuaskan hati mereka.

Ada yang respon mengkritik Pan atas berbagai sebab. Lalu ramai pimpinan Pan bangkit mempertahankan tindakan dengan berbagai hujah. Saya pula tidak begitu berminat dengan isu ini. Biarkan sahaja. Itu parti orang. Insya-Allah, tuhan tak tanya kita apa mereka buat. Rasanya ia berbeza dengan isu derma 2.6b yang masuk ke akaun PM.

Cuma saya suka berkongsi suatu perkara dengan ahli PAS. Kita juga ada kekuatan tersendiri dengan derma. Walaupun jarang kita menerima derma sebesar itu daripada mana-mana individu secara terbuka, tetapi kita juga terkenal dengan parti yang bergerak melalui derma. Walaupun derma yang kita peroleh lebih banyak dalam not RM1 daripada replika cek dan majlis bagai, tapi dengan sumbangan-sumbangan kecil inilah bahtera kita terus belayar megah.

Untuk membiayai gerakerja mempersada parti baru agar mampu bersaing dalam kancah politik semasa, mereka mungkin lebih perlu untuk bergantung kepada derma dari orang-orang 'atas' dengan jumlah-jumlah yang besar.

Tetapi kita sejak dulu bergerak dari poket rakyat marhaenis bawahan. Kerana parti kita adalah parti marhaenis. Walaupun sedikit, yang derma pastinya mereka yang dokong aspirasi parti kita. Yang derma pasti mahu kita memimpin mereka. Yang derma tentunya rakyat jelata kita!

Jangan malu menerima derma. Sebaliknya banggalah dan hargailah kuasa derma yang kita ada. Kerana dengan derma yang tidak putus inilah kita berjaya mengikat istiqamah ahli dengan perjuangan.

Apabila ahli melihat parti ini membangun selangkah demi selangkah seiring derma yang diberi, ahli akan jatuh sayang pada parti. Mereka akan anggap PAS milik mereka bersama. Perasaan kekitaan akan timbul. Jiwa mereka akan bertaut kepada PAS.

Masakan tidak, mereka bela parti ini dengan titik keringat sendiri, ibarat bapa yang membesarkan anaknya. Daripada bertatih kini sudah tersangat matang!

Mereka yang menyumbang untuk membina markas, apabila siap mereka pasti tak akan duduk senang jika markas tidak beraktiviti. Lalu merekalah jua yang akan hidupkan markas. Mereka yang menyumbang kenderaan kepada PAS, pasti gusar jika kenderaannya terbiar di bangsal.

Merekalah jua yang akan mengusahakan aktiviti agar kenderaan itu diguna. Orang-orang inilah yang tuhan letakkan di hati mereka ikatan dengan perjuangan untuk terus membangunkan parti.

Fenomena ini lebih kurang sama dengan tradisi pembinaan surau dalam sesebuah komuniti. Generasi yang pertama menyumbang untuk menubuhkan surau, merekalah jua yang akan memakmurkan surau apabila siap.

Mereka tidak senang melihat keringat dan harta yang telah dihabiskan untuk surau, sia-sia begitu sahaja tanpa sebarang aktiviti. Sebab itu kita lihat surau-surau baru lebih hidup berbanding surau-surau lama yang kebanyakan penderma asasnya telah mati.

Cuma PAS sedikit berbeza. PAS tidak sama seperti surau yang terhenti pembinaannya apabila siap surau. PAS perlu terus dibina dan dipertingkatkan. Oleh itu, sumbangan kepada PAS makin hari makin meningkat seiring pertumbuhan cawangan-cawangan dan markas baru.

Sampai hari ini saya masih menyimpan sebuah kisah yang sangat inspiratif. Ketika seorang pimpinan dijemput berceramah ke sebuah perkampungan, beliau dijamu di salah sebuah rumah ahli di sana.

Rumah papannya sangat usang dan daif, sebagaimana kehidupan daif orang-orang kampung biasa. Tuan rumah adalah seorang penoreh getah.

Semasa makan, pemimpin itu melihat ada dua sudut rumah dijadikan tempat jemuran getah. Hairan dengan keadaan itu, beliau bertanya kepada tuan rumah.

"Kenapa ada dua tempat jemur getah. Bukan getah ni sama belaka?"

Jawab tuan rumah:

"Ya memang sama. Tapi saya asingkan sebab hasil jualannya tak sama. Salah satunya saya khususkan untuk sara kehidupan kami. Satu lagi saya khususkan untuk perjuangan Islam."

Berderai airmata pemimpin itu. Sedaif marhaen inipun, masih meletakkan Islam melebihi hidupnya. Benarlah kata-kata Almarhum Ustaz Harun Taib;

"Siapa kata PAS tak ada duit? PAS banyak duit. Tapi duit PAS ada dalam poket ahli-ahlinya."
Semoga kita terus menderma. Aku bangga dengan not RM1. – HARAKAHDAILY 3/11/2015

Share on Myspace